Hari ini (21 September) dan esok (22 September), di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berlangsungnya Seminar Seni Visual Kebangsaan dengan tema Seni Visual Dalam Pelbagai Perspektif. Seminar peringkat kebangsaan yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Seni, USM dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Seni Visual Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Dahulunya, maksud saya tahun-tahun sebelumnya - seminar seni visual ini menjelajah beberapa buah IPT sebelum ia singgah terbang menerawang di Bukit Minden dengan lenggok tari seni, dengan imej yang semacam kartun semacam betul, berserta gema muzik tradisi, dengan gambaran grafik yang canggih; yang ada sekejap, hilang seketika dan muncul yang lain pula. Disertakan dengan seekor kucing animasi yang menarik.
Itu antara imej dan gambar animasi yang muncul pada paparan video dalam bentuk visual yang menjadi pembuka atau mukaddimah kepada majlis perasmian seminar ini pagi tadi. Menarik sekali, tenggelam seketika saya ke dalam sehelai wayang putih yang terbentang di atas pentas Dewan Budaya itu. Kemudiannya, barulah majlis bermula dengan bicara lunak bekas tutor saya yang menjadi pengacara majlis.
Dalam sebutan nama tetamu yang dibacakan pengacara majlis, terkesan saya nama seorang penyelidik dan penganalisis dunia kartun Malaysia - Dr Muliyadi Mahmood, yang pernah saya baca artikelnya menelaah dunia kartun Malaysia dalam majalah Gila-gila. Saya kira, Dr Muliyadi masih kekal menulis untuk Gila-gila sampai kini.
Pesertanya tentu saja dari pelbagai IPT seluruh Malaysia. Masih segar dalam gambaran visual otak saya, baru saja berlalu Festival Filem Pelajar Malaysia 2005 yang juga berlangsung di sini. Yang juga dihadiri oleh pelajar beberapa buah IPT seluruh Malaysia sebagai peserta. Hari ini dan esok sekali lagi, Dewan Budaya dihadiri pelajar IPT seluruh Malaysia - menelaah secara lebih sungguh-sungguh tentang seni visual; mendengar hasil kajian daripada pakar dari seluruh tanah air.
Untuk pelajar, sebagai peserta dikenakan bayaran RM50 - huh !, boleh tahan juga, dalam hati saya berkata. Sayangnya, banyak pula halangan untuk saya ikut serta sebagai peserta, cuma itulah saja kesempatan yang ada - hadir pada majlis perasmiannya. Tapi, tidak mengapa - segala bahan-bahan seminar masih boleh saya dapatkan dari teman-teman yang mengikuti.
Di luar Dewan Budaya, ada-ada saja naskhah seni yang boleh dibeli, tentu saja hasil kerja warga Pusat Pengajian Seni, USM. Seperti buku lukisan, lakaran dan sketsa yang berseni dan menarik sekali. Jenguk-jenguklah ke mari, kalau yang ada masa dan tak ke mana-mana.
Ketika teman-teman kampus UIAM, Gombak bakal bergema merdeka pada jumaat ini; saya pun tidak melepas peluang untuk 'mengamuk merdeka'. Pada malam yang sama, 23 September ini, saya akan mendeklamasi sebuah sajak merdeka karya sifu puisi saya Rahimidin Zahari berjudul Tok Janggut, sebagai peserta pertama. Mulanya, saya diminta seorang teman mendeklamasi sebuah puisi merdeka untuk majlis merdeka. Tapi, kemudiannya saya dimaklumkan pihak penganjur bahawa ianya bukan sebuah persembahan biasa tetapi pertandingan mendeklamasi puisi merdeka. Terkejut juga saya, pulak dah !
Tak kisahlah, apa-apa pun Tok Janggut akan bermaharajalela menuntut bela atas kematiannya atas seribu prasangka penjajah celaka. Kalau ada teman-teman yang teringin nak tengok Tok Janggut menuntut bela, jemputlah ke Dewan Kuliah U, USM Minden pada jumaat ini. Jumaat itu juga, saya dan teman-teman menerima kunjungan sambil belajar pelajar-pelajar seni dari UUM, Sintok. Bakal berdiskusilah kami sambil berbalas seni, berkenal-kenal diri. Sesiang suntuklah juga nampaknya saya akan bersama mereka.
Sehabis kisah Tok Janggut menuntut bela, keesokkannya pula, jam 8.30 pagi, sabtu (24 September) - silalah ke Dewan Kuliah A juga. Di sana ada Dr Sohaimi Abdul Aziz dan Azizi Haji Abdullah berserta seorang lagi panel yang akan membicarakan dua buah novel, karya Ali Jusoh dan Dr Rahmat Haroun.
Boleh tahan juga nampaknya jadual saya sehari dua ini. Kalau yang ada masa tu, jenguk-jenguklah ke mari. Maaflah, buat teman-teman seangkatan di UIAM, Gombak kerana ketika kalian bersajak saya pun kena ikut bersajak. Percayalah, tidak akan pernah luntur dalam jiwa, akal dan kalbu saya semangat berani untuk memperjuangkan seni yang Islami di Tanah Melayu kita yang satu ini. Bersajaklah kalian di taman ilmu dan budi, dan saya di sini, berpencak pendekar cucu gemulah Tok Janggut di universiti dalam taman.
Nampaknya, selagi saya masih di sini, di bumi Minden ini - saya akan terus berseminar berdiskusi dan akan terus diminta bersajak dan bersajak lagi dan lagi; tapi saya tidak mahu hanya bermimpi. Saya akan terus bersajak lagi dan lagi, tanpa henti-henti ...dan nanti.
Salman Sulaiman
KBM Siber Kafe,
Sungai Dua, Minden.
11.44 malam, 21 September 2005 - Rabu yang penuh cemburu.
Catatan Rehlah Haji 1436H – Siri 3
3 months ago
No comments:
Post a Comment