Monday, August 08, 2005

Menyarung jubah menerima ijazah, disambut jambangan bunga indah

Kampus Minden sesak, jalan-jalan dijuruskan menjadi sehala. Di setiap simpang diawasi pengawal keselamatan. Kalau mahu ke luar kampus ikut pintu utama, kena berpusing satu keliling universiti. Sehabis kelas, saya ke Perpustakaan Hamzah Sendut - duduk di kerusi panjang depan perpustakaan. Senang saja, kalau anda mahu membayangkan di mana latar cerita saya.

Bayangkan saja, tiga orang hos rancangan 3R sedang berlakon iklan campuszone maxis. Hah, itulah kampus saya. Itulah tempat saya selalu duduk-duduk menghilangkan penat sebelum masuk ke perpustakaan. Kalau anda telitikan sedikit dalam iklan campuszone maxis itu - suasananya lengang. Saya kira mereka buat penggambaran waktu cuti tahunan universiti. Tapi, di hari belajar, laluan depan Perpustakaan Hamzah Sendut menjadi laluan pejalan kaki yang paling sibuk.

Tambah-tambah lagi hari ini. Hari pertama Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia Kali Ke-34. Berpasang-pasang ibu bapa yang mengilik jambangan bunga, setia menunggu anak mereka keluar Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), sehabis menerima segulung ijazah. Pagi ini, upacara penyampaian ijazah disempurnakan sendiri oleh Tuanku Permaisuri Agong - untuk pemegang ijaazah Doktor Falsafah dan Sarjana. Saya mendengar sayup-sayup dari jauh, nama mereka disebut.

Tapak konvo di bawah pokok-pokok rendang di belakang pasar pelajar juga riuh dengan macam-macam gerai jualan, dihebohkan pula oleh seorang DJ dengan macam-macam pengumuman dan peraduan. Petugas-petugas berbaju merah, sibuk menjalankan operasi - ada yang mengawal keselamatan, ada yang menjual barangan atau baju-baju universiti, ada yang sedang tawar-menawar di gerai jualan, ada yang meronda, ada yang ..., ada yang ....

Ada yang menunggang kuda dalam satu kawasan yang telah ditetapkan, teringin juga saya mahu mencuba naik kuda. Gerai makan tentu saja yang paling menjadi tumpuan ditambah lagi gerai menjual bunga.

Mengikut buku upacara, hampir seratus orang juga yang menerima ijazah Doktor Falsafah pagi ini - termasuk seorang pensyarah saya dari jurusan seni. Ketika mendengar nama-nama itu dipanggil pengacara majlis, saya membayangkan nama sayalah yang dipanggil menerima ijazah Doktor Falsafah. Menerimanya, memegangnya setelah dihulur Permaisuri Agong dengan penuh rasa syukur dan terharu. Memeluk ibu, menangis dia bertalu-talu. Saya pun ikut bergenang air mata sebak. Betapa bahagianya ibu saat itu, tak terbayang saya gembiranya dia melihat saya berjaya. Moga-moga, akan sampai masa saya pula - dihadiahkan jambangan bunga, memakai gelar Dr dipangkal nama. Moga-moga.

Saya pun juga, sedang berkira-kira untuk menerima buku amalan dengan tangan kanan di depan Tuhan. Ijazah itu tentu saja, lebih besar dari segala ijazah yang diterima manusia di dunia. Untuk lebih redha dan pasrah, begitulah saya memasang kira-kira. Dan, upacara konvo berikutnya, setahun mendatang; saya masih kekal berkira-kira - nama saya pula akan disebut pengacara untuk menerima ijazah pertama. Tapi, banyak kali juga saya tertanya-tanya - siapa pula yang bakal menghadiahkan jambangan bunga buat saya? Siapa ya?

Untuk gulungan ijazah pertama saya setahun lagi, syukur dan terima kasih saya yang tidak terhingga buat Allah Yang Maha Kuasa yang dengan kasih-Nyalah, Dia sudi menghantar saya ke bumi Minden. Allah! Tak terucap syukur dan syahdu kalbu terima kasih saya untuk Dia Yang Terlalu Pemurah. Alhamdulillah.

Tak apalah, kalau tiada satu bunga pun untuk saya dari manusia dengan segulung ijazah pertama; saya akan terus berkira-kira untuk menerima kitab amalan dengan tangan kanan di depan Tuhan. Saya kira, itulah ijazah yang paling agung buat saya.


Salman Sulaiman
Sungai Dua,
Minden, Pulau Pinang.
12.43 tengah hari - 8 Ogos 2005, Isnin.
Pulau jauh yang riuh dan sesak sungguh.

No comments: