Tuesday, November 24, 2009

Menghayati ruh kehidupan di sebuah pekan dan merasai denyut nadi insan


PASIR MAS, 23 Nov.: Kami sebetulnya di atas kereta, di tengah-tengah pekan Pasir Mas yang sentiasa sibuk dan sesak. Tiba-tiba seorang teman berbicara tentang kerja. Dia menyebut tentang kerja di Kuala Lumpur. Selepas itu, berkata teman yang seorang lagi, "Kamu tak payahlah pergi ke Kuala Lumpur lagi. Dah elok-elok di Kelantan, tak payah pergi, " kira-kira begitu dia memberitahu. Dan saya segera menyahut, "Betul, kamu dah tak payah lagi la ke Kuala Lumpur. Kalau di Kuala Lumpur dapat gaji RM3,000 dan kalau di sini (saya maksudkan di Pasir Mas) dapat RM1,500, lebih baik lagi tinggal di sini." Saya meneruskan lagi, "Orang yang di KL itu nak balik ke sini, kita yang elok-elok duduk di sini nak ke KL." Dan sahabat tadi mengiyakan. Seingat saya, sahabat yang memulakan percakapan tentang kerja di KL tadi sudah mula bersetuju dengan kenyataan kami.

Ketika berbicara tentang perbezaan kerja di Kuala Lumpur dengan kerja di Kelantan, begitulah yang selalu saya katakan kepada teman-teman. Dan kami kemudiannya ke kedai buku, ke Pustaka Al-Mas dan ke Syarikat Muda Osman (SMO). Kemudian, saya berbalik ke Pustaka Al-Mas semula untuk mendapatkan senaskhah majalah Milenia Muslim edisi Disember. Begitu tertarik saya dengan fokus utama majalah Islamik tersebut pada keluaran kali ini dengan judul utama, RM3000 masih tak cukup: Fobia hidup di kota besar. Teringat saya tentang apa yang kami baru saja bicarakan di atas kereta sekejap tadi. Apa yang saya sebutkan itu tak disangka-sangka tiba-tiba menjadi fokus utama dalam Milenia Muslim.

Perkaitan pekan sibuk ini dengan perbezaan kerja antara di KL dengan di Kelantan yang kami bicarakan ialah anda masih boleh mencari nasi kerabu lauk ayam di sini untuk sarapan pagi dengan harga RM1.50 sebungkus. Anda masih lagi boleh menemui 6 biji kuih untuk sarapan pagi di sini dijual dengan hanya RM1. Dan memang Pasir Mas terkenal dengan kuihnya yang murah dan enak. Ditambah lagi dengan cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa gadis-gadis Pasir Mas ini cantik-cantik. Yang ini, saya kurang pasti setakat mana kebenarannya.

Yang lebih menarik, Syarikat Muda Osman (SMO) di sini mempunyai 3 buah pintu, iaitu tiga buah kedai - buku bacaan, alat-alat tulis dan cenderamata. Di kedai yang menjual buku, saya lihat buku-buku yang banyak. Lama saya di dalamnya, sampai kaki jadi lenguh-lenguh. Setiap buku ada dalam jumlah yang banyak. Dan kata sahabat saya, orang Pasir Mas ini kuat membaca. Saya kemudian bersetuju dengannya. Kalau diperhatikan, di Pasir Mas ini sendiri mempunyai ramai penulis. Ramai penulis Kelantan yang ada di Pasir Mas, dari penulis muda sampailah penulis veteran. Dan, saya memang setuju; secara puratanya memang orang Pasir Mas kuat membaca. Dan saya?, saya masih lagi cuba-cuba menyelami ruh kehidupan dan nadi pergerakan insan di pekan sibuk yang istimewa ini serta sedang membaca watak-watak yang ada di dalamnya - daerah yang didiami oleh penduduk yang kaya-raya. Maklum sajalah, pasirnya saja pun terbuat dari mas.


Salman Sulaiman
Pasir Mas, Kelantan.
11:47 malam, 24/11/2009.

1 comment:

ld said...

Syarikat Muda Osman ;)