Thursday, April 27, 2006

Berbuku-buku rinduku kepada buku

Saya catatkan semua naskhah buku yang telah saya beli untuk bulan Mac dan April ini, kira-kira punya kira, buku yang telah pun saya beli dua puluh satu [21] buah semuanya. Itu untuk tempoh 1 Mac sampailah pagi ini, 27 April 2006. Saya kira tidak salah tentunya untuk saya bercakap tentang buku, setelah saya tidak pernah lupa membeli akhbar Kosmo setiap rabu yang mengandungi esei resensi buku oleh Shaharom TM Sulaiman, setelah saya berasa amat rugi tidak dapat hadir pada Seminar Pencinta Buku 2006 di Shah Alam tempoh hari, setelah saya berasa seronok dan teruja sekali dengan tulisan Kak Nisah [http://www.nisah.cjb.net] tentang buku dan juga tentang seminar tersebut, setelah saya sendiri tidak pernah puas-puas membeli buku dan setelah saya juga banyak berasa kecewa dengan buku-buku yang telah tiada di pasaran kerana saya lambat membelinya sebab tak cukup duit.

Sebelum berangkat balik kampung untuk beberapa hari pada awal Mac lalu, saya sempat mencapai Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar karya Irfan Khairi di Kedai Mahasiswa, USM sebagai bekal saya balik kampung. Saya sukakan kulitnya yang sudah cukup bermotivasi untuk menaikkan semangat orang yang membacanya supaya rajin-rajin berusaha menjadi jutawan. Buku jutawan, harganya pun kelas-kelas jutawan jugalah. Saya bayar kepada Akak yang menjaga kaunter RM35.90 setelah potongan 10 peratus.

Tentu saja buku amat berguna untuk saya belajar berniaga dengan cara yang paling canggih, cepat dan mudah. Amat berguna juga untuk saya memasarkan buku saya juga seperti mana Irfan memasarkan buku-bukunya dengan jayanya. Saya mahu belajar memasarkan buku saya dengan lebih berstrategi dan sistematik. Amat berguna untuk saya melihat bagaimanakah kulit, rekabentuk, harga, isi dan kualiti buku seorang jutawan buat saya mencontohinya untuk buku saya di masa depan. Elok juga untuk saya belajar bagaimana Irfan memasarkan bukunya buat saya ambil iktibar dan saya contohi untuk saya pasarkan dua buah buku terbaru saya yang bakal siap Mei ini - Sebelum Menjadi Penakut & 'Ngembara ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki.

Ketika sudah kembali ke Pulau Mutiara, saya tidak pernah jemu-jemu juga berkunjung ke Kedai Mahasiswa, paling tidak pun sekadar untuk membeli senaskhah Kosmo dengan harga 50 sen & boleh juga saya melilau-lilau menengok buku-buku baru yang berkenan di hati. Dan juga menengok buku lama yang sudah sekian waktu diidam-idamkan tapi masih tak terbeli kerana tak cukup duit. Dapat membelek-beleknya pun sudah cukup buat orang yang gila buku macam saya. Antara buku yang sudah sekian lama saya tengok tapi masih teragak-agak untuk membelinya ialah Jangan Bersedih [La Tahzan] karya Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, terbitan Al-Hidayah Publisher dengan warna kuning yang memikat & dalam edisi kulit keras.

Ia sebuah buku motivasi yang tak perlulah saya cerita saya kira, kerana peminat buku seperti anda semua barangkali lebih-lebih mengetahui tentangnya. Atau barangkali, anda semua telah memiliki dan membacanya, dan saya seorang saja yang masih ketinggalan zaman tidak memilikinya. Saya sudah lama mengidam-idamkan naskhah dari sarjana hadis dari Timur Tengah ini. Saya perhatikan setiap buku sastera, agama, motivasi dan novel di Kedai Mahasiswa. Saya tengok La Tahzan ada empat naskhah saja lagi. Tiga buah dengan kulit nipis tapi masih juga dalam warna kuning yang menawan dan tinggal sebuah cuma yang berkulit keras yang saya idam-idamkan berharga RM49. Saya tak mahu yang kulit nipis walaupun harganya murah, RM35.

Kalau saya nak yang kulit nipis tu, dah lama saya beli. Tapi, hati saya masih juga mengidamkan yang berkulit tebal yang tinggal satu naskhah itu saja. Saya tetap nak yang kulit tebal itu juga. Waktu itu, saya hanya mampu menaruh harapan dan angan-angan untuk memilikinya satu hari nanti sebelum saya habis belajar. Dan saya bertekad diam-diam dan kejap di dalam hati, bahawa buku itu memang akan saya beli, pasti. Maka, untuk hari itu saya hanya keluar dengan senaskhah Islam Liberal, Tafsiran Agama yang Kian Terpesong dengan harga RM5.40 setelah diskaun 10 peratus. Ia merupakan himpunan kertas kerja oleh beberapa orang tokoh agama iaitu Prof. Madya Mohammad Kamil Abd. Majid, Prof. Madya Dr Fauzi Deraman, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Admin Armas. Saya keluar dengan menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk datang lagi dan memiliki naskhah La Tahzan yang telah sekian lama saya idamkan.

Dan ketika balik dari Pontian menghadiri majlis perkahwinan Jimadie di Parit Semerah, saat singgah di Nile Books di KL Sentral - saya langsung tak dapat menahan nafsu untuk balik ke Pulau Pinang setidak-tidaknya dengan sebuah buku, maka saya bayarkan kepada kepada Akak di kaunter untuk naskhah Dha'if Adabul Mufrad [Koreksi Ilmiah Terhadap Karya Imam Bukhari] buah tangan sifu besar ilmu hadis zaman ini - Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani. Buku ini, memberi penilaian terhadap hadis-hadis yang daif yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari menurut penilaian Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

Ketika sudah ada kembali ke Pulau Pinang, saya masih tidak jemu-jemu juga mengunjungi Kedai Mahasiswa, melihat buku atau membeli akhbar. Kali ini saya terpaut pada naskhah Ada Apa Dengan Buku oleh Shaharom TM Sulaiman yang ditulis bersama Suriati Shamsuddin. Naskhah ini pun seingat saya sudah lama saya perhatikan, cuma kali ini baru saya benar-benar cukup duit untuk membeli. Saya bawa keluar naskhah ini setelah membayar RM19 kepada Akak yang menjaga kaunter. Kali ini langsung tak ada diskaun, tapi saya langsung tidak merungut - janji, saya dapat memilikinya. Membaca tulisan Shaharom TM Sulaiman tentang buku, lagilah menambah gila saya pada buku.

Ketika sekali lagi ke Kuala Lumpur menghadiri Bengkel Penulisan Novel Esastera di Universiti Malaya, saya memang sengaja gatal-gatal kaki singgah lagi di Nile Books di KL Sentral. Memang saya sengaja ingin menengok dan membeli buku. Maka kali ini, saya terpaut lagi pada dua naskhah buku terbitan penerbit Indonesia. Memang Nile Books banyak sekali menawarkan banyak buku-buku agama penerbit dari Indonesia. Kali ini saya pulang ke Pulau Mutiara dengan naskhah Tuhan Begitu Dekat [Menangkap Makna-makna Tersembunyi di Balik Perintah Beribadah] oleh Dr Komaruddin Hidayat dan Kumpulan Do'a dan Dzikir Nabawi buah tangan seorang imam besar umat Islam, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang ditahqiq oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.

Cantik sekali buku ini, menghimpunkan doa-doa harian yang pernah menjadi amalan Rasulullah s.a.w. semasa hayat Baginda. Kita dapat mengamalkannya dengan penuh yakin dengan adanya penilaian yang sahih dan jelas yang dibuat oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dan kita dapat tinggalkan doa yang tidak sahih daripada Rasulullah dengan adanya penilaian setiap hadis yang dibuat oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani ini. Setiap zikir dan doa di dalamnya diberi penilaian yang jelas oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani tentang kesahihan atau kedaifannya.

Balik ke Pulau Pinang, saya tertarik dengan sebuah buku Shaharom TM Sulaiman yang lain pula. Judulnya masih juga tentang buku, yang saya sudah menyimpan hasrat ingin membelinya ketika membeli naskhah Ada Apa Dengan Buku tempoh hari lagi. Dan kali ini memang benar-benar saya memilikinya. Naskhah yang saya maksudkan ialah buku yang berjudul Buku Kekasih. Dengan karya keduanya yang saya beli ini, Shaharom TM Sulaiman menambahkan lagi gila saya pada buku-buku. Membaca tulisannya ini, membuatkan rindu saya pada buku makin berbuku-buku.

Ketika dua hari berturut-turut mengunjungi Bazar Chowrasta dekat KOMTAR bersama Mohd Dahri Zakaria, ditambah dengan kunjungan hari kedua kami ke sebuah kedai buku lama di Lebuh Chulia - saya berhabis berpuluh-puluh ringgit juga untuk sepuluh buah buku. Buku-buku tersebut ialah Yang Indah Belum Menjelma Lagi oleh Ayi Kwei Armah, Rumah Melayu Tradisi karya bersama Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh, Belahan Mimpi oleh Ali Jusoh, Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer, Pewaris oleh Rahimidin Zahari, Beruk oleh Azizi Haji Abdullah, Cinta Fansuri oleh A. Samad Said, Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim, Si Lemang Batu oleh Taha Abdul Kadir & sebuah buku yang sudah bertahun-tahun saya cari, gembira sangat-sangat saya apabila terjumpa di kedai buku lama di Lebuh Chulia itu - Gadis Pantai buah tangan novelis agung Nusantara, Pramaoedya Ananta Toer.

Setelah beberapa hari Dahri kembali ke Kuala Lumpur, saya belikan juga naskhah Madu Dalam Saringan oleh Kamala Markandaya di Kedai Buku Mahasiswa dengan harga RM10.80 setelah diskaun 10 peratus. Buku itu telah dibeli Dahri ketika dia mengunjungi saya tempoh hari. Dia terpaut dengan buku itu, bila saya katakan ianya ada disebut dalam novel panjang dan terbaru Dr Fatimah Busu - The Missing Piece (Bahagian 2). Kemudiannya, saya pun ikut membelinya juga.

Untuk bulan April ini juga, tapi saya sudah lupa tarikhnya; tiba ke tangan saya dengan pos ekspres sebuah buku puisi terbaru karya Nimoiz TY berjudul Jalan Baru yang menghimpunkan 100 buah puisi penyair muda yang telah dua tahun berturut-turut mendapat gelar Penyair Siber ini iaitu pada tahun 2003 dan 2004. Saya sedang berdikit-dikit menelaahnya, menelusuri dengan penuh rasa seni ke dalam roh puisi anak muda yang senegeri dengan saya ini.

Terakhir, sampai tiba pagi buta sekarang ini, saya sekali lagi tidak dapat menahan nafsu untuk memiliki dua buah buku, yang saya lihat dijual di Kedai Buku Popular Kompleks Bukit Jambul tidak berapa jauh dari kampus saya. Kali ini saya bayarkan untuk Cik Kak manis yang bertugas di kaunter untuk naskhah Membina Imaginasi Cemerlang buah tangan Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj dan Berguru Pada Binatang yang merupakan sebuah anekdot-anekdot kecil karya Baha Zain.

Siang nanti, saya telah tekad di dalam hati untuk memiliki La Tahzan yang telah sekian lama saya idam-idamkan di Kedai Mahasiswa di kampus saya. Saya tetap berdegil untuk memiliki edisi kulit keras yang berharga RM49. Esok, saya pasti akan menikmatinya sungguh-sungguh kerana sudah lama benar ingin menelaahnya.

Siang esok, genaplah 22 buah buku yang saya miliki untuk dua bulan terakhir ini. Itu belum dikira bahan-bahan bacaan lain seperti majalah dan akhbar. Saya perturunkan semua senarai buku yang saya beli, bukan apa-apa. Paling tidak pun, buat adik-adik atau siapa saja yang masih belum gila membaca menatap catatan ini; akan menyedari bahawa betapa nikmatnya membaca, seperti mana yang telah saya sedari dan nikmati. Bukankah ayat pertama yang diturunkan Allah pun, menyuruh kita membaca? Maka tidak salah saya kira, untuk saya menulis tentang buku pada kemaskini kali ini.

Kemaskini terbaru ini juga buat Mohd Dahri Zakaria yang pernah merungut dan mengirim sms kalau dia membuka blog saya yang lama tak diup date. Dan, sememangnya catatan ini untuk anda semua yang tidak jemu-jemu membaca tulisan saya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya, betapa nikmat dan manisnya membaca.


Salman Sulaiman
Siber Kafe I Caf'e,
Bawah Bukit Gambir,
Kampus Pulau Mutiara.
2.01 pagi, 27 April 2006 [Khamis].
Bersamaan 28 Rabi'ul Awal 1427 H.

Thursday, April 13, 2006

Untuk dia yang mengunjungi gua pertapaan saya di Pulau Mutiara

Hari itu 8 April 2006, jatuh pada hari sabtu. Saya menjemputnya di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong yang tidak begitu jauh dari kampus saya di Pulau Mutiara malam itu. Saat azan maghrib sudah pun bergema, dia tiba dengan bas Kejora yang dinaikinya di Kajang kira-kira jam satu lebih tengah hari itu. Segera saya boncengkan dia ke kampus.

Tengah malamnya, sehabis acara, sehabis bertemu teman lamanya dan sehabis kami menjamu selera di gerai senget [atau kami panggil juga gerai Mek Yah] di luar kampus - di bilik saya, dia keluarkan 6 naskhah akhbar yang dibelinya di Kajang sebelum menaiki bas ke mari. Terkejut juga saya dibuatnya. Sampai 6 naskhah surat khabar yang dibelinya, untuk hilangkan bosan di atas bas katanya. Dan malam itu saya tak tidur sampai ke subuh, dek kerana 6 naskhah akhbar yang dibawanya. Saya belek semuanya & saya baca mana yang patut dibaca.

Kawan saya yang seorang ini, saya kira memang layak dia jadi wartawan di esastera. Apa tidaknya, untuk hari itu saja dia berhabis banyak juga belanja membeli Kosmo, Harian Metro, Mingguan Warta Perdana, Bacaria, Utusan Malaysia & Berita Harian. Enam naskhah akhbar inilah yang membuatkan saya tidak lena sampai ke pagi. Saya tahu sangat perangai sahabat saya yang seorang ini, memang dia tidak pernah lokek dan berkira untuk membeli bahan bacaan, terutama akhbar.

Dia datang kali ini, selepas saya pujuk melalui sms & dia bersetuju akhirnya untuk membuat kunjungan tidak rasminya ke gua pertapaan akhir saya di kampus Pulau Mutiara. Kawan saya yang seorang ini memang selalu saja tampil segak bergaya jika ke mana-mana - dengan kaca mata, seluar hitam yang licin, berkemeja & berkasut hitam berkilat kelekup-kelekap. Dan, tidak lupa beg berisi kamera. Kan dah saya kata, dia wartawan esastera sekaligus juru kamera.

Jenuh membelek lembar-lembar akhbar yang dibawanya, ketika jam sudah lebih dua pagi - saya boncengkan dia ke kedai mamak di luar kampus. Kami menjamu selera di pagi buta dengan secawan teh tarik & sebiji kuih pau seorang. Kami tak lama berbicara kerana hari nak hujan.

Esoknya, 9 April 2006, hari ahad - kami makan tengah hari berdua di kafe di asrama saya, kafe Mak Teh namanya. Berkali-kali dia menggeleng kepala dengan harga makanan yang begitu murah. Saya katakan kepadanya, "Makanan di kafe ini, adalah paling murah di kampus ini berbanding kafe-kafe di asrama lain." Saya memberitahu bahawa saya selalu & banyak kali juga sekadar berhabis RM 2 untuk belanja makan setiap hari - RM 1 untuk makan tengah hari & RM 1 untuk makan malam. Lagilah terkejut dia dibuatnya.

Kami ke kedai runcit di luar kampus membeli akhbar mingguan setelah gagal mendapatkan akhbar di kedai 24 jam di dalam kampus. Biasalah, hari ahad adalah hari akhbar bagi manusia macam kami ini. Saya belikan dua naskhah dan dia beli juga dua naskhah yang berbeza. Makanya, kami ada 4 naskhah akhbar yang berbeza untuk dibaca.

Saya turutkan permintaannya yang ingin mencari buku di Bazar Chowrasta dekat KOMTAR. Saya boncengkan dia di belakang saya dengan Honda EX5 model tahun 1998. Malamnya, kami keluar makan di gerai bawah pokok mempelam di kawasan luar kampus saya & sambil dia berborak mesra dengan dua teman lamanya yang juga merupakan senior saya di kampus. Malam itu, setelah kembali ke bilik saya - kami tidak lagi keluar minum teh tarik di kedai mamak seperti malam sebelumnya. Cuma, saya kacaukan untuknya secawan besar milo & kami makan dengan beberapa keping roti High 5.

Hari terakhir dia di kampus saya, sekali lagi dia minta saya bawakan dia ke Bazar Chowrasta membeli buku. Saya turutkan juga, penyakit gila bukunya itu kerana memang kami ini satu kepala, sama-sama gila membaca. Kalau dah gila membaca, tentu saja gila membeli buku juga. Seingat saya, berbelas buah buku juga yang dia angkut pulang ke Kajang setelah habis menemui saya di Pulau Mutiara.

Selama dua hari + dua malam setengah dia mengunjungi gua pertapaan saya di Pulau Mutiara, terlalu banyak yang kami bicarakan. Terlalu banyak yang kami bebelkan bersama. Katanya, berbual dengan saya selalu saja menambahkan ilham yang berbagai-bagai di kepalanya. Dan memang dia suka.

Hatta, ketika menghantarnya pulang pada 11 April 2006, hampir-hampir jam 12.30 pagi - saat-saat kakinya sudah mahu naik ke atas bas untuk kembali ke Kajang, masih tidak habis-habis juga saya mahu berbicara & berkata-kata. Saya pulang berseorangan, setelah saya tinggalkan dia di atas bas Kejora yang masih belum bergerak-gerak juga, walau waktu itu dah lebih 12.30 pagi.

Dia, Mohd Dahri Zakaria - antara salah seorang sahabat yang masih belum kawin-kawin lagi, yang masih boleh menemani 'ngembara saya ke hutan kata & ke dunia sastera setelah saya ditinggalkan beberapa teman yang lain yang sudah berkahwin. Nanti, setahu saya; habis tahun ini, dia pun bakal dinikahi sunti - tidak ada lagilah teman yang bakal menemani saya menekuni puisi.

Terima kasih Dahri, kerana sudi ke mari - menjengah gua pertapaanku menetaskan puisi. Jangan serik untuk datang lagi.



Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden,
Pulau Mutiara.
7.07 malam, 13 April 2006 [khamis].
Bersamaan 14 Rabi'ul Awal 1427 H.

Tuesday, April 11, 2006

Memang tidak akan ada Muhammad yang lain lagi

[1] "Adalah Rasulullah s.a.w. pertengahan orangnya, tidak tinggi dan tidak rendah. Putih berseri kulitnya. Tidak putih yang keterlaluan, tidak juga terlalu kemerahan. Tidak terlalu kerinting (rambutnya) dan tidak pula lurus. Rambutnya ikal."

Hadis sahih, riwayat al-Bukhari dan Al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a.


[2] "Adalah Nabi s.a.w. lebih pemalu daripada anak dara yang berada di belakang tabirnya, dan apabila Baginda membenci sesuatu dapat dikenali pada wajahnya."

Hadis sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a.


[3] "Adalah Nabi s.a.w. suka memulakan sesuatu pada sebelah kanan selagi Baginda mampu dalam semua urusannya; dalam bersuci, menyikat rambut dan memakai kasut."

Hadis sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah r.a.


Sengaja saya turunkan tiga buah hadis sahih yang menggambarkan keperibadian Muhammad s.a.w. - Nabi besar umat Islam, manusia agung yang terpuji akhlaknya. Cerita sahabat Nabi s.a.w. tentang sifat tubuh, rupa jasad, akhlak atau sikap Nabi s.aw. juga adalah dikira sunnah atau hadis. [Rujuk buku tulisan guru saya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berjudul Selangkah ke Arah Memahami Al-Sunnah terbitan Karya Bestari pada tahun 2004 untuk mengetahui dan memahami dengan lebih lanjut tentang Al-Sunnah atau hadis. Buku ini dapat dibeli dengan harga RM6.50]

Sebetulnya, kepedihan kalbu saya masih menyucuk-nyucuk juga setelah Nabi besar ini dihina sedemikian rupa dengan lakaran karikaturnya dalam 12 rupa dan keadaan yang pelbagai. Barangkali isu besar yang menggemparkan dunia ini sudah sedikit sejuk, tapi hati saya masih panas juga dengan penghinaan yang amat-amat tidak wajar itu. Maka, sempena Maulidur Rasul yang jatuh hari ini, saya kutipkan tiga buah hadis di atas buat renungan, iktibar dan ingatan anda sekelian.

Dan, selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad s.a.w. yang saya cintai ini, Nabi besar yang agung dan sungguh terpuji. Salam Maulidur Rasul untuk yang rajin sekali bertandang ke sini. Esok lusa, saya berkira-kira untuk menulis kisah-kisah yang lain pula. Kisah Mohd Dahri Zakaria [wartawan esastera yang membuat kunjungan tidak rasmi ke gua pertapaan saya di Pulau Mutiara] dan kisah gila saya kepada buku.

Untuk 12 Rabi'ul Awal pada hijrah kali ini, kalian telaah catatan ini sajalah dulu.



Salman Sulaiman
Siber Kafe Bawah Bukit Gambir, Minden,
Pulau Mutiara.
11.48 malam, 11 April 2006 [selasa].
Bersamaan 12 Rabi'ul Awal 1427 H.

Friday, March 17, 2006

Bicara santai bersama sifu Faisal Tehrani

Waktu itu hari ahad, haribulan di jam tangan saya menunjukkan 12 Mac 2006. Ketika saya sampai di Rafflesia Chicken Hut, The Mall dekat PWTC Kuala Lumpur - dia [Faisal Tehrani] sedang menelaah sebuah novel Salina Ibrahim yang segera disimpan ke dalam beg setelah saya memberi salam dan berjabat tangan. Ketika itu hampir jam 3 petang waktu Malaysia. Saya tak sempat melihat apakah judul novel yang dibacanya, cuma saya diberitahu ianya novel karya Salina Ibrahim. Tak pula saya lanjut bertanya judulnya.

Sejak dua tiga hari yang lalu, saya sudah memeterai janji untuk bertemu. Saya baru menghabiskan perjalanan setengah jam lebih dengan KTM Komuter dari hentian UKM, Bangi - dihantar Mohd Dahri Zakaria. Sayangnya jurugambar saya ini tak dapat ikut serta, walaupun setelah berkali-kali saya pujuk - saya maafkan dia kerana seorang anak buah bakal berkunjung ke rumah sewanya, katanya. Kalau tidak, dapatlah dia tangkap gambar saya dengan sifu Faisal Tehrani. Tapi, Dahri sempat memberi pesan bahawa setiap pertemuan saya dengan mana-mana penulis pun bakal berguna di masa depan. Memang, saya akui pesan Dahri dan catatan kecil ini pun adalah sebahagian daripada dokumentasi berguna itu.

Maka, bicara santai kami petang itu hanya sempat saya visualkan dalam telefon bimbit saya yang terlalu kecil memorinya. Dan, tentu saja tidak adalah gambar saya - maksud saya gambar kami bersama, yang terakam hanyalah foto sifu saya ini. Dia berT-shirt biru, berkaca mata dengan sekaki payung di atas meja bersama sebuah beg kecil yang juga terisi buku catatan saya kira.

Lebih kurang sejam setengah juga bicara santai kami petang itu dalam riuh bising kunjungan pelanggan restoran yang tak putus-putus. Katanya, selalunya di sini tak ramai orang dan dia sempat memohon maaf atas sedikit gangguan kebisingan di situ. Saya tak peduli sangat dengan orang yang lalu-lalang dan riuh pelanggan. Yang penting, pelawaan saya untuk bertemu dia petang itu diterima dengan penuh mesra, seadanya. Walaupun sifu saya ini sanggup naik bas dari Melaka hanya kerana memenuhi tuntutan saya. Mati-mati saya ingat dia datang dengan kereta.

Manisnya, dia seniman biasa yang merendah diri, yang boleh saja ditemui di mana-mana. Lebih istimewa borak panjangnya tentang keperitan kerjanya sebagai penulis sepenuh masa. Terlalu banyak yang saya tanya, sampai saya sendiri terlupa untuk memesan apa-apa, hatta segelas air untuk pembasah tekak pun. Dengan segelas air di atas meja yang dipesan awal-awal sebelum saya tiba, sifu ini menjawab sejujurnya setiap soalan dari bibir saya.

Saya sendiri, terlalu mengagumi kerajinannya berkarya. Dia lelaki sasterawan yang tidak pernah kering idea. Selalu saja ada cerita dari tangannya. Menemuinya, tentu saja menambah semangat untuk diri saya sendiri. Dia penulis muda yang saya ikuti perkembangan penulisannya. Habis menterbalikkan sejarah, menulis karya perang, menulis cerita fantasi, kini dia bercerita tentang kehidupan orang asli pula. Anda tentu saja sudah membaca novel bersirinya yang terbaru di majalah Tunas Cipta keluaran Mac 2006. Novel bersiri Eng Bahlut maksud saya.

Terlalu banyak yang nak saya tanya, terasa sejam lebih itu terlalu singkat. Tapi saya berhenti menyoal setelah saya lihat dia sudah begitu penat menjawab. Katanya, dia mahu ke rumah saudaranya di Gombak dan kami berpisah di depan The Mall sebelum saya sekali lagi menempah perjalanan dengan KTM Komuter ke KL Sentral. Di dalam hati, saya berujaran sendiri, "Moga kita boleh ketemu lagi, [dengan sifu yang seorang ini]." Paling tidak pun, pertemuan petang itu membuatkan semangatnya yang begitu rajin berkarya perlahan-lahan meresap ke jiwa saya, moga-moga. Dan untuk catatan penuh bicara santai saya dengan sifu Faisal Tehrani, akan saya dokumentasikan dalam tulisan saya yang lain, catatan yang lebih istimewa saya kira, kalian tunggulah saja....


Salman Sulaiman
Siber Kafe Desasiswa Indah Kembara,
Kampus Pulau Mutiara.
12.08 pagi, 17 Mac 2006, Jumaat yang berkat.
Bersamaan 17 Safar 1427 H.

Tuesday, March 14, 2006

Kerana kawan yang seorang, kuturutkan....

Lebih kurang jam 5 pagi, jumaat lalu - saya tiba di Hentian Puduraya, Kuala Lumpur; bersendiri berkelana. Lelah menunggu Mohd Dahri Zakaria, saya melangkah ke Restoran Anuja, depan Hentian Puduraya. Saya memesan sepinggan nasi lemak & secawan teh tarik. Saya makan seorang diri tanpa Dahri. Saya tak pedulikan orang keliling-kelalang yang barangkali nampak pelik dengan saya yang pagi-pagi buta tak subuh lagi sudah menyuap nasi lemak. Tak kisahlah, janji perut saya yang lapar terisi.

Saya kemudian menempah dua tiket bas Mayang Sari ke Pontian, perjalanan jam 10 pagi. Dahri tiba beberapa ketika kemudiannya dan saya sekali lagi minum segelas air tanpa makan apa-apa bersama Dahri. Kami tinggalkan kota Kuala Lumpur jam 10.12 pagi menuju ke Pontian, Johor. Menghadiri majlis perkahwinan sahabat penulis kami di sana, Mohd Jimadie Shah Othman dengan Emme - watak yang selalu saja ada dalam cerpen-cerpennya. Kami tiba di rumah pengantin perempuan saat imam mula membaca doa selepas akad nikah, setelah beberapa ketika tersesat jauh sampai ke Parit Kudus, walhal rumah pengantin perempuan hanyalah di Parit Semerah.

Malamnya, bersama pengantin lelaki kami bermalam di Hotel Pontian yang terletak berhampiran laut. Rupa-rupanya saya telah sekali lagi ada di penghujung Tanah Besar Asia - tempat yang telah kali pertama saya kunjungi Jun lalu pada majlis Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005. Saya melihat jauh ke tanah seberang sambil berkira-kira untuk sampai ke sana satu hari nanti. Sambil dalam hati sedikit menjerit, "Pulau Karimun - nanti aku datang kepadamu !!!!."

Malamnya, jam satu pagi, saya terlena kerana kepenatan dihingguk bas. Esok, sabtu - majlis persandingan Jimadie sebagai raja sehari. Selepas zohor, kami tinggalkan Hotel Pontian belarak ke rumah pengantin perempuan. Berkali-kali saya disuruh jadi pengapit dan berkali-kali itulah juga saya menolak. Saya hanya memegang hantaran, mengiringi pengantin - melintas jalan & berjalan perlahan-lahan ke atas pelamin di rumah pengantin perempuan.

Di sebelah saya di atas kereta, berkali-kali Jimadie menyatakan dia seperti tidak percaya menjadi suami. Saya pegang keris pengantin yang tersarung dipinggangnya, "Laksamana Hang Tuah." Kata saya dicampur sedikit jenaka. Dia cantik dan tampan dalam sepasang baju pengantin berwarna hijau pucuk pisang.

Petang itu juga kami terpaksa meninggalkan sahabat ini bergembira dengan hidup barunya sebagai suami. Saya memeluknya erat sebelum kami berpisah. Jam 4.30 petang, saya bersama Dahri tiba di Stesen Bas Pontian setelah dihantar Fakri [teman akrab Jimadie di Perlis, yang saya kenali lama dulu, saat mengunjungi anak-anak Teater Republik Cinta di rumah Jimadie di Arau] dengan Perodua Kenari isteri Jimadie.

Perjalanan kami ditunda ke jam 7 malam kerana kata si penjual tiket, penghawa dingin bas rosak. Walhal elok saja bas yang kami naik tu. Tak bergerak-gerak dari jam 5.30 petang tadi lagi. Tak nampak orang baiki pun, tak nampak bas lain datang pun. Rupanya dia tunggu orang ramai sikit untuk bertolak. Hemhhhh, taktik berniaga. Lain kali cakap la betul-betul, tak cukup orang nak jalan - tak payahlah tipu-tipu kata bas rosak.

Sambil menunggu perjalanan balik ke Kuala Lumpur jam 7 malam nanti, jam 6.13 petang sabtu itu [11 Mac 2006], saya kirimkan sms terakhir kepada akrab saya yang baru bernikah ini;

"Assalamualaikum, Die, moga kau bahagia dengan kekasih dunia akhiratmu, Emme. Ini saja yang dapat kuberikan untukmu - mengingati & menghadiri saat kau beraja sehari. Tak dapat lagilah kita 'ngembara bersama. Kawan, kudoakan kau berbahagia dengan redha Allah dunia & akhirat. Izinkan kuteruskan 'ngembara ini, sendiri-sendiri."


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai 2, Minden.
7.31 malam - 14 Mac 2006, Selasa.
Bersamaan 14 Safar 1427 H.

Saturday, March 04, 2006

Membilang yang tiga, sesudah tiga haribulan tiga

Hari ini dah empat haribulan tiga tahun dua ribu enam, kebetulan pula bulan hijrah pun empat haribulan juga - tapi empat haribulan dua [safar] tahun seribu empat ratus dua puluh tujuh hijrah. Baru semalam berlalu, tiga haribulan tiga. Tiga haribulan tiga, banyak juga mengingatkan saya pada yang tiga. Tiga? Ah, tak payah cakaplah, sebab anda semua pun dah tahu kan? Alaaaaaah, tiga. Yalah, tiga. Buat-buat tak ingat pulak. Kan baru tiga hari minyak naik tiga, tiga apa? Tiga puluh sen la. Hah, tu la yang saya katakan yang tiganya. Minyak naik tiga puluh sen [30 sen] berkuatkuasa pada bulan tiga. Kan tahun lepas dah tiga kali naik, bulan Mac sekali, bulan Mei sekali, bulan Julai sekali. Dan khabarnya, tahun ni, memang minyak takkan dinaikkan lagi.

Memang patut tak naik dah pun, sebab dah 30 sen sekali naik. Tahun depan, tak dapat nak mengagak pulak saya, berapa puluh sen akan dinaikkan. Senang saja, saranan saya untuk mengelak anda membebel kalau minyak naik. Hah, macam mana? Senang je. Nak tahu? Senang sangat-sangat. Naik basikal la jawabnya. Naik basikal?????? Aiiii, jangan la terkejut pulak. Memang tak ada cara lain dah pun. Inilah saya kira cara terbaik dan paling wajar untuk tidak melibatkan anda ke stesen minyak untuk bubuh minyak. Cuma, anda akan ke stesen minyak untuk pam tayar basikal ajelah.

Masalahnya kita ni, hanya cakap kedai kopi aje bising-bising, tapi tak buat apa-apa. Naik basikal macam kat China, kat Jepun - kan tak payah susah-susah pakai minyak. Cuma minyak terpakai untuk taruk di rantai basikal, tu aje. Masalahnya, orang Malaysia ni, lagi sesak dan tersumbat jalan, lagilah dia nak naik kereta. Misalnya, di semua IPT seluruh negara, kita pakat-pakat naik basikal. Dan sesiapa yang bertugas sekadar 20 km ke bawah masih boleh naik basikal ke tempat kerja. Tak kisahlah di mana anda berada sekarang, nak pergi kerja, nak pergi kuliah, nak pergi masjid, nak pergi menoreh, ah, mana-mana ajelah anda nak pergi. Semua naik basikal. Setuju?

Hah, apa lagi yang tiga? Saya ni, dah masuk bulan tiga di tahun tiga. Tahun tiga, fuh, sekejap pula masa. Tup-tap, tup-tap, dah tahun tiga bulan tiga. Dua bulan lagi, habislah pengajian saya di kampus Pulau Mutiara. Itulah yang tiganya, yang seingat saya.

Ada lagi, saya sudah hampir miliki tiga buah buku peribadi. Semuanya bulan tiga ni lah juga. Buku saya akan berada di pasaran, juga pada bulan tiga. Iaitu Sebelum Menjadi Penakut dan 'Ngembara ke Utopia Republik Cinta Sesudah Letih Menjadi Lelaki [bersama Jimadie]. Yang penting sekali, anda semua kena beli. Yang penting juga, anda tunggulah saja ya.

Ok, tunggu buku saya yang ketiga pada bulan tiga. Dan, saranan saya, naik basikallah saja. Semua, jom pakat-pakat naik basikal. Naik basikal?, try tengok....



Salman Sulaiman
PC kanan, paling hujung,
Akidjaya, Mache,
Qelate.
6.11 petang, 4 haribulan tiga, 2006.
Sabtu, 4 Safar 1427 H.

Wednesday, March 01, 2006

Ini memang tak boleh jadi

Beberapa minggu yang lalu, saya kembali membelek-belek majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2005 yang kulit depannya tertera foto Amiza Khusyri Yusof yang menjadi Tokoh Profil. Belek-belek punya belek, punya belek. Saya menelaah pula puisi sahabat saya, Anjan Ahzana yang berjudul Hujan, tersiar dalam ruangan sajak halaman 59.

Saya pun bacalah puisi sahabat saya itu. Lantas saya teringat dan terperasan sesuatu. Saya teringatkan ulasan Shamsudin Othman tentang puisi tersebut dalam majalah Tunas Cipta yang terbaru, edisi Februari. Aik! Sedarlah saya, rupanya puisi Hujan karya Anjan Ahzana telah disiarkan sekali lagi oleh majalah Tunas Cipta, edisi Januari 2006 pada halaman 11. Kata saya di dalam hati, "Ini memang tak boleh jadi."

Mungkin Shamsudin Othman boleh membantu saya menjawab semua ini. Atau, saya pasti Kak Nisah Haron tentu saja ada jawapan yang tepat untuk kes ini. Bukan saya dengki kerana Anjan dapat dua kali honorarium untuk puisi Hujannya itu, tak. Saya sibuk-sibuk tulis ini kerana ia memang salah dari segi etika penulisan. Anda semua pun fahamkan?

Dan pagi semalam, saya utuskan sms untuk seorang teman penulis di UIAM, Gombak - Nasriah Abdul Salam, ucapkan tahniah atas puisi terbarunya berjudul Perhutangan Dengan Tuhan yang tersiar di majalah 'i' terbaru, edisi Mac pada halaman 96 beriringan pula dengan cerpen sifu kami, Faisal Tehrani yang berjudul Sultan Alauddin Syahid Diracun.

Menjerit Nasriah dalam smsnya, "uwa". Kerana puisi tersebut telah disiarkan oleh majalah 'i' edisi Mei tahun 2005 yang lalu. Kali ini, dengan lebih tegas sekali lagi saya berkata di dalam hati, "Ini memang tak boleh jadi." Lantas saya nekad untuk hebohkan hal ini di sini, dalam blog ini. Tapi, sempat pula dia berjenaka dalam kiriman sms berikutnya, "....Karangkraf belum bayar untuk puisi tu, yang keluar tahun lepas mungkin sebab tu dia siarkan lagi..nak bayar lebih! Hehe." Beritahunya juga, kini dia sudah tak guna nama Nasa Natrah lagi dalam berkarya, kerana puisi tersebut masih menggunakan nama penanya yang lama - Nasa Natrah.

Saya tak kisahlah Anjan & Nasriah dapat dua kali bayaran untuk satu puisi yang sama. Tapi, yang nak saya pertikaikan adalah ianya salah dalam etika penulisan. Saya pasti, kes ini bukan salah penulisnya tapi, kesilapan editor majalah tersebut tentunya. Kak Nisah, selesaikan.... & tuan editor, tolong jawab....


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai 2, Minden.
11.43 malam - 1 Mac 2006, Rabu.
Bersamaan 1 Safar 1427 H.

Monday, February 27, 2006

Kalaulah saya diberi peluang untuk bersahabat dengan Baginda SAW

Sehari dua ini, anda tahukan - apa yang heboh dan kecoh-kecoh tentang pesuruh Allah yang agung, Muhammad SAW. Untuk tidak membuang masa, saya kutip apa yang ditulis oleh Datuk Kalimullah Hassan dalam tulisannya di akhbar Berita Minggu semalam;

" Jumaat lalu, ratusan ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat NST di Balai Berita, Bangsar. Mereka berarak dari Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas selepas waktu makan tengah hari dan solat Jumaat. Ada yang membawa kain pemidang dan sepanduk, menggelar rakan sekerja dan saya sebagai 'anak haram', ejen 'Zionis', dan 'Singapura'. Pernah mendengarnya?

Saya kutip sebahagiannya saja, sepenuhnya anda baca sendiri. Juga, baca apa yang ditulis Datuk Hishamuddin Aun dalam kolumnya 'Kaca Mata'. Saya sendiri memang marah kalau orang menghina Junjungan Besar Muhammad SAW. Terlalu marah, sungguh-sungguh - memang saya marah. Tapi, Nabi SAW tak pernah ajar umatnya membuat tuduhan tanpa bukti yang benar dan sahih. Kalau nak berdemonstrasi, demonstrasilah tapi jangan pula menuduh orang anak haram atau kafir atau apa pun tuduhan tanpa ada bukti yang sahih dan benar.

Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW. Ada juga, dan selalu juga kita dengar orang bercakap dan berceramah dengan menghina orang lain, mencarut dan mengata orang. Begini saja, dengan logik fikiran yang paling mudah. Bayangkan saja, andai Nabi SAW ada di depan orang yang mengata dan menghina orang lain itu. Agak-agak Nabi SAW akan dengar tak orang tu bercakap. Agak-agaklah. Mudah saja kan?

Saya sendiri, demi Allah, saya tidak pernah terdetik walau sebesar kuman untuk menghina manusia agung ini. Demi Allah, tidak. Saya terlalu sayangkan Baginda SAW. Pelikkan, apa yang berlaku sekarang ni. Ramai yang marah sangat bila orang lukis gambar Nabi SAW, tapi yang marah tu tak ikut pun cara Nabi SAW dalam hidupnya. Macam saya cerita tadilah, dia berdemonstrasi bantah orang hina Nabi Muhammad SAW, tapi dia tuduh orang anak haram. Tuduh-tuduh tu kan bukan ajaran Nabi SAW. Pelikkan?

Ramai yang kata sayang Nabi SAW. Dia kata ikut Nabi SAW, tapi dia sembahyang tak macam Nabi SAW. Dia selalu mengadakan cerita palsu tentang Nabi SAW. Untuk mengakhiri catatan kecil ini, elok kiranya saya kutip sabda Nabi SAW yang bermaksud;

"Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka."

Hadis ini sahih, riwayat Bukhari & Muslim.

Selalu-selalulah ke mari, menatap akhbar kecil saya ini. Di sini, demi Allah, anda tidak akan menemukan walau sebesar hama penghinaan atau apa-apa bentuk perlekehan untuk Nabi Besar Muhammad SAW. Saya terlalu menyayangi Baginda SAW. Kalau boleh saya ingin bersahabat dengan Baginda SAW, tapi mustahil. Tinggal cuma harapan, untuk menemui Baginda SAW di syurga Allah, nanti.

Dalam akhbar kecil saya ini, sayalah pemberitanya, sayalah wartawannya, sayalah editornya, sayalah ketua editornya, sayalah pengarangnya dan sayalah juga ketua pengarangnya. Demi Allah, tidak akan ada apa-apa karikatur yang menghina sesiapa dalam akhbar kecil saya ini.


Salman Sulaiman,
Siber Kafe KBM, Minden.
7.38 malam, 27 Februari 2006 - Isnin.
Bersamaan 28 Muharam 1427 H.

Friday, February 10, 2006

Kupinjamkan kata-kata Seno Gumira Ajidarma

Saya bawakan di dalam beg galas saya, buku Seno Gumira Ajidarma, berjudul 'Ketika Jurnalisme Dibungkam, Sastra Harus Bicara'. Sebuah buku kecil yang cantik, menarik. Kalau ada masa-masa terluang, saya bacakan. Ia sebuah naskhah santai daripada seorang wartawan-sasterawan muda Indonesia yang begitu dikenali -- Seno Gumira Ajidarma. Yang ada di tangan saya, sudah edisi kedua.

Saya perturunkan sebahagian kata-katanya 'yang begitu menarik sekali untuk dikongsi', ketika menyampaikan ucap tama sebagai penerima SEA Write Award tahun 1997. Saya ambil pada bahagian tengahnya yang berbunyi begini;

Saya tidak pernah yakin, dan tidak pernah terlalu percaya, bahwa tulisan saya dibaca orang.
Saya berasal dari sebuah negeri yang resminya sudah bebas buta huruf, namun yang bisa
dipastikan masyarakatnya sebagian besar belum membaca secara benar - yakni membaca
untuk memberi makna dan meningkatkan nilai kehidupannya. Masyarakat kami adalah
masyarakat yang membaca hanya untuk mencari alamat, membaca untuk mengetahui
harga-harga, membaca untuk melihat lowongan pekerjaan, membaca untuk menengok
hasil pertandingan sepak bola, membaca karena ingin tahu berapa persen discount obral di
pusat perbelanjaan, dan akhirnya membaca subtitle opera sabun di televisi untuk
mendapatkan sekadar hiburan. Sementara itu, bagi lingkaran eksklusif kaum intelektual di
negeri kami, apa yang disebut puisi, cerita pendek atau novel, barangkali hanya dianggap
mainan remaja saja.
Dalam masyarakat semacam itu, apakah seorang penulis masih ada gunanya? Apalagi
seorang penulis dengan gagasan-gagasan kecil seperti saya.

Saya kira, apa yang saya petik ini wajar sekali diperhatikan sesungguh mungkin oleh setiap penulis kita, penulis Malaysia maksud saya. Tambahan pula, penulis-penulis muda. Penulis mapan tentu saja. Sebagai penulis, teruslah kita sama-sama berusaha supaya anak-anak muda kita akan jadi betul-betul gila membaca -- membaca bahan yang lebih cerdik dan berguna maksud saya.

Saya masih di Pulau Mutiara, panas masih membara-bara. Adalah hujan sekali-sekala. Kalau nak jumpa saya, rajin-rajinlah datang lagi ke mari. Datang-datanglah selalu, buat macam rumah oranglah ya. Wallahhua'lam.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM, Sungai Dua,
Minden, Pulau Mutiara.
11.56 malam,
11 Muharam 1427 H, Jumaat yang penat-penat.
Bersamaan 10 Februari 2006.

Saturday, January 28, 2006

Menyambung naskhah luka yang dulu

Saya masih tak habis-habis juga untuk bicara tentang masih terlalu banyak benda yang nak saya tulis dan masih tetap banyak juga yang membuatkan saya terguris. Sebenarnya, naskhah 'Seni, Puisi dan Manusiawi' telah hampir separuh dibuang dan dipotong di sana-sini. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa dan tidak akan menyalahkan sesiapa, atas kehilangan keaslian naskhah terbaru saya itu. Memang pihak editor berhak sepenuhnya ke atas tulisan saya itu.

Panjang lebar saya sampaikan tentang ketergurisan kalbu rasa sebagai manusia yang tak pernah habis-habis menelaah & berjuang untuk sastera. Tolong jangan marahkan saya, kalau saya terpaksa berangkat pulang ke kampung halaman mengubat luka dan hati sendiri yang dipenuhi seni. Dan ditimbuni puisi. Saya sudah bosan bersyarah kepada teman-teman yang buta seni dan terlalu payah untuk mengerti. Selalu saja bebelan saya menidurkan mereka & mengulik tidur mereka.

Dan saya ubatkan hati sendiri dengan memandang langit sepi berbulan sabit, menelaah orang yang lalu-lalang. Saya sepikan diri menulis puisi, mencatat serba-serbi. Itu ini. Menulis diari. Saya lelaki. Saya perlu jantankan diri untuk perjuangan yang payah ini. Sekali saya berkata ya, saya tetapkan akan teruskan juga sampai bila-bila.

Memang saya boleh bermimpi yang tinggi-tinggi, yang besar-besar, yang jauh-jauh. Tapi, untuk melaksanakan segala mimpi itu, saya sendiri hanya ada kudrat yang terlalu kerdil. Terlalu kerdil. Allah tetap akan membantu, saya tetap akan terus percaya itu.

Malam ini saya balik kampung & saya tahu Tuhan tetap akan menolong.



Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM, Sungai Dua,
Minden, Pulau Mutiara.
6.31 petang, sabtu - 28 Januari 2006.
Bersamaan 28 Zulhijjah 1426 H.

Saturday, January 14, 2006

Masih terlalu banyak yang nak saya tulis, masih terlalu banyak yang membuatkan saya terguris

"Masih terlalu banyak yang nak saya tulis, masih terlalu banyak yang membuatkan saya terguris," begitu bunyi sebaris kata yang telah berhari-hari juga terbenih di kepala saya. Ruangan profil di Tunas Cipta, Januari 2006 (http://www.dbp.gov.my) masih belum cukup untuk meluahkan isi hati saya.

Gurisan di hati saya masih belum sembuh-sembuh juga. Naskhah 'Seni, Puisi dan Manusiawi' paling tidak pun dapat menyembuhkan sedikit kelukaan yang saya cuba ubati sendiri selama ini. Dan, paling tidak pun, ia membuktikan saya akan terus menulis juga; walau tiada siapa di sisi yang sudi & sanggup menemani.

Beberapa ketika sebelum saya membelek kalendar baru, saya menerima sms selamat tahun baru daripada sifu Rahimidin Zahari & dia juga menaipkan, lama tak baca karya baru saya. Dan saya kira, untuk beberapa ketika elok dia baca dulu catatan pendek saya di Tunas Cipta. Walau naskhah 'Seni, Puisi dan Manusiawi' belum dapat meluahkan sepenuhnya apa yang ada di kalbu rasa saya sebagai manusia yang hampir sedekad juga menghalusi hidup ini seseni yang mungkin.

Kini, saya sudah di Pulau Mutiara sambil-sambil tak pernah putus berkira-kira apa yang akan saya tulis seterusnya. Aidiladha hanya sempat saya sambut sehari saja di Teratak Seni Padang Raja. Mujur sempat juga saya tolong potong-potongkan tulang lembu Mak Saudara yang rebah Aidiladha ini. Cuti singkat di Pulau Mutiara memaksa saya tergesa ke kampus semula.

Izinkan saya terus saja bertapa di tengah riuh-rendah Pulau Mutiara, sambil-sambil berkira-kira untuk memberi kalian baca tulisan saya yang seterusnya pula. Sejuk dingin tanah serendah sekebun bunga bertukar dengan panas membahang Pulau Mutiara masih belum juga dapat menukarkan buak darah luka di jiwa saya.

Seperti sebaris kata yang telah berhari-hari bermain di kepala saya, "Masih terlalu banyak yang nak saya tulis, masih terlalu banyak yang membuatkan saya terguris." Kalian tunggu sajalah dulu ...


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden.
5.24 petang, Sabtu - 14 Januari 2006.
Bersamaan 14 Zulhijjah 1426 H.

Saturday, December 17, 2005

Dah tiga kali naik air, dah tiga kali banjir

Teratak tua saya di Padang Raja ketika ini, saat saya sedang menaipkan kemaskini terbaru ini - sedang lebat ditimpa hujan musim tengkujuh. Beginilah keadaan di tanah Kelantan sejak beberapa minggu yang lalu. Ditimpa hujan bertalu-talu. Hanya sesekali panas matahari menghias langit tengkujuh. Saya sudah banyak kali kesejukan ditimpa hujan. Dah tak tahan rasanya nak ikut serta anak-anak dan jiran-jiran sekampung berpayung ke sungai melihat air sungai yang berombak-ombak, ditimpa hujan mencurah-curah.

Dan saat ini juga, ketika saya sedang tercongak di kerusi komputer menaipkan ini - saya dapat melihat dengan jelas air sungai yang kekuningan menyeberang jalan kampung di depan rumah saya. Pintu keluar ke halaman yang terbuka membolehkan saya melihat dengan jelas dari sini, dari ruang tengah tempat saya menulis ini - panorama hujan lebat menimpa air sungai sementara yang baru tercipta di awal pagi tadi merentang jalan depan rumah saya.

Ketika limpahan banjir dah sampai ke tahap memuncak, rumah saya akan diapungi air - dikelilingi air. Air yang berwarna teh susu itu, akan memenuhi kiri kanan rumah saya - dapur, halaman, bawah rumah, depan dan belakang. Tapi sekarang, pemandangan itu dah hilang kerana limpahan air itu dah banyak surut.

Ketika limpahan air itu sampai ke paras kemuncak juga, lintasan air banjir di atas jalan berturap depan rumah saya boleh mencecah ke paras pusat. Kuat dan laju. Takut juga kalau menyeberang keseorangan. Masuk yang ini, untuk musim tengkujuh tahun ini dah tiga kali kampung saya dinaiki air. Tapi, alhamdulillah - setakat tiga kali banjir ini, belum ada lagi warga kampung kami yang kena berpindah. Air banjir sekadar mencecah ke paras betis di atas simen dapur rumah saya yang rendah. Tapi, tak pernah pula ia mencecah sampai ke lantai papan yang tinggi. Maka, tak adalah kami kena pindah-pindah. Sekadar angkat barang-barang dari kawasan dapur yang rendah, bawa naik ke atas gelegar rumah yang tinggi.

Sekarang, air banjir yang mula melimpah sejak awal subuh tadi dah mula surut. Air sungai yang menyeberang jalan dah mula menipis. Motosikal budak-budak yang meninjau-ninjau air dah berani melintas - mencipta percikan air yang tinggi ke kiri kanan jalan. Banjir hari ini lebih tohor dan sekejap berbanding dua kali banjir yang lepas.

Kini, langit masih gelap juga. Hujan masih turun juga. Ayam jantan jiran berkali-kali berkokok di bawah rumah saya - kesejukan. Angin masih bertiup juga. Kata orang tua-tua, kalau berangin begini - maknanya air nak naik lagi. Air yang melimpah atas simen dapur rumah saya dah hilang. Surut. Tak tahulah takut-takut esok lusa banjir lagi. Masuk yang ini, kampung saya dah tiga kali naik air, dah tiga kali banjir. Eiiiiii, sejuknya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.39 tengah hari, 17 Disember 2005 - Sabtu yang sejuk sungguh, banjir.
15 Zulkaedah 1426 H.

Tuesday, November 15, 2005

Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit

Semalam, dengan akrab saya di kampus, kami tinggalkan seketika keriuhan kampus Pulau Mutiara, naik bas mini ke Georgetown. Menyusur sibuk lalu-lalang negeri Pulau Pinang. Melihat rumah-rumah orang di jalanan, fikiran saya segera menerawang mengingat ibu yang jauh di kampung halaman.

Saya tengok sibuk orang di jalanan. Saya nampak rumah-rumah yang padat dan sendat. Saya tengok halaman yang kosong, tiada ayam dan itik serati berkeliaran. Jauh sekali lembu kambing, kerbau balar apatah lagi.

Saya memang tidak boleh tinggal di rumah yang tak berhalaman, yang tak ada pohon-pohon rendang. Tak ada pohon-pohon pisang. Kepada akrab di sebelah, saya bebelkan macam-macam. Dia pun mengiyakan berkali-kali, dia pun tak boleh tinggal di rumah yang sendat begini.

Lancar pula idea mencurah-curah di kepala saya. Saya mula mencatatkan sesuatu ke dalam telefon bimbit saya - biarlah, walau saya tahu, ia tak akan dibaca ibu. Sms saya takkan sampai pun kepada ibu, saya tahu itu. Di ruang taip mesej multimedia, tangan saya mula rancak menaipkan rasa hati dan salinan penuhnya berbunyi begini;

"Sms kepada ibu yang tak ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau kau tak ada telefon bimbit pun, tak apalah. Sms panjang ini hanya untukmu seorang saja. Sms kepada orang lain yang ada telefon bimbit, pendek-pendek saja. Mana boleh panjang-panjang. Orang yang ada telefon bimbit, mana boleh sms panjang-panjang. Sibuklah katakan. 'Bz' kata orang yang ada telefon bimbit. Tak apalah ibu, kalau halaman rumah kita tak berpagar pun, tak apalah. Janji, dalam hati kita masih ada pagar yang teguh & kukuh. Biar lembu dan kambing jiran senang masuk ke halaman. Biar itik ayam senang berkeliaran. Biar halaman rumah kita lapang. Biarlah halaman rumah kita senang dibuat jalan orang lalu-lalang. Tak apalah ibu halaman rumah kita dipenuhi pokok-pokok rendang, senang nanti anak cucu menggantung buaian. Tak apalah ibu kalau kau tak ada telefon bimbit pun tak apalah, senang nanti kau terima smsku yang panjang-panjang berpuluh halaman. Sms ini hanya untukmu seorang saja. Kau tahukan ibu, sms ini dari anakmu yang pilu."

Disimpan:
05:26:03pm
14/11/2005


Salman Sulaiman
Didi Siber Kafe, Bawah Bukit Gambir,
Minden.
11.14 malam, 13 Syawal 1426 H.

Selasa, 15 November 2005.

Sunday, November 13, 2005

Selamat harijadi untuk diri sendiri

Saya sms dia berkali-kali, senyap sepi. Lalu saya hubungi dua kali, juga tak diangkat. Dalam kepala saya, dah fikir yang macam-macam - yang bukan-bukan. Dari pagi, sampailah hampir jam 12 malam, 13 November - sms saya langsung tak berjawab, deringan panggilan saya langsung tak diangkat. Entah, apa-apa jadi pada dia. Entah-entah dia diculik orang dan telefon bimbitnya ditinggalkan atau dibuang ke mana-mana.

Resah saya semalaman memikirkan takut dah jadi apa-apa dengan dia. Payah juga saya mahu lena dibuatnya. Tiba-tiba, tepat jam 12.03 pagi ikut jam tangan casio saya yang cepat tiga minit, dia menelefon dari telefon bimbitnya - mengucap salam dan menyanyikan lagu harijadi untuk saya. Dan dia segera memberitahu, dia sedang menunggu saya di sebuah restoran mamak di luar kampus. Saya tak terkata, terpinga. Tertanya-tanya, awak datang dengan apa? Dia minta saya cepat-cepat salin pakaian dan segera ke tempat dia menunggu saya.

Saya segera pinjam motor kawan, memandu dalam fikiran yang masih tak percaya. Iskh, awak datang dengan apa? Iskh, betul ke? Sampai di sana, sudah tersedia kek bersaiz sederhana di atas meja. Rupanya dia datang bertiga dengan dua lagi kawan, memandu bergilir-gilir dari Selangor dengan perodua MYVI yang baru dibeli. Saja, katanya. Dia nak kejutkan saya dan nak sambut harijadi saya di Pulau Mutiara, sambil-sambil nak tunjuk kereta barunya. Sayang, saya tak boleh memandu. Kalau tak, boleh juga saya merasa mencuba kereta baru.

Dia tak pacak lilin atas kek, cuma dia nyanyi bertiga dengan kawan-kawannya untuk saya yang masih terpinga-pinga - katanya, ini semua saya buat untuk awak seorang saja, istimewa. Terlalu istimewa. Saya masih bingung terpinga-pinga campur tidak percaya. Ini buatkan saya rasa lebih sayang pada dia. Tak pernah pula, orang kejutkan saya di harijadi sampai begini sekali. Seumur hidup tak pernah, inilah pertama kali saya dibuat terkejut dan terkesima sampai begini.

Tak adalah. Tak ada kek pun untuk harijadi saya. Tak ada ucapan dari telefon, dari telefon bimbit apa lagi. Ini semua cuma 'khayalan kreatif' saya setelah seharian gagal menghubungi dia, yang entah ada entah tiada, atau hilang entah ke mana. Untuk harijadi saya yang jatuh hari ini, 13 November 2005 - saya cuma menerima empat sms ucapan harijadi ke talian maxis saya.

Pien jadi orang pertama yang ucap selamat harijadi untuk saya kali ini, di awal pagi lagi - ketika kami masih belum tidur, berbunyi;

*Selamat Hari Lahir*

Moga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki yang diberikan olehNya utk mengabdikan diri kepadaNya. Wassalam


Seusai subuh, pagi-pagi lagi Ros mengutusi begini;

Askum,SELAMAT HARI LAHIR.Semga awak dmurahkan rezeki,dbrkati ALLAH.

Adik Sue mengutusi sebagai orang ketiga ketika jam di telefon bimbit saya sudah 6.18 petang, dengan tulisan;

A'kum. SLMT HARI JADI buat abe t'syg, smg kehidupnmu sntiasa d rhmatiNYA..

Amir jadi orang ke empat dan terakhir yang mengutusi dan mengucapkan selamat harijadi untuk saya pada hari ini, hari yang cukup bererti buat si saya ini. Smsnya berbunyi, sampai ketika selesai isya', begini;

SELAMAT HARI LAHIR KE 25. Semoga allah panjangkan umur mu dan murah rezeki. "Amin.."

Terima kasih banyak Pien, Ros, Adik Sue dan Amir yang sudi mengutusi. Terima kasih kerana sudi mengingatkan aku yang lara ini. Tak apalah, walau tanpa ucapan dari bibir sesiapa untuk harijadi saya. Tak apalah tanpa kek dan lilin pun, tak apalah. Cukuplah, dengan ucapan dan ingatan yang bertalu-talu dari Tuhan yang dari pagi tadi melayang-layang di fikiran saya;

Salman, genaplah setahun lagi umurmu hari ini, ingatlah kau tetap pasti akan mendiami liang tanah ini.

Terima kasih semua. Jumpa lagi.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM, Sungai Dua,
Minden.
11.38 malam, 13 November 2005, yang mengingatkan, Ahad.

11 Syawal 1426 H.

Tuesday, November 08, 2005

Jenuh juga berhari raya

Jenuh juga berhari raya. Jumaat hari raya kedua, sehabis solat Asar - dua buah kereta sepupu bersama mak saudara dari Kota Bharu menjadi tetamu hari raya. Abang Fakru dan isteri, Mok Teh dan Madiha sebuah kereta sudah ada menjamu selera. Tak berapa lama, Abang Man dan Kak Na bersama Apiq juga tiba. Dengan Apiq, kami dua berpeluk mesra. Sepupu yang seumur sebaya ini begitu istimewa. Maklum saja, kami tak jumpa lama. Dia, baru menyelesaikan dua tahun Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islamnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kira-kira, dicampur segala macam urusan, dia perlu menghabiskan setahun lagi di sana.

Sesudah mereka dua buah kereta berangkat pulang, Ros menjelma dengan sepasang baju raya, kurung biru yang ceria dan sempat menjamah sedikit kuih raya, kemudian tiba pula Kak Yah dan suami sebuah kereta bersama anak kecilnya yang hitam manis bergaya - si Atikah yang riang ria, peramah dan banyak bicara. Aku mengajak Atikah tidur saja di Padang Raja, tapi tak nak pula dia. Gadis kecil enam tahun ini, galak gembira peramah mesra - cerdik dan petah pula berbicara. Kak Yah tidak lama di Padang Raja. Mereka bertiga berangkat pulang beberapa ketika sebelum maghrib tiba.

Sehabis isyak, majlis hari raya di Teratak Seni Padang Raja disambung lagi. Abang Zack tiba, berjalan kaki dari rumahnya yang jauhnya beberapa hasta saja. Dari rumahku ke rumahnya, lempar batu pun kena. Anaknya Adik Ja, kalau berlari dari rumahnya ke rumahku hanya beberapa ketika saja, dekatnya. Hanya sejauh beberapa belas langkah anak kecil seusia Adik Ja. Macam-macam pula topik bicara kami melayannya di hari raya.

Tak lama, tiba pula seekor sang kancil hijau - Mak cik sekeluarga, bersama Pak cik, Kak Ti, Sham, Pi dan Ha yang jadi driver. Lebih panjang dan meriah celoteh cerita kami semua di malam raya. Banyak pula kisah dan cerita yang jadi topik bicara. Dicampur lawak jenaka, sampai juga kepada kisah jodoh yang tak disangka-sangka. Jam sebelas dua puluh malam, mereka pulang dan Teratak Seni kembali lengang.

Hari raya ketiga, lain pula ceritanya. Pagi, tak ke mana-mana. Petangnya, sang kancil yang sama membawa kami ke Pengakalan Datu dekat Kota Bharu. Lenguh juga, bertin sardin di dalam kereta. Lama juga, puas berlunjur bersila. Membuat kunjungan semula ke rumah mak saudara di Kota Bharu sempena Majlis Akikah anak Abang Fakru. Bergulai kambing juga kami di hari raya. Sekali lagi jumpa Atikah yang mesra dan riang ria. Dia pula kuajak pulang ke Machang, lagilah tak nak dia. Jalan sibuk sungguh, sesak bersumbat. Sendat dan lambat. Orang berasak di jalan raya, berhari raya. Sepuluh setengah malam juga, tiba di Padang Raja. Aduh, penatnya.

Hari raya ke empat, Majlis Bercukur Jambul cucu Mak Long pula yang dilaksana oleh Imam Masjid Kuala Baka, Ustaz Wan Lutfi. Ketika rambut si kecil dicukur, selawat bergema - mengalun ke angkasa hari raya, penuh bahagia. Enak juga menjamu selera. Kambing juga yang jadi mangsa.

Kemudiannya, dengan sang kancil yang semalam juga - berangkat jauh ke pinggir sungai Kelantan bersama Kak Ja yang tukang bawa kereta dengan Mak cik, Pak cik dan Sham anak bongsu mereka, aku ikut serta ke rumah Pak Da; bapa saudaraku yang sudah tak berdaya kerana kabur matanya. Sayu hiba rasa, tatkala menatap sakitnya. Rumahnya yang dalam proses pembaikan seperti tak bermakna kepadanya - dengan mata yang kabur dan tak berdaya.

Lama masa yang Pak Da ambil untuk mengecam suaraku, anak saudaranya. Dengan orang lain pun begitulah, dia hanya kenal suara. Orangnya sudah tidak jelas di mata Pak Da. Yang boleh dicam hanya suara. Mujur telinganya masih baik seperti sediakala. Rabu ini, dia akan melakukan pembedahan mata di Hospital Besar Kuala Krai. Sihat hendaknya Pak Da seperti semula, aku akan sama-sama berdoa untuknya. Selepas maghrib juga, baru tiba semula di Padang Raja setelah meredah sesak kenderaan yang agak panjang di Machang. Malam, tak ke mana-mana, kerana penat siang berhari raya masih terasa.

Hari raya ke lima, rutin biasa sebelum Aidilfitri disambung kembali. Ibu dan Adik Su kembali bekerja. Jalan raya kembali sesak semula. Laluan Machang ke Jerteh ikut lebuh raya yang melalui UiTM Machang sibuk juga. Berderet-deret kereta dan macam-macam kenderaan yang mula menyusur keluar meninggalkan daerah Machang. Esok lusa, semuanya akan kembali lengang seperti biasa, seperti sediakala sebelum hari raya. Selamat kembali bekerja untuk semua, selamat kembali berbuat apa saja untuk semua yang sudi membaca catatan saya. Tapi, rasa-rasa masih belum terlambat juga untuk mengucapkan - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
3.49 pagi, hujan menderu di atas kepala.
6 Syawal 1426 H, Selasa yang masih bersisa,
8 November 2005.

Friday, November 04, 2005

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata

Letih penat juga berhari raya, pergi rata-rata. Takbir bergema seawal subuh lagi di pagi Aidilfitri. Dilaungkan dua orang Pak su, bertalu-talu. Disambung lagi, di pagi cemerlang Aidilfitri sebelum solat sunat hari raya. Aku berjalan kaki ke madrasah, bersongkok bercapal, berbaju Melayu hijau kuning, berlilit sampin hitam kelabu, mengekor di belakang ibu dan Kak Nor sepupuku. Walaupun madrasah kecil Membuaya tidaklah sesendat mana, tapi yang penting kami bahagia berhari raya. Bertakbir hiba, dan Pak su Lah menitiskan air mata - sendu dan hiba, entah rasa apa yang begitu menyucuk-nyucuk hulu hatinya. Memang begitu syahdunya takbir hari raya, selalu saja membuat orang menangis hiba. Dia menangis hiba, ketika lafaz takbir belum habis dari mulutnya.

Bersolat sama, dan bersila mendengar khutbah hari raya dan kini giliran Pak Da pula yang menangis hiba menitiskan air mata. Sebagai orang tua, seperti dapat kurasakan apa yang luka di dalam dadanya - hati, kalbu dan jiwa. Majlis solat hari raya, selesai dengan penuh ceria dan kami bersalam bersua muka. Adnan memelukku mesra, sahabat dari kecil yang sebaya ini, kini dah beranak tiga.

Cuma aku saja, yang masih tak kawin-kawin juga. Sehabis solat, terus balik saja. Badrul, Ameir, Epih, Iwan, Pi dan Sham singgah berhari raya. Gembira dan bahagia sama-sama menjamu selera. Kak Nor juga singgah seketika bertemu Adik Su dan Adik Siti. Dan kami ramai-ramai ke rumahnya pula. Menjamah laksa, kuah Kelantan dan Penang digaul rata; makan berselera, menambah juga dibuatnya.

Hampir tengah hari, waris-warah dari Guchil datang menjemput. Berkira-kira, tapi sudah lama benar tak ke sana. Aku, Adik Siti dan ibu menyusur sibuk lalu-lalang jalan Kuala Krai - Machang dibawa Abang Zul dan temannya pulang berhari raya di Kampung Guchil. Kampung berbukit tinggi rendah ini, menyambut kami penuh mesra sekali di pagi Aidilfitri. Penduduknya ceria dan penuh peramah mesra.

Adik beradik Abang Azit dah tujuh, anaknya pula sepuluh - menyambut kami riuh. Di lantai, duduk bersila bersimpuh. Hari raya jadi penuh kecoh dan hatiku bahagia sungguh. Makan tengah hari pula, bergaulkan sambal pauh. Fuh, enak sungguh.

Kemudiannya menyusur ibu di rumah sebelah, Mak cik Embun menyambut aku dengan penuh mesra dan ceria dengan bermacam cerita bersama Peja yang comel di ribanya. Anak kecil yang belum pun genap setahun ini tak pandai bercakap lagi. Tapi tak berkelip-kelip matanya memandang aku dan dia mengecam lama. Peja ini, kata neneknya, suka sangat ketika dengar azan bergema dan kalau dia bertahlil, Peja akan duduk lama-lama mendengarnya. Inilah satu perangai yang istimewa dan menarik sekali tentang anak kecil ini. Aku tinggalkan Peja dengan kucupan terakhir di dahinya, penuh cium mesra. Ingin lagi aku ke mari jumpa dia lagi. Pasti, takkan kulupa matanya yang tak berkelip-kelip memandang aku, lama.

Malam, tak ke mana-mana. Berhari raya dengan Ros di teratak ibu di Padang Raja. Letih rasanya nak menjajat rata, berhari raya pada malam-malam buta. Jawabnya, berlunjur bersila di rumah saja.

Pagi ini, Kak Yah di Kota Bharu awal-awal lagi menelefon ingin ke mari petang nanti. Ya, sampai mereka saja, tentunya akan lebih meriah hari raya di teratak tuaku di Padang Raja. Semua, selamat hari raya dariku untuk kali yang entah ke berapa. Jenguk-jenguklah ke Padang Raja. Ampun maaf semua, selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
12.57 tengah hari, Syawal kedua yang mulia, 1426 H.
Jumaat yang penuh berkat, 4 November 2005.

Thursday, November 03, 2005

Selamat tinggal ramadan, selamat datang lebaran

Ramadan sudah pergi. Lepas ni, tak ada sahur lagi. Siang nanti, dah boleh sarapan pagi. Sekejap tadi, meriam buluh masih sayup berbunyi, jauh di atas wakaf di tengah bendang. Aku kenal sangat dengan budak-budak yang main meriam buluh tu. Selalunya mereka akan tebang buluh duri sebesar peha untuk buat meriam buluh dan mereka akan lebih seronok kalau dapat letakkan tempurung di muncung meriam buluh itu, dan mereka akan sama-sama tengok tempurung itu akan melayang jauh ke tengah baruh.

Sampaikan Raya masih bergema di TV3. Adik Siti, Adik Su dan Bonda masih tak tidur-tidur juga. Kan esok hari raya. Takbir sudah bergema, sayu pilu rasanya di dalam jiwa. Pelita di halaman sudah padam. Sayu pagi Aidilfitri terlalu menyucuk sampai ke hulu hati. Aku tiba-tiba teringatkan Nina di Panti Asuhan di Aceh. Kuingat benar cita-cita besarnya yang mahu jadi doktor. Katanya, dia mahu menolong anak bangsanya di masa depan. Dia sedang buat apa agaknya? Gembirakah dia di hari raya? Salamku buat Nina yang sedang luka jiwanya di tanah Aceh yang jauh.

Tiba-tiba aku teringatkan Mak cik Endon dan Kak Asmah di Selangor. Bercucuran air mataku ketika TV3 bersinggah sahur di rumah mereka. Kak Asmah mengesat air mata disaksikan oleh sebahagian dari dua belas anaknya yang kemudiannya ikut menangis juga, setelah sebak melihat air mata bercucuran di pipi ibu mereka. Terkenang aku pada Kak Asmah, si tukang sapu yang pilu itu. Dia bergenang air mata ketika ditanyakan tentang baju raya anak-anaknya. Katanya, pakai apa yang ada. Luka hatinya, tak siapa yang rasa.

Tiba-tiba juga, aku teringatkan anak-anak di rumah anak-anak yatim di Parit, Perak. Terubat juga rindu dan luka hati mereka setelah dikunjungi Fifi dan teman-teman TV3. Merasalah juga mereka untuk ikut berhari raya seperti orang lain juga.

Juga, aku tiba-tiba teringatkan Mak cik Endon yang berseorangan melalui ramadan tanpa anak-anaknya di sisi. Pilu sungguh di hati ketika dia kata, anaknya tak buka pintu ketika dia datang bertamu. Pesan Mak cik Endon kepada anak-anaknya dalam tangis sedu dengan pilu di kalbu, "Dia tak kesian ke, entah apa mak aku makan." Air matanya bercucuran di tikar sembahyang. Moga-moga, akan adalah orang yang akan menemankan Mak cik Endon di Aidilfitri siang nanti.

Siang tadi, pekan Machang riuh dan sesak sungguh. Seronok melihat orang dan kenderaan yang berderet-deret lalu-lalang. Polis trafik sibuk mengawal keselamatan dan kenderaan yang lalu-lalang.

Sekejap lagi, tak ada sahur lagi. Subuh yang dingin akan diiring oleh syahdu takbir Aidilfitri. Madrasah akan riuh dan penuh. Kami akan bersalam-salaman sempena lebaran, bermaaf-maafan. Bermaaf-maafan saat lebaran, mengingatkan aku pada dendangan pilu si Suparjo dan Raju;

"Ikan di laut
asam di darat
dalam periuk
bikin mufakat."


Dan pagi hening satu Syawal mulia, akan lebih tersentuh jiwa saat mendengar takbir bergema;

"Allahhu akbar
Allahhu akbar
Allahhu akbar

Laailahaillallah huwallahhu akbar
Allahhu akbar walillah hilhamd."


Salam lebaran dari saya yang jauh di Padang Raja. Jenguk-jenguklah saya di Padang Raja. Dapatlah nanti, kita sama-sama berhari raya. Maaf atas segala apa yang membuatkan kalian terluka. Di hening pagi Syawal yang mulia, selamat hari raya untuk semua.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,
Machang.
1 Syawal yang mulia, 1426 H.
Hening sunyi pagi hari raya.
3.07 pagi, 3 November 2005, Khamis yang manis.

Wednesday, November 02, 2005

Ramadan yang pilu, akan pergi berlalu

Hari ini ramadan terakhir, ramadan yang pilu dan sendu. Ramadan yang penuh sayu. Tidak ada tarawih lagi. Tidak ada selawat lagi. Riuh di madrasah akan kembali sunyi. Dari speaker masjid tidak akan kedengaran suara orang bertadarus lagi. Cuma tinggal sahur terakhir kira-kira beberapa jam saja lagi.

Kampung yang sunyi, kembali riuh sehari dua ini. Di halaman jiran, adalah sebuah dua kereta baru anak menantu yang pulang berhari raya. Kalau yang dah bercucu akan lebih bahagia saat-saat begini. Melihat yang seorang menangis di halaman tersepak tunggul kayu kerana berlari ikut kakaknya main bunga api. Atau dua tiga yang lain berkumpul riuh mencucuh sumbu mercun, berbelas hasta dari halaman yang terang disuluh api pelita di malam raya. Atau seorang dua yang lain sibuk ke hulu ke hilir memusing bunga api.

Lantai madrasah sudah bertukar permaidani baru. Tongkat khutbah sudah diperbetulkan letak duduknya. Kolah sudah dicuci dan air sudah diisi. Cumanya, teks khutbah saja yang belum sampai-sampai lagi. Esok dah Aidilfitri.

Adik Su dah siapkan dua tiga jenis kuih juadah Aidilfitri, campur tiga bungkus dodol yang kubeli di Pasar Isnin tempoh hari. Katanya, siang nanti mahu disiapkan sejenis kuih lagi. Ditambah dengan beberapa jenis lagi yang dibeli. Cukuplah barangkali, buat juadah Aidilfitri kali ini. Rasanya Aidilfitri tak akan berapa menjadi kalau tanpa ketupat yang dibungkus dengan daun pisang ibu yang dibuat sendiri. Aidilfitri akan lebih bererti dengan nasi manis ibu yang manisnya sampai melekit-lekit di jari.

Ketika orang sibuk bertarawih, masih terdengar bunyi mercun di sana-sini. Ada juga yang berani-berani buat mercun sendiri. Dikerat buluh besar dan panjang, ditaruk di atas kayu bercabang, ditebuk lubang. Diletak betul-betul jauh di tengah bendang. Bunyinya berdentum-dentam.

Malam nanti, memang tidak akan ada tarawih lagi. Kalau yang ada berbunyi pun, takbir Aidilfitri yang menyucuk-nyucuk ke hulu hati. Menandakan si cantik manis bernama ramadan akan pergi. Dua puluh lapan hari berpuasa seperti tak terasa. Cepat sungguh masa meninggalkan manusia, yang leka memang lebih tak terasa.

Siang nanti, sehabis sahur terakhir - mercun beli dan mercun buatan sendiri akan kembali berbunyi. Anak-anak akan kembali berlari bermain bunga api pada malam Aidilfitri.
Ibu akan kembali sibuk di dapur menyiapkan itu-ini. Adik Su akan kembali memanaskan pembakar kuih dan Adik Siti akan kembali menyanyi-nyanyi menghibur hati, kerana esok Aidilfitri. Barangkali dia akan bernyanyi lagu ini;


"Berlalulah sudah ramadan
sebulan berpuasa
tiba syawal kita rayakan
dengan rasa gembira
anak muda di rantauan
semuanya pulang ke desa
ibu dan ayah keriangan
bersyukur tak terkira."


Barangkali dendangan Anuar & Elina ini akan lebih menghibur hati Adik Siti menyambut Aidilfitri. Dia akan kembali sibuk menolong kakaknya menyiapkan itu-ini menjelang Aidilfitri.

Esok hari raya, kalau ada apa-apa yang tak kena atau yang buat kalian terasa; maafkan saya. Esokkan hari raya. Salam lebaran, selamat jalan ramadan selamat datang lebaran.

Hari raya ini, jemputlah ke Teratak Seni - menemui saya untuk kita sama-sama berhari raya. Saya menunggu anda semua, di teratak tua di Kampung Padang Raja - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,

Machang.
2.01 pagi, sahur terakhir, 29 Ramadan 1426 H
Bersamaan dengan 2 November 2005, Rabu yang pilu.

Wednesday, October 05, 2005

Wangian ramadan yang syahdu, menyucuk-nyucuk kalbu

Hari pertama ramadan terasa begitu sayu dan syahdu sekali. Kafetaria Mak Teh pagi ini sunyi sepi, sehabis riuh yang agak menjadi-jadi di awal pagi tadi. Bising pelajar yang membeli makanan buat bersahur berlarutan sampai jam dua pagi. Nasi habis, dan lauk yang makin berkurang memaksa saya ke restoran mamak di luar kampus. Jam dua pagi menyusur titis embun jantan dengan mata yang sudah mula mengantuk, bersama teman sebilik - kami minta dibungkuskan seketul ayam gulai kurma (saya pesankan kepada mamak, banyakkan sikit kuahnya; maklum saja kami ini makan berdua), dua bungkus nasi kosong dan sedikit sayur kubis.

Ramadan menjadi lebih syahdu dan indah bahagia dengan jemaah pelajar menyusur malam bersolat terawih, beramai-ramai. Yang perempuan berkain sembahyang, yang lelaki berpelikat berkopiah, berbaju 'gumbang' dan jalan berkawan. Atau, kalau yang ingin lebih meriah, ada yang berpacu ke masjid Al-Malik Khalid bersolat terawih. Imamnya bertukar-tukar. Mungkin ada yang lebih syahdu menghayati ramadan, kalau dapat mendengar syeikh Arab yang jadi imam baca surah panjang-panjang. Dan ada yang hanya sekadar solat terawih lapan rakaat dan terus pulang.

Ada yang ingin terus mensyahdu diri mengabdi pada Ilahi, akan memanjangkan lagi sesi penyucian hati dengan bertadarus Al-Quran, membacanya bergilir-gilir seorang demi seorang. Dan kalau ada yang tersasul baris dan huruf, akan ditegur oleh yang lain yang tekun meneliti. Ramadan akan lebih manis lagi, kerana ramai yang bangun pagi-pagi untuk menjamah barang sedikit juadah sahur, buat bekal berlapar sehari. Dan ramai juga yang menjamahnya sedikit sekali, kerana terbantut oleh selera yang tak menjadi di pagi dini.

Langit ramadan cerah sungguh pagi ini, matahari muncul bersinar sekali. Tiada tompok-tompok awan, barangkali langit masih belum ingin menurunkan hujan. Saya teringatkan riuh bising anak-anak yang habis berterawih di kampung halaman. Saya rindukan seorang sahabat bernama Ramadan yang sudah agak lama muncul dalam angan-angan. Saya rindukan merdu suaranya mengalun azan isyak, beberapa ketika sebelum kami bersolat bersama. Saya akan terdiam syahdu mendengar dia mengalun selawat memuji Nabi dalam sela-sela terawih kami yang berimamkan Paksu yang bersuara merdu dan saya akan lebih pilu mendengar alunan suara Paksu menenggelamkan raung cengkerik di kubang sawah.

Masih terbayang dalam kepala saya, kelibat Ramadan sedang berlari bermain bunga api. Dan saya nampak dari jauh rumahnya indah bercahaya dengan kuning api pelita di malam raya. Saya akan ke dapur melihat ibunya membungkus ketupat. Melihat adiknya mengemas dan menggantung langsir baru. Masih terngiang jelas di telinga saya, suara Ramadan yang syahdu mengalun azan isyak di madrasah tua kampung saya. Saya akan tenggelam berjuzuk-juzuk ke dalam pilu suaranya yang syahdu mengalun selawat memuji Nabi di malam ramadan yang suci.

Saya, Ahmad Syawal - sahabat si Ramadan, yang pilu dan rindu, rindukan seorang teman yang bersuara sayu dan syahdu. Ramadan, ketahuilah Syawal terlalu merinduimu.

Ramadan, Syawal menunggumu ...


Salman Sulaiman
Sungai 2, Minden.
11.04 pagi, Rabu yang terlalu syahdu.
1 Ramadan 1426H / 5 Oktober 2005.

Wednesday, September 21, 2005

Berseminar, berdiskusi (tapi jangan bermimpi) dan bersajak lagi (dan lagi)...

Hari ini (21 September) dan esok (22 September), di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berlangsungnya Seminar Seni Visual Kebangsaan dengan tema Seni Visual Dalam Pelbagai Perspektif. Seminar peringkat kebangsaan yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Seni, USM dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Seni Visual Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Dahulunya, maksud saya tahun-tahun sebelumnya - seminar seni visual ini menjelajah beberapa buah IPT sebelum ia singgah terbang menerawang di Bukit Minden dengan lenggok tari seni, dengan imej yang semacam kartun semacam betul, berserta gema muzik tradisi, dengan gambaran grafik yang canggih; yang ada sekejap, hilang seketika dan muncul yang lain pula. Disertakan dengan seekor kucing animasi yang menarik.

Itu antara imej dan gambar animasi yang muncul pada paparan video dalam bentuk visual yang menjadi pembuka atau mukaddimah kepada majlis perasmian seminar ini pagi tadi. Menarik sekali, tenggelam seketika saya ke dalam sehelai wayang putih yang terbentang di atas pentas Dewan Budaya itu. Kemudiannya, barulah majlis bermula dengan bicara lunak bekas tutor saya yang menjadi pengacara majlis.

Dalam sebutan nama tetamu yang dibacakan pengacara majlis, terkesan saya nama seorang penyelidik dan penganalisis dunia kartun Malaysia - Dr Muliyadi Mahmood, yang pernah saya baca artikelnya menelaah dunia kartun Malaysia dalam majalah Gila-gila. Saya kira, Dr Muliyadi masih kekal menulis untuk Gila-gila sampai kini.

Pesertanya tentu saja dari pelbagai IPT seluruh Malaysia. Masih segar dalam gambaran visual otak saya, baru saja berlalu Festival Filem Pelajar Malaysia 2005 yang juga berlangsung di sini. Yang juga dihadiri oleh pelajar beberapa buah IPT seluruh Malaysia sebagai peserta. Hari ini dan esok sekali lagi, Dewan Budaya dihadiri pelajar IPT seluruh Malaysia - menelaah secara lebih sungguh-sungguh tentang seni visual; mendengar hasil kajian daripada pakar dari seluruh tanah air.

Untuk pelajar, sebagai peserta dikenakan bayaran RM50 - huh !, boleh tahan juga, dalam hati saya berkata. Sayangnya, banyak pula halangan untuk saya ikut serta sebagai peserta, cuma itulah saja kesempatan yang ada - hadir pada majlis perasmiannya. Tapi, tidak mengapa - segala bahan-bahan seminar masih boleh saya dapatkan dari teman-teman yang mengikuti.

Di luar Dewan Budaya, ada-ada saja naskhah seni yang boleh dibeli, tentu saja hasil kerja warga Pusat Pengajian Seni, USM. Seperti buku lukisan, lakaran dan sketsa yang berseni dan menarik sekali. Jenguk-jenguklah ke mari, kalau yang ada masa dan tak ke mana-mana.

Ketika teman-teman kampus UIAM, Gombak bakal bergema merdeka pada jumaat ini; saya pun tidak melepas peluang untuk 'mengamuk merdeka'. Pada malam yang sama, 23 September ini, saya akan mendeklamasi sebuah sajak merdeka karya sifu puisi saya Rahimidin Zahari berjudul Tok Janggut, sebagai peserta pertama. Mulanya, saya diminta seorang teman mendeklamasi sebuah puisi merdeka untuk majlis merdeka. Tapi, kemudiannya saya dimaklumkan pihak penganjur bahawa ianya bukan sebuah persembahan biasa tetapi pertandingan mendeklamasi puisi merdeka. Terkejut juga saya, pulak dah !

Tak kisahlah, apa-apa pun Tok Janggut akan bermaharajalela menuntut bela atas kematiannya atas seribu prasangka penjajah celaka. Kalau ada teman-teman yang teringin nak tengok Tok Janggut menuntut bela, jemputlah ke Dewan Kuliah U, USM Minden pada jumaat ini. Jumaat itu juga, saya dan teman-teman menerima kunjungan sambil belajar pelajar-pelajar seni dari UUM, Sintok. Bakal berdiskusilah kami sambil berbalas seni, berkenal-kenal diri. Sesiang suntuklah juga nampaknya saya akan bersama mereka.

Sehabis kisah Tok Janggut menuntut bela, keesokkannya pula, jam 8.30 pagi, sabtu (24 September) - silalah ke Dewan Kuliah A juga. Di sana ada Dr Sohaimi Abdul Aziz dan Azizi Haji Abdullah berserta seorang lagi panel yang akan membicarakan dua buah novel, karya Ali Jusoh dan Dr Rahmat Haroun.

Boleh tahan juga nampaknya jadual saya sehari dua ini. Kalau yang ada masa tu, jenguk-jenguklah ke mari. Maaflah, buat teman-teman seangkatan di UIAM, Gombak kerana ketika kalian bersajak saya pun kena ikut bersajak. Percayalah, tidak akan pernah luntur dalam jiwa, akal dan kalbu saya semangat berani untuk memperjuangkan seni yang Islami di Tanah Melayu kita yang satu ini. Bersajaklah kalian di taman ilmu dan budi, dan saya di sini, berpencak pendekar cucu gemulah Tok Janggut di universiti dalam taman.

Nampaknya, selagi saya masih di sini, di bumi Minden ini - saya akan terus berseminar berdiskusi dan akan terus diminta bersajak dan bersajak lagi dan lagi; tapi saya tidak mahu hanya bermimpi. Saya akan terus bersajak lagi dan lagi, tanpa henti-henti ...dan nanti.


Salman Sulaiman
KBM Siber Kafe,
Sungai Dua, Minden.
11.44 malam, 21 September 2005 - Rabu yang penuh cemburu.

Tuesday, September 06, 2005

Biarlah Tanpa Tempoyak Budu, Cukuplah Hanya Dengan Doa Ibu

Air yang mencurah-curah dari tangki yang bocor di bumbung asrama saya masih berbunyi seperti sebelumnya juga. Seperti sebelum cuti tempoh hari. Cumanya ditambah dengan riuh-rendah ketawa teman-teman dari bilik berdekatan. Menjelang tengah hari dan petang, kafetaria Mak Teh di asrama saya akan kembali sibuk seperti biasa. Yang membeli datang dari seluruh ceruk bumi Minden, maklum saja harga nasi dan lauk-pauk di sini paling murah berbanding desasiswa-desasiswa lain.

Itulah satu kelebihan asrama saya berbanding dengan asrama lain di bumi Minden. Tapi, petang tadi - untuk mengalih selera saya bersama teman sebilik berpacu ke desasiswa lain, sekadar untuk makan sepinggan nasi goreng ayam. Tidak salah rasanya sekali-sekala mengalih selera.

Bilik saya kembali diketuk orang. Asrama saya kembali riuh. Air hujan rahmat dari tangki yang bocor masih mencurah-curah juga. Cuti saya yang sembilan hari terpaksa dibatalkan atas permintaan pensyarah supaya hadir awal untuk satu program yang bakal diadakan di penghujung cuti. Tak sempatlah saya bertenggek di dahan rambutan atau berendoi di buaian selama tiga hari ada di teratak ibu.

Berseorangan di kampus saat teman-teman sedang bercuti sakan, agak 'mengesitkan' juga. Saya kembali berangkat ke Pulau Mutiara, setelah hanya dua malam di teratak ibu. Adik Su bekalkan saya dengan kredit percuma RM10 ke dalam telefon bimbit saya. Katanya, "Takpalah, tak payah bayar." Dan ibu beria-ia akan membekalkan sebotol tempoyak buat menambah selera saya ketika menjamu selera dengan gulai kari mamak di kampus. Sayangnya, ia tertinggal saat saya sudah berada di atas bas ke Utara.

Takpalah kalau yang lain tertinggal untuk saya bawakan sebagai bekal perjalanan ke kampus Minden. Cukuplah hanya dengan doa ikhlas ibu, buat saya meneruskan perjalanan panjang menempuh kehidupan yang tentunya jauh lebih panjang.

Kampus Minden yang sunyi saat-saat awal saya ke mari, kini - kembali riuh dengan hilai tawa teman-teman, sesak penuh di depan perpustakaan, barisan panjang membeli makanan di kafetaria Mak Teh, borak bising yang jenuh menunggu bas, dan bual panjang saat kembali bertemu teman kenalan.

Kalau tidak dengan doa ibu dan restu Ilahi, bagaimana mampu saya menempuh perjalanan panjang mengharung laut kehidupan. Biarlah tanpa tempoyak budu, buat bekal saya di pulau jauh - cukuplah hanya dengan doa restu seorang ibu.


Salman Sulaiman
Makson CC,
Sungai Dua, Minden.
11.14 malam - 6 September 2005, Selasa.

Sunday, September 04, 2005

Kalau Tiba-tiba Dia Bertudung

Seorang teman, yang sekian lama saya kenali. Dari kecil, sampailah kami meningkat ke alam remaja - dia begitu selesa tanpa tudung di kepala. Lama juga, dan banyak kali juga saya bertekak (berbahas) dengannya, dan lebih menyarankan - betapa eloknya kalau dia bertudung, lebih manis di mata saya. Dan saya kira akan lebih manis juga di mata orang lain.

Lama kemudian, sesudah bertahun-tahun berkenalan - tiba-tiba dia membungkus kepala dengan tudung cantik, membuatkan dia lebih menarik. Dia akan mengelak dan buat-buat tak dengar kalau saya ingatkan kembali hujah saya kepadanya ketika dia belum bertudung dulu. Bagaimana panjang lebar saya memberi saranan supaya dia memakai tudung. Dalam hati, sayalah orang yang paling gembira tentunya. Kerana, sudah lama benar saya ingin melihat dia bertudung.

Masih ingat benar di akal kepala saya, bagaimana macam-macam alasan dan jawapannya ketika menerima saranan saya supaya dia bertudung seperti anak gadis lain yang sebaya dengannya. Kalau anda masih ingat, sebuah cerpen saya yang pernah tersiar di Tunas Cipta berjudul "Debat Kita di Beranda Cinta" ialah bagaimana macam-macam debat panjang lebar saya dengannya tentang banyak perkara, termasuklah saranan saya supaya dia bertudung; saya angkat ke dalam sebuah naskhah kreatif berbentuk cerpen.

Alhamdulillah, kini dia masih kekal bertudung. Saya masih kekal gembira dengan tudung di kepalanya, kerana sayalah antara lelaki yang paling sungguh-sungguh ingin melihat dia bertudung kepala satu ketika dulu.

Di kampus, ini satu kisah yang lain pula. Senior saya, yang kini sudah berijazah pertama. Juga, dulunya melepaskan rambutnya dengan hanya satu ikatan di kepala, bukan sanggul tapi sekadar simpul-simpul. Pada saya, perempuan Islam yang cantik ialah yang bertudung. Ketika cuti sidang pengajian selama tiga bulan yang lalu, bertemu dua tiga kali dengan seorang kenalan perempuan yang pernah rapat dengan senior saya itu - banyak kali juga kami berbicara tentang, bagaimanalah kalau si senior saya itu bertudung. Sedang dalam hati saya, sudah lama benar saya terfikir dan berhasrat agar dia bertudung, satu hari nanti. Kami berdua seperti berdoa.

Terasa pada saya, harapan untuk melihat dia bertudung seperti terlalu tipis sangat. Mustahil. Iskh, takkanlah dia akan bertudung. Saya semacam putus asa, untuk melihat satu hari nanti dia bertudung cantik, tampil dengan penuh menarik sebagai gadis Melayu yang Islamik.

Tiba-tiba, ketika kembali memulakan pengajian di sidang akhir di kampus - saya menerima jemputan senior saya itu untuk kami (senior saya itu, saya dan teman-teman saya di kampus) keluar makan bersama, setelah lama tak jumpa dan bercuti sakan. Terkejut saya, setelah rakan yang menyampai pesan memberitahu bahawa senior saya itu telah bertudung. Sambil-sambil di dalam hati, saya terlalu gembira dan penuh syukur kerana termakbul juga harapan saya yang ingin melihat dia bertudung cantik dan tampil menarik dengan penuh Islamik.

Saya memang sudah lama percaya, kerja Allah tetap tak akan terduga manusia. Alhamdulillah, saya begitu bersyukur di dalam hati. Dan, di meja makan kami malam itu, saya sempat menitipkan satu surat kecil untuknya, yang kertasnya saya koyakkan dari buku catatan kecil saya di dalam kocek. Saya tuliskan, semacam harapan dan doa saya supaya perubahannya diberkati Allah dan dia terus kekal begitu - bertudung cantik, penuh Islamik.

Kalau dia membaca ini, saya harap dia akan terus tabah menerima pelbagai umpat keji orang yang kata macam-macam. Maklumlah, kerana perubahan yang tak terjangkakan. Di dalam hati, saya kekal berdoa dan berharap supaya dia kekal bertudung cantik begitu sampai bila-bila.

Juga, saya sudah lama benar berharap ingin melihat Siti Nurhaliza pula bertudung. Juga, Malaysia dihiasi dengan artis perempuan yang bertudung cantik seperti Wardina dan Waheeda. Besar sungguh harapan saya agar dunia seni Malaysia diwarnai dengan kehadiran artis perempuan yang bertudung cantik dan bersopan tertib seperti Wardina dan Waheeda.

Ya, kalau tiba-tiba dia bertudung, sayalah yang paling gembira sebetulnya.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden.
11.50 malam - 4 September 2005, Ahad yang penat.

Thursday, August 18, 2005

Mahu Ke Mana Ayah Pin?

Jauh sungguh lelaki ini tersesat. Wajahnya saja, sudah jelas menunjukkan kesesatannya, kata teman-teman saya. Apa tidaknya, kalau dia katakan dia menjadi wakil semua agama. Sampai air kakinya pun diminum orang.

Membaca beberapa siri wawancaranya pun, sudah memeningkan kepala saya. Beberapa siri wawancara di internet dan terbaru di majalah I edisi Ogos. Kata-katanya kadang-kadang sukar difahami. Akuinya lagi, dialah yang cipta agama Hindu. Wajahnya, masya-Allah, anda tengoklah sendiri - menggerunkan, keruh semacam saja. Katanya, wakil semua agama. Wakil semua agama?

Maha suci Allah, semacam ketakutan pada saya melihat wajahnya. Tolonglah, carikan dia sampai jumpa. Bacakan Al-Quran untuknya, moga-moga hidayah Allah meresap ke dalam jiwa dan hatinya. Ajarkan dia kalimah syahadah. Bawakan seorang yang arif daan bijaksana serta mulia di sisi Allah kepadanya, buat menerangkan kepadanya supaya kembali kepada syariat Allah. Biar dengan kebijaksanaan hamba Allah tadi, akan meresapkan cahaya hidayah Islam yang suci ke dalam hatinya.

Tolonglah, jangan biarkan dia tersesat lagi. Jangan biarkan ramai lagi manusia lain yang bakal disesatkannya. Tolonglah! Jangan tambah lagi ahli kabinet kerajaan langitnya. Kalau tak dapat tangkap dia, kerana kononnya dia ada kuasa ajaib. Bawakan seorang 'alim yang dapat menewaskan kuasanya itu. Tolonglah, tangkaplah dia untuk dipulihkan hatinya kepada Allah.

Kenapa dibiarkan sampai dah mengalahkan tempat peranginan 'kerajaan langit'nya itu? Kenapa sampai berpuluh-puluh tahun dibiarkan dia menyesatkan masyarakat kita? Sanggupkah kita melihat lebih ramai lagi yang 'sesat Barat' kerana kita biarkan dia menyebarkan ajaran karutnya? Saya sudah tak sanggup, tak sanggup. Tolong, carikan dia sampai dapat. Ajari dia kalimah syahadah dan bacakan al-Quran untuknya - biar kalimah Allah itu menyejukkan hatinya dan membuka pintu hatinya kembali kepada Islam.

Kalau perlu, untuk menarik dia kembali kepada kebenaran, bawakan seorang pendebat terbaik untuk berhujah dengan ketua 'kerajaan langit' ini. Katakan kepadanya bahawa Islamlah agama yang diredhai di sisi Allah. Tolong, jangan biarkan dia lepas bebas. Tolong. Saya sudah tak sanggup melihat ramai lagi yang bakal disesatkannya.

Jangan jadikan hal ini perkara remeh, yang hanya semacam 'hangat-hangat tahi ayam' saja. Bawalah dia kembali kepada kebenaran, carilah dia dengan semangat Islam yang suci, carilah dia kerana benar-benar ingin mengajak dia kembali kepada Tuhan yang Esa. Jangan nanti, bila cerita Ayah Pin dan kerajaan langitnya dah sejuk, usaha untuk membanteras ajaran sesat ini pun ikut sejuk juga.

Saya sudah tak sanggup melihat dia menyesatkan lebih ramai orang, tolonglah. Kasihanilah dia dan kasihanilah juga para pengikutnya dan kasihanilah juga orang yang bakal disesatkannya, janganlah kita terus 'sejuk' sehabis 'hangat-hangat tahi ayam' untuk memulihkan akidahnya. Tolonglah, demi kebenaran, kerana Allah - carikan dia sampai jumpa.

Dua tiga tahun lagi, saya ingin lihat Ayah Pin diwawancara dengan wajahnya yang penuh bercahaya dan berseri-seri dengan cahaya iman dan hidayah dari Tuhan. Ketika itu dia telah kembali kepada Tuhan - Allah. Demi Allah, demi agama Islam yang suci - carikan dia sampai jumpa! Kerana tanggungjawab ini terpikul atas bahu kita semua, tolong, carikan dia sampai jumpa.


Salman Sulaiman
Siber Kafe KBM,
Sungai Dua, Minden,
Pulau Mutiara.
9.47 malam - 18 Ogos 2005/Khamis.

Monday, August 08, 2005

Menyarung jubah menerima ijazah, disambut jambangan bunga indah

Kampus Minden sesak, jalan-jalan dijuruskan menjadi sehala. Di setiap simpang diawasi pengawal keselamatan. Kalau mahu ke luar kampus ikut pintu utama, kena berpusing satu keliling universiti. Sehabis kelas, saya ke Perpustakaan Hamzah Sendut - duduk di kerusi panjang depan perpustakaan. Senang saja, kalau anda mahu membayangkan di mana latar cerita saya.

Bayangkan saja, tiga orang hos rancangan 3R sedang berlakon iklan campuszone maxis. Hah, itulah kampus saya. Itulah tempat saya selalu duduk-duduk menghilangkan penat sebelum masuk ke perpustakaan. Kalau anda telitikan sedikit dalam iklan campuszone maxis itu - suasananya lengang. Saya kira mereka buat penggambaran waktu cuti tahunan universiti. Tapi, di hari belajar, laluan depan Perpustakaan Hamzah Sendut menjadi laluan pejalan kaki yang paling sibuk.

Tambah-tambah lagi hari ini. Hari pertama Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia Kali Ke-34. Berpasang-pasang ibu bapa yang mengilik jambangan bunga, setia menunggu anak mereka keluar Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), sehabis menerima segulung ijazah. Pagi ini, upacara penyampaian ijazah disempurnakan sendiri oleh Tuanku Permaisuri Agong - untuk pemegang ijaazah Doktor Falsafah dan Sarjana. Saya mendengar sayup-sayup dari jauh, nama mereka disebut.

Tapak konvo di bawah pokok-pokok rendang di belakang pasar pelajar juga riuh dengan macam-macam gerai jualan, dihebohkan pula oleh seorang DJ dengan macam-macam pengumuman dan peraduan. Petugas-petugas berbaju merah, sibuk menjalankan operasi - ada yang mengawal keselamatan, ada yang menjual barangan atau baju-baju universiti, ada yang sedang tawar-menawar di gerai jualan, ada yang meronda, ada yang ..., ada yang ....

Ada yang menunggang kuda dalam satu kawasan yang telah ditetapkan, teringin juga saya mahu mencuba naik kuda. Gerai makan tentu saja yang paling menjadi tumpuan ditambah lagi gerai menjual bunga.

Mengikut buku upacara, hampir seratus orang juga yang menerima ijazah Doktor Falsafah pagi ini - termasuk seorang pensyarah saya dari jurusan seni. Ketika mendengar nama-nama itu dipanggil pengacara majlis, saya membayangkan nama sayalah yang dipanggil menerima ijazah Doktor Falsafah. Menerimanya, memegangnya setelah dihulur Permaisuri Agong dengan penuh rasa syukur dan terharu. Memeluk ibu, menangis dia bertalu-talu. Saya pun ikut bergenang air mata sebak. Betapa bahagianya ibu saat itu, tak terbayang saya gembiranya dia melihat saya berjaya. Moga-moga, akan sampai masa saya pula - dihadiahkan jambangan bunga, memakai gelar Dr dipangkal nama. Moga-moga.

Saya pun juga, sedang berkira-kira untuk menerima buku amalan dengan tangan kanan di depan Tuhan. Ijazah itu tentu saja, lebih besar dari segala ijazah yang diterima manusia di dunia. Untuk lebih redha dan pasrah, begitulah saya memasang kira-kira. Dan, upacara konvo berikutnya, setahun mendatang; saya masih kekal berkira-kira - nama saya pula akan disebut pengacara untuk menerima ijazah pertama. Tapi, banyak kali juga saya tertanya-tanya - siapa pula yang bakal menghadiahkan jambangan bunga buat saya? Siapa ya?

Untuk gulungan ijazah pertama saya setahun lagi, syukur dan terima kasih saya yang tidak terhingga buat Allah Yang Maha Kuasa yang dengan kasih-Nyalah, Dia sudi menghantar saya ke bumi Minden. Allah! Tak terucap syukur dan syahdu kalbu terima kasih saya untuk Dia Yang Terlalu Pemurah. Alhamdulillah.

Tak apalah, kalau tiada satu bunga pun untuk saya dari manusia dengan segulung ijazah pertama; saya akan terus berkira-kira untuk menerima kitab amalan dengan tangan kanan di depan Tuhan. Saya kira, itulah ijazah yang paling agung buat saya.


Salman Sulaiman
Sungai Dua,
Minden, Pulau Pinang.
12.43 tengah hari - 8 Ogos 2005, Isnin.
Pulau jauh yang riuh dan sesak sungguh.