Wednesday, November 02, 2005

Ramadan yang pilu, akan pergi berlalu

Hari ini ramadan terakhir, ramadan yang pilu dan sendu. Ramadan yang penuh sayu. Tidak ada tarawih lagi. Tidak ada selawat lagi. Riuh di madrasah akan kembali sunyi. Dari speaker masjid tidak akan kedengaran suara orang bertadarus lagi. Cuma tinggal sahur terakhir kira-kira beberapa jam saja lagi.

Kampung yang sunyi, kembali riuh sehari dua ini. Di halaman jiran, adalah sebuah dua kereta baru anak menantu yang pulang berhari raya. Kalau yang dah bercucu akan lebih bahagia saat-saat begini. Melihat yang seorang menangis di halaman tersepak tunggul kayu kerana berlari ikut kakaknya main bunga api. Atau dua tiga yang lain berkumpul riuh mencucuh sumbu mercun, berbelas hasta dari halaman yang terang disuluh api pelita di malam raya. Atau seorang dua yang lain sibuk ke hulu ke hilir memusing bunga api.

Lantai madrasah sudah bertukar permaidani baru. Tongkat khutbah sudah diperbetulkan letak duduknya. Kolah sudah dicuci dan air sudah diisi. Cumanya, teks khutbah saja yang belum sampai-sampai lagi. Esok dah Aidilfitri.

Adik Su dah siapkan dua tiga jenis kuih juadah Aidilfitri, campur tiga bungkus dodol yang kubeli di Pasar Isnin tempoh hari. Katanya, siang nanti mahu disiapkan sejenis kuih lagi. Ditambah dengan beberapa jenis lagi yang dibeli. Cukuplah barangkali, buat juadah Aidilfitri kali ini. Rasanya Aidilfitri tak akan berapa menjadi kalau tanpa ketupat yang dibungkus dengan daun pisang ibu yang dibuat sendiri. Aidilfitri akan lebih bererti dengan nasi manis ibu yang manisnya sampai melekit-lekit di jari.

Ketika orang sibuk bertarawih, masih terdengar bunyi mercun di sana-sini. Ada juga yang berani-berani buat mercun sendiri. Dikerat buluh besar dan panjang, ditaruk di atas kayu bercabang, ditebuk lubang. Diletak betul-betul jauh di tengah bendang. Bunyinya berdentum-dentam.

Malam nanti, memang tidak akan ada tarawih lagi. Kalau yang ada berbunyi pun, takbir Aidilfitri yang menyucuk-nyucuk ke hulu hati. Menandakan si cantik manis bernama ramadan akan pergi. Dua puluh lapan hari berpuasa seperti tak terasa. Cepat sungguh masa meninggalkan manusia, yang leka memang lebih tak terasa.

Siang nanti, sehabis sahur terakhir - mercun beli dan mercun buatan sendiri akan kembali berbunyi. Anak-anak akan kembali berlari bermain bunga api pada malam Aidilfitri.
Ibu akan kembali sibuk di dapur menyiapkan itu-ini. Adik Su akan kembali memanaskan pembakar kuih dan Adik Siti akan kembali menyanyi-nyanyi menghibur hati, kerana esok Aidilfitri. Barangkali dia akan bernyanyi lagu ini;


"Berlalulah sudah ramadan
sebulan berpuasa
tiba syawal kita rayakan
dengan rasa gembira
anak muda di rantauan
semuanya pulang ke desa
ibu dan ayah keriangan
bersyukur tak terkira."


Barangkali dendangan Anuar & Elina ini akan lebih menghibur hati Adik Siti menyambut Aidilfitri. Dia akan kembali sibuk menolong kakaknya menyiapkan itu-ini menjelang Aidilfitri.

Esok hari raya, kalau ada apa-apa yang tak kena atau yang buat kalian terasa; maafkan saya. Esokkan hari raya. Salam lebaran, selamat jalan ramadan selamat datang lebaran.

Hari raya ini, jemputlah ke Teratak Seni - menemui saya untuk kita sama-sama berhari raya. Saya menunggu anda semua, di teratak tua di Kampung Padang Raja - selamat hari raya.



Salman Sulaiman
Teratak Seni, Padang Raja,

Machang.
2.01 pagi, sahur terakhir, 29 Ramadan 1426 H
Bersamaan dengan 2 November 2005, Rabu yang pilu.

No comments: