Wednesday, August 17, 2011

Aku ingin berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu

Sudah beratus SMS yang telah kuhantar kepadamu atau mungkin beribu, tapi kau masih tetap juga membisu. Dan sudah beratus juga SMS itu kusimpan dalam buku catatan kerana aku bercita-cita untuk menjadikannya sebahagian daripada kenangan cinta, bolehlah nanti ketika berbulan madu kita mengenang semula bagaimana manisnya saat aku melamarmu. Setiap SMS yang kukirim, aku tidak mahu berbohong – aku sangat ternanti-nanti balasan darimu. Tapi sayangnya kau terlalu sibuk, terlalu sibuk! Perlu kuingatkan di sini, kepada diriku sendiri dan untuk dirimu lebih-lebih lagi – janganlah terlalu mahal menjual diri sampai tak mampu dibeli nanti.

Ramadan tahun sudah, telah tujuh kali istikharahku minta petunjuk dari-Nya, adakah benar kau yang dipilih Dia untuk hidupku yang sementara di dunia dan hidup yang lama di akhirat sana. Setelah istikharah yang kulakukan setiap selepas maghrib selama tujuh malam berturut-turut di bulan ramadan itu, kecenderungan hatiku masih juga kepadamu – masih juga kepadamu. Mana mungkin Tuhanku itu menipu. Aku sebenarnya masih menanti kebenaran dari Tuhan setelah keputusan istikharahku tetap juga kau seorang. Kebenaran, bahawa – hatimu akan tetap terbuka juga untukku.

Aku sedar, keputusanku untuk menunggu cintamu adalah keputusan yang paling berisiko tinggi yang pernah kubuat dalam hidupku ini. Yang mahu kujolok adalah bulan di langit, bukan rimbunan rambutan atau setandan kelapa. Mana mungkin aku akan berhasil mendapatkannya? Tapi aku yang tetap berkeras kepala mahu menjoloknya juga, maka sekarang inilah akibatnya – hatiku juga yang akhirnya teruk terluka.

Teringat prinsip kentalmu yang masih juga seperti dulu dan sayangku pun sebenarnya makin bertambah kerana itu – kau tidak pernah berkata mahu jika kuajak berdua ke kedai makan walaupun di sekeliling kita dipenuhi orang, kau lebih selesa berbual di kaki lima bangunan dekat orang lalu-lalang kerana kau terlalu takut timbul fitnah yang bermacam-macam. Syabas!, atas kekentalan prinsipmu sebagai seorang perempuan dan kerana keteguhan iman sebagai seorang Islam.

Izinkanlah aku berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu. Izinkanlah aku terus berdiam lama di platform tak bernombor dalam hatimu itu. Aku tahu, sesiapa saja mahu berhenti di situ kerana ianya tidak bernombor dan juga tidak berpintu. Platform yang tak bernombor dalam hatimu itu terlalu manis dan indah bagiku. Aku sebenarnya sangat bahagia jika diizinkan menghuni di situ sampailah ke akhir hayatku. Dan yang telah sekian lama kutunggu hanyalah keizinanmu.

Aku sebenarnya sedang berusaha mengumpul wang untuk pernikahan kita – menjual buku, menulis untuk pelbagai majalah dan surat khabar, mengusahakan tanaman tembikai dan mengambil tempahan menyiapkan sajak serta teks muhasabah diri atas permintaan kawan-kawan. Menjadi pengacara majlis, mendeklamasikan sajak, mengajar anak-anak tentang seni dan sastera, berceramah dan membentangkan kertas kerja. Dan aku dibayar untuk semua itu. Ini semua kulakukan untuk mengumpulkan wang buat perkahwinan kita yang entah bila, yang entah jadi entahkan tidak sebenarnya – buat membahagiakan dirimu seadanya. Segala macam kerja yang mampu kubuat dengan kederat kerdilku ini, kulakukan. Segala yang boleh memberikan wang kulakukan berbekalkan sedikit kepandaian yang dianugerahkan Tuhan.

Aku bercita-cita mahu membelimu dengan mas kahwin tujuh ribu, walaupun barangkali ramai yang akan beranggapan aku mungkin tidak mampu. Tentu ramai yang bakal berkata, seorang penulis sepenuh masa sepertiku mana mungkin menyediakan wang hantaran untukmu sebanyak itu. Sejak dulu aku memang tidak pernah percaya dengan kata-kata manusia. Kerana yang aku percaya tetap juga seperkara, bahawa setiap rezeki kita makhluk yang bernyawa adalah di tangan-Nya. Dan Dia jugalah yang menetapkan rezeki hamba-Nya. Yang paling utama, kita mesti berusaha – pasti akan diberi-Nya. Nanti, sesudah berumah tangga kita akan menyewa di mana-mana dan aku boleh terus melakukan kerjaku tanpa diganggu – menulis dan membaca buku. Dan kau buatlah kerjamu itu seperti selalu.

Aku mengaku, aku tidak terdaya untuk menjadi seperti Imam al-Nawawi yang membujang sampai ke mati – hidup seorang diri tanpa isteri, hanya duduk menulis dan mengkaji. Aku memerlukan seorang isteri di sisi untuk menguatkan semangat diri bagi meneruskan perjuangan yang sukar ini. Aku telah kehilangan Salmi Rozie, aku telah kehilangan Siti Wan Mariani dan aku tidak mahu, aku juga bakal kehilanganmu nanti – yang tinggal kini hanyalah sebatang tubuh diriku sendiri. Dan yang ada sekarang, memang benar-benar dirimu seorang. Aku sangat takut sebenarnya, terlalu takut bahawa aku juga akan kehilanganmu kerana kini tiada lagi sunti yang akan mengubat sunyi dalam hati ini. Kalaulah kau juga gagal kujadikan isteri, entah siapalah yang akan mengisi kekosongan hidupku ini. Siapalah yang akan mengubat kerinduan hatiku ini. Sebagai lelaki aku sebenarnya sudah terlalu letih mencari. Aku sudah terlalu sengsara mengharapkan cinta manusia. Aku sebetulnya sudah berkali-kali kecewa.

Aku membaca buku Irfan Khairi, Nota Jutawan Nota Motivasi hampir setiap hari dan sangat meminati rancangan Bijak Wang di TV3. Menjejaki Jutawan Senyap oleh Chef Li juga sudah kubaca iaitu ketika aku masih di kampus lagi. Aku juga berkali-kali membaca Pelita Jutawan oleh Azizi Ali. Selain Nota Jutawan Nota Motivasi yang sangat menginspirasi, buku Ke Mana Wang Anda? hasil tulisan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir juga menjadi buku yang berkali-kali kutekuni akhir-akhir ini dan terlalu banyak yang dapat aku pelajari daripada buku yang begitu bagus ini. Aku belajar tentang ilmu pengurusan kewangan, tentang bagaimana mengawal pendapatan – ilmu yang tidak diajarkan di sekolah atau di pusat pengajian tinggi dalam negara ini. Aku memperhalusi semua ini demi untuk memperkukuh ekonomi peribadi buat melamarmu nanti.

Aku membaca semua jenis buku, di MPH Mid Valley atau di PDM DBP Kota Bharu. Sampaikan komik Mat Som karya Lat pun kubaca dan aku sempat menghabiskannya tatkala lebih sejam tersengguk terhangguk di MPH, Mid Valley itu. Tauqul Hamamah oleh Imam Ibn Hazm al-Andalusi juga sedang kutekuni buat mengubat hati yang sudah entah berapa kali dikecewakan sunti. Aku sebetulnya mengembara seorang diri dan janganlah kau khuatiri – aku, laki-laki.
Apalah nasib diriku ini, terlalu sukar mencari hatta seorang sunti untuk dibuat isteri. Sudah bertahun-tahun sebenarnya aku tidak pernah putus-putus bertanya diri sendiri, siapakah yang akan Tuhan beri buat diriku ini untuk dijadikan isteri? Dan sudah bertahun-tahun juga sebenarnya aku mencari. Aku memang tidak pernah berhenti mencari, dari teduhan kampus di universiti hinggalah ke saat ini. Malah, ketika masih di bangku sekolah lagi. Dan kini, cintamu seorang sajalah yang kunanti walaupun kau sebenarnya sudah memberi kata putus bahawa hatimu masih juga tertutup untuk lelaki.

Bila sudah tiba masanya hatimu terbuka dan kau masih belum punya sesiapa, maka carilah aku di Pantai Tanjung Nipah ini, di atas buaian – dekat Masjid Tanjung Nipah. Tolong datang seorang diri. Aku memang masih setia menunggumu seperti selalu di pantai yang penuh kenangan ini. Tidak kisahlah hatimu terbuka dua atau tiga tahun lagi pun, aku masih tetap juga di sini – seorang diri bermain buaian di Pantai Tanjung Nipah ini. Aku ke mari dengan motosikal cabukku, bersama ibu atau kadang-kadang seorang diri – ke pantai yang sunyi dan sepi ini. Aku bahagia di sini – melihat deburan ombak, memerhati pantai yang memanjang yang penghujungnya entah di mana, mendengar deru angin dan kicau burung, melihat anak-anak bermain pasir, merenung kelibat nelayan yang menahan ikan atau udang serta melihat laut luas yang tak berpenghujung. Aku juga tidak pernah lupa mencari-cari kelibat si kecil Siti yang sangat berani – dia mahu mandi dan bermain ombak seperti orang dewasa. Dia hanya mahu berlari ke tengah laut tanpa mengira dirinya adalah seorang anak yang baru beberapa tahun cuma. Aku akan asyik pula mendengar neneknya bercerita tentang kenakalan cucunya yang bernama Siti ini.

Di Pantai Tanjung Nipah ini, aku akan asyik mengarang cerpen atau menulis puisi di telefon bimbit. Barangkali orang akan menyangka aku sedang menaip SMS yang panjang lebar kepada sesiapa, padahal mereka tidak pernah tahu aku sebenarnya sedang menyiapkan cerpen atau menyudahkan puisi. Dan sudah berapa banyak puisi yang telah kusiapkan dalam telefon bimbitku ini, puisi untukmu lebih-lebih lagi. Bersunyi-sunyi di sini mengembalikan aku jauh ke dalam kenangan – aku kembali teringatkan Teluk Ketapang. Sebuah pantai jauh di Kuala Terengganu yang pernah kuhuni lebih seminggu. Aku kembali teringatkan Kak Rosmani dan Abang Zahari. Aku kembali teringatkan Along, Angah, Firdaus, Aiman dan Ali. Kenangan bersama mereka begitu manis sekali dan sangat membekas di hati. Sekarang, yang tinggal untuk diriku hanyalah Pantai Tanjung Nipah yang sunyi dan sepi ini. Hampir setiap petang jumaat aku akan membawa diri ke sini. Bersendirian di sini memberikan aku sejuta ketenangan. Dan inilah satu-satunya cara yang dapat kulakukan buat mengubat kelukaan hati ini kerana aku sudah tak punya siapa-siapa lagi selain diriku sendiri.

Jangan cari aku di Facebook kerana aku belum sempat mendaftar di sana. Walaupun aku tahu ia sudah menjadi kegilaan begitu ramai manusia moden hari ini. Sampai kurasakan seperti hampir setiap orang yang menggunakan perkhidmatan internet itu mempunyai akaun Facebook. Aku bukannya suka sangat terlalu menjual diri hinggakan begitu dikenali. Aku lebih senang begini, seadanya diriku ini – aku lebih suka berjalan kaki dan naik bas pergi rata-riti atau terkadang-kadang menahan teksi, bersesak-sesak dalam komuter atau LRT, dan pernah juga aku merasa betapa seksanya duduk berhimpit atas beca roda tiga. Aku lebih senang tidak dikenali. Aku sangat bahagia sekali jika lebih ramai yang tidak mengetahui bahawa aku ini lulusan universiti. Biarlah aku dikenali hanya sebagai seorang anak petani yang mengerjakan sawah padi. Kerana aku memang dibesarkan dengan percik susu di kebun getah dan hanyir selut lumpur di tengah sawah. Aku bukan anak nelayan, jauh sekali jutawan.

Aku berkeyakinan sekali tentu benar jawapan Tuhan selepas istikharahku yang genap tujuh kali seperti yang pernah kulakukan dulu, maka aku akan tetap menantimu dan menunggu saat-saat indah menghuni di platform yang tak bernombor itu. Akan sampai waktu hatimu akan terbuka juga untukku. Aku tetap akan percaya itu dan tidak pernah putus-putus doaku dari waktu ke waktu sehinggalah hatimu benar-benar terbuka untukku, “Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata hatiku dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.”


[Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Mingguan Wasilah edisi 25 - 31 Oktober 2009]

Wednesday, August 10, 2011

Ketika Menunggu Berbuka


Menunggu berbuka di tengah syahdu ramadan
yang masih separuh berbaki
tiba-tiba kita kembali rindukan
saat berbagi juadah sebelum azan.

Berpayung dalam basah hujan
sesudah tersenyum menghantar makanan
manisnya kenangan untuk kita simpan sebagai ingatan.

–SALMAN SULAIMAN
Kampung Sungai Hala,
Machang, Kelantan.
7 September 2009
[KKAM Machang,
4:37 petang, 10/8/2011]

Saturday, April 30, 2011

Bengkel Penulisan Kreatif untuk Penulis Muda



Hari Kedua & Terakhir [30 April 2011, sabtu]



Hari kedua Bengkel Penulisan Kreatif untuk Penulis Muda anjuran DBP WT dengan kerjasama PPK diisi dengan sesi terakhir bersama penyair Rahimidin Zahari yang menceritakan proses kreatif beliau sebagai penulis muda yang sudah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Banyak karyanya dilancarkan di peringkat antarabangsa dalam bahasa asing. Dan beliau memberitahu ada tujuh bukunya yang bakal diterbitkan, insya-Allah.



11:05 pagi, selesai bicara Saudara Rahimidin Zahari yang menceburkan diri dalam hampir semua bidang seni termasuk menulis sajak hinggalah menulis esei seni lukis sampailah menjadi dalang wayang kulit. Pengalaman meluaskan cakerawala fikirnya. Pembacaannya yang meliputi karya sasterawan Malaysia hingga kepada karya-karya penyair dunia menjaadikannya seorang penulis yang luas ilmunya. Katanya buku-buku miliknya sudah mencecah nilai RM300,000. Jujur dan penuh rendah diri beliau memberitahu ke mana pun dirinya mengembara, dia tetap akan pulang ke tanah asalnya - ke daerah tradisinya sebagai anak Melayu. Tanah Kelantan akan tetap terus di hatinya.



Dan itulah Rahimidin Zahari.





Salman Sulaiman

Hotel Rebana, KB.

11:12 pagi, sabtu.

Saturday, April 09, 2011

BENGKEL PENULISAN KREATIF UNTUK PENULIS MUDA NEGERI KELANTAN





BENGKEL PENULISAN KREATIF UNTUK PENULIS MUDA NEGERI KELANTAN

Anjuran : Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur
Dengan kerjasama : Persatuan Penulis Kelantan (PPK)

Masa:

9 pagi, 29 April - 12 tengah hari, 30 April 2011 (Jumaat dan Sabtu).

Tempat:

Hotel Rebana, Lot 1561, Padang Bongor Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Syarat Penyertaan Peserta :

1. Berumur tidak lebih dari 25 tahun.
2. Mempunyai minat dan kebolehan untuk menulis karya kreatif.
3. Sekurang-kurangnya telah mempunyai satu (1) karya yang telah diterbitkan dalam mana-mana media cetak.

Yuran Penyertaan :

Yuran penyertaan bengkel adalah sebanyak RM 50.00 seorang untuk pakej penginapan dua hari satu malam (termasuk makan dan minum)
* Bilik penginapan disediakan untuk dua orang setiap bilik

Penceramah dan Fasilitator:

Antara pembimbing bengkel termasuklah Salman Sulaiman dan Abdul Hadi Yusoff serta beberapa orang penulis Kelantan yang lain.

Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran bengkel ini sila hubungi :
Encik Sharrul Rizal Hashim di talian 09-7414906 atau e-mel : sharrul@dbp.gov.my

-tempat adalah terhad-

Sumber: Facebook DBP Wilayah Timur, Kota Bharu.






Thursday, February 10, 2011

Wawancara dengan al-Ahkam.net

Sebagai pembuka bicara 2011, hayatilah wawancara Salman Sulaiman oleh wakil al-Ahkam.net, Saudara Hafiz yang diadakan pada penghujung Disember 2010 lalu. Saya sudah letih menulis, sekali sekala izinkan saya bercakap pula. Moga bicara sejam ini bakal bermanfaat buat semua yang sudi mendengar - mula menulis, pengalaman, buku-buku yang dibaca, hadiah, karya tulis, perancangan penulisan dan saranan. Selamat berfikir dan merenungkan!

Thursday, December 02, 2010

Lelaki yang mencari identiti

Lelaki yang mencari identiti


Identiti itu bukan pokok bunga
yang boleh dibeli
identiti itu jatidiri
identiti itu di sini, di dalam hati.

Aku juga lelaki
aku pun mencari identiti.

Lama-lama nanti
identiti itu akan datang sendiri
sesudah kau letih mencari
selepas kau puas mengkaji.


- Salman Sulaiman
Kota Bharu, Kelantan.
1 Disember 2010, Rabu.

Wednesday, November 03, 2010

Masyarakat kita masih kurang berminat @ langsung tidak berminat dengan ilmu pengetahuan!

Saya menulis catatan ini di dalam Perpustakaan Awam Kuala Krai (gambar) ketika jam sudah menunjukkan angka empat lebih. Seingat-ingat saya, sudah hampir 10 tahun saya tidak ke mari. Kalau tidak salah ingatan saya, kali terakhir saya menjejakkan kaki di sini ialah pada awal tahun 2002 dulu. Dan sebetulnya saya memang tidak jumpa mencari perpustakaan ini dan sudah tidak ingat di mana kedudukannya, maklum saja sudah lebih setengah dekad saya tidak menapak ke mari.

Ketika singgah fotostat di sebuah kedai buku tersohor di bandar ini, yang saya tak mahu sebut namanya; saya bertanyakan seorang lelaki muda yang bertugas menjaga mesin fotostat di mana letaknya Perpustakaan Awam Kuala Krai. Dia kurang pasti dan dia tanyakan gadis di sebelahnya yang menjaga kaunter bayaran. Dan gadis itu seperti terkesima dan tersenyum malu. Sayangnya gadis itu memang langsung tak tahu berbanding dirinya yang hanya ‘kurang pasti’. Tidaklah tidak tahu sepenuhnya.

Maka dengan kurang pasti itulah anak muda penjaga mesin fotostat tadi memberitahu saya, “Dekat balai polis. Sebelah sana,” dia menunjukkan arah. Tapi mukanya masih seperti was-was dan tidak pasti. Dan saya berseloroh walaupun sebenarnya saya sangat kecewa di dalam hati dengan sikap anak muda kita, “Betul ke ni? Nampak macam tak pasti saja.” Mereka berdua masih tersenyum malu ketika saya berlalu meninggalkan kedai buku yang terkenal itu.

Saat mula melangkah masuk ke kedai buku itu dan ketika awal-awal memulakan perbualan dengan penjaga mesin fotostat tersebut, saya sengaja bertanya, “Dah berapa lama kedai ni buka?” Katanya dia tidak tahu sebab baru kira-kira setahun bekerja di situ. Saya berfikir-fikir, kalaulah seseorang itu minat membaca dan minat buku, sudah pasti dia tahu sudah berapa lama kedai buku tempat dia bertugas itu dibuka. Dan tentu sekali dia boleh menjawab dengan jelas dan senang hati bila ada orang bertanya di mana letaknya Perpustakaan Awam Kuala Krai.

Dalam perjalanan mengikut arah yang telah ditunjukkan, saya singgah bertanya seorang pekedai lelaki berbangsa Cina. Pun tidak tahu juga. Maka saya mengalih soalan, “Balai polis sebelah mana?” Sebab anak muda penjaga mesin fotostat tadi memberitahu saya, “Dekat balai polis.” Dan lelaki Cina itu menunjukkan arah balai polis kepada saya dan saya meninggalkannya dengan ucapan terima kasih sambil tidak henti-henti berfikir tentang minat masyarakat kita terhadap ilmu.

Kalau saya kata, masyarakat kita majoritinya masih malas membaca dan majoritinya juga masih tidak berminat dengan ilmu pengetahuan, tentu ramai yang akan marah. Tetapi inilah natijahnya. Inilah kebenarannya yang saya lalui sendiri. Ketika ramai yang sudah heboh bercakap tentang gambar terbaru di facebook, ketika ramai yang sudah ada blog sendiri dan ketika ramai yang sudah berpelajaran tinggi – masih ramai lagi yang malas membaca dan tidak berminat untuk memajukan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan. Saya sedih dengan sikap masyarakat yang saya diami, saya kecewa dengan sikap anak-anak muda kita dan saya teringat diri saya yang merupakan seorang penulis di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya malas membaca!


Salman Sulaiman
Perpustakaan Awam Kuala Krai,
Kuala Krai, Kelantan.
[4:58 petang, 26/10/2010, Selasa]

Friday, August 06, 2010

Dialog Orang Muda PENA (DOM) di Rumah PENA esok!

Dialog Orang Muda PENA (DOM)

Tarikh: 7 Ogos 2010 (Sabtu)

Tempat: Rumah PENA, Kuala Lumpur.

Masa: 10:00 pagi - 12:00 tengah hari.

Tajuk: Hadiah Sastera Perdana; Perdana atau Tidak?

Ahli Panel: Rahimidin Zahari, Siti Jasmina Ibrahim & Salman Sulaiman.

Masuk percuma!

Sarapan pagi disediakan.

Semua dijemput hadir!

Dialog Orang Muda PENA, 7 Ogos 2010, jemput hadir ramai-ramai!

Dialog Orang Muda PENA (DOM)

Tajuk: Hadiah Sastera Perdana; Perdana atau Tidak?

Masa: 10:00 pagi - 12:00 tengah hari

Ahli Panel: Rahimidin Zahari, Siti Jasmina Ibrahim & Salman Sulaiman.

Masuk percuma!

Sarapan pagi disediakan.

Jemput hadir ramai-ramai!

Wednesday, June 16, 2010

Ekspedisi ke Kg. Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Video: Perjalanan dengan bot menuju ke Kg. Bantal, Ulu Tembeling dari Kuala Tahan pada 12 Jun 2010 bersama-sama warga eSastera.com; mengambil masa kira-kira 3 jam setengah.

Celaka Engkau Israel Laknatullah!

Video: Seorang Syeikh dari Palestin sedang menceritakan kesengsaraan penduduk Palestin dan pengalaman beliau diseksa tentera Yahudi. Matanya buta. Beliau merupakan bekas pembantu dan orang kanan kepada Allahyarham Syeikh Ahmad Yassin. Video dirakam pada 14 September 2009 di Masjid Sultan Yahya Petra, Machang, Kelantan selepas solat Jumaat.

Kematian 9 orang sukarelawan Turki ketika askar Israel menawan kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini akan terus diingat dan kekal berbekas dalam hati kita semua, insan yang mempunyai rasa kemanusiaan. Kapal Rachel Corrie juga kemudiannya turut ditawan. Istiqamahlah memboikot barangan Yahudi. Teruslah berdoa ke hadrat Ilahi. Berilah sumbangan setakat mana yang kita mampu. Bayangkan kita ada di tempat mereka, dikepung dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia. Segala hak sebagai manusia disekat dan dicabuli. Bayangkanlah kita ada bersama mereka di Gaza.

Saya sejak lahir sampai sekarang tidak pernah melangkahkan kaki ke dalam restoran McD, berleter dan bersyarah panjang kalau ada waris-warah yang tersalah beli ubat gigi Colgate atau air Coca-Cola. Walaupun ada orang yang hanya memboikot ketika ada rakyat Palaestin yang dibunuh dan berita itu sampai kepada mereka melalui tv atau akhbar. Jika tak kedengaran tentang kematian rakyat Palestin, mereka akan berhenti memboikot. Mereka tidak istiqamah dan sungguh-sungguh kerana mereka tidak merasa apa yang dirasa oleh rakyat Palestin. Saya tahu, ada benda yang memang kita tak boleh boikot.

Tapi kita masih boleh gosok gigi dengan ubat gigi lain. Kita masih boleh kenyang dan tidur lena tanpa makan di restoran McD dan masih boleh hilangkan dahaga tanpa meminum Coca-Cola. Kasihlah kepada saudara seIslam dengan kita seperti mana kita kasih kepada diri kita sendiri.

Salman Sulaiman

Bandar Kuantan, Pahang.

16 Jun 2010

1:24 tengah hari, Rabu.

Wednesday, April 14, 2010

Muhammad (Mengenang Nabi Muhammad sallallaahu 'alaihi wasallam)

Video: Salman Sulaiman mendeklamasikan puisi Muhammad (Mengenang Nabi Muhammad sallallaahu 'alahi wasallam) pada majlis Temu Puisi Aidilfitri anjuran GEMA (Gabungan Penulis Muda Kelantan) di Dewan PPK, Kota Bharu tahun 2009 yang lalu.

Thursday, April 01, 2010

Sedekad Menjadi Penulis


Sudah terlalu banyak sebenarnya saya berbicara tentang diri sendiri dan di banyak tempat juga telah saya ceritakan tentang proses kreatif saya serta jejak awal saya dalam dunia penulisan. Rasanya tidak perlulah saya mengulangnya semula. Saya pasti, pembaca setia tulisan-tulisan saya tentu akan merungut dan kecewa jika saya kembali menulisnya di sini.

Antara catatan proses kreatif yang dapat ditelaah tentang diri saya yang bertaburan dalam pelbagai tulisan ialah Kembara Puisi: Warna Kehidupan Yang Tertumpah Pada Kata (Pemain Bahasa, 2001), Pengalaman Pedih Seorang Penggila Puisi (Geletek, Ogos 2002), Tujuh Tahun Yang Lalu (www.pemainbahasa.blogspot.com, 25 Mei 2005), Seni, Puisi dan Manusiawi (Tunas Cipta, Januari 2006), Menulislah, Pasti Anda Akan Berasa Bahagia! (Kertas Kerja untuk Khemah Sastera Negeri Kelantan di Perdana Resort, 2006), Saya Bukan Sufi (Wawancara bersama Mohd Dahri Zakaria dalam www.esastera.com, 2006), Ketika-ketika yang berbeda-beda.... (Sebelum Menjadi Penakut, 2006), ‘Ngembara yang jauh ini... (Sinar Harian, 3 November 2006), Luka Si Kecil yang Sedang Bertapa Jauh di Padang Raja (Teks untuk Pengakuan Penyair di Rumah PENA Kuala Lumpur, 8 Disember 2006), Kau Tidak Pernah Tahu (www.esastera.com, 19 Mac 2007) dan Menggempur sastera dengan al-Quran (Siasah, edisi 17 – 23 Ogos 2008).

Jika dihitung daripada dua karya pertama saya iaitu puisi Patung Tak Bernyawa dan Azan yang disiarkan dalam majalah Al-Fununiah, edisi November 1998 sehinggalah waktu saya menaip rencana ini – ianya sudah genap 10 tahun saya menjadi penulis. Tapi sekiranya dihitung daripada tarikh saya menghasilkan puisi pertama saya berjudul Di Sebuah Gubuk Tua pada bulan April 1998 sehinggalah waktu anda membaca tulisan ini, maka ianya sudah hampir mencecah 11 tahun saya menjadi penulis. Namun, siapalah diri saya jika dibandingkan dengan sekian ramai penulis di negara ini. Ini hanyalah secoret pengalaman kecil yang dapat saya kongsikan bersama.

Dalam masa kira-kira sepuluh tahun ini – setelah menghasilkan beratus-ratus buah tulisan dalam pelbagai genre termasuk cerpen, puisi, rencana dalam pelbagai bidang, syair, pantun, wawancara, berita, lirik lagu nasyid, skrip teater, komentar dan catatan kembara – saya sebenarnya dapat belajar banyak perkara. Terlalu banyak. Saya pun sudah semakin berkira-kira dalam menggunakan setiap perkataan untuk sesebuah karya. Setiap patah yang mahu ditulis sudah begitu diambil kira. Setiap ayat yang dicipta, dimurnikan dengan sebaik-baiknya. Setiap tulisan yang dihasilkan, berkali-kali pula disemak dan dipertimbangkan isi serta gaya penulisannya. Saya belajar bahawa sememangnya menjadi penulis itu bukan kerja main-main atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sekarang, jika ada yang bertanya apa yang seronoknya menjadi penulis. Maka tiada lain jawapan saya – kita akan rasa sangat bahagia bila mengetahui tulisan kita dibaca, kemudian dihargai pula. Gembiranya saya bila ada yang mengirim SMS memberitahu dia membaca tulisan saya. Lebih gembira lagi apabila dia ikut memberi komentar sekali, tulisan kita itu begitu dan begini.

Terlalu banyak kenangan yang manis selama menjadi penulis. Ada yang menitis air mata membaca catatan proses kreatif saya dalam buku Pemain Bahasa. Seorang pelajar di Politeknik Arau mengirim SMS tertarik dengan mini cerpen saya Suling Si Alim Kucing (Sinar Harian, 24 Mac 2007). Begitu jugalah dengan seorang guru di Rantau Panjang yang ikut tertarik dengan cerpen yang sama. Cerpen saya yang berlatarkan madrasah dan bercerita tentang al-Quran pernah mendapat reaksi seorang pelajar Darul Quran, Kuala Kubu Baru. Katanya, cerpen saya itu terasa hidup dalam dunia realiti yang sedang dilaluinya.

Seorang pembaca setia yang lain selalu pula menangis membaca tulisan-tulisan saya dan dia mempunyai sebuah fail khusus untuk menyimpan karya-karya saya. Seorang guru di Keningau yang tertarik dengan sebuah puisi saya dalam Pemain Bahasa menyiarkan puisi tersebut dalam buletin sekolahnya. Manakala seorang teman dari Sarawak pernah memberitahu, dia ada menemui buku saya dalam perpustakaan di daerahnya. Malah ada seorang penuntut sebuah kolej di Kota Bharu yang membaca sebuah cerpen saya hampir setiap hari selama bertahun-tahun dan sejak itu juga dia bercita-cita menemui penulisnya.

Yang lebih membuat saya terharu ialah seorang peminat setia dari Terengganu yang katanya ‘fanatik’ dengan tulisan saya. Dia mengakui mengikuti dan membaca hampir semua karya-karya saya serta banyak tulisan saya yang disimpannya. Sampaikan banyak ayat-ayat dalam karya saya yang dia ingat dan dia dapat mengesan pula jika ada penulis lain yang terpengaruh dengan bahasa saya. Ada yang mengaku suka membaca dan menelaah karya-karya saya. Ada juga pembaca setia dari Pasir Mas yang sanggup meredah hujan sehingga 7 kilometer kerana ingin membeli akhbar yang mengandungi cerpen saya. Tidak kurang juga yang selalu mengirim ucapan tahniah apabila melihat karya-karya saya disiarkan dalam mana-mana penerbitan. Terima kasih tidak terhingga daripada saya untuk anda semua yang kekal setia menanti karangan-karangan saya.

Saya masih tetap bahagia dengan apa yang saya lakukan sekarang – mendidik anak-anak di bengkel dan akademi sastera, menerima jemputan sebagai deklamator, menjadi pengacara majlis, mengkaji sejarah bangsa sampai ke daerah-daerah jauh, bersunyi-sunyi membaca di perpustakaan atau berdiam diri di Teratak Seni mengarang serba-serbi. Pejabat saya boleh jadi di mana-mana saja – di tempat menunggu bas, di atas kereta sewa, di satu sudut tersembunyi dalam restoran, di masjid atau madrasah, di mana-mana resort atau chalet, di perpustakaan atau di rumah. Saya akan tetap terus menulis juga untuk anda semua selagi masih diizinkan-Nya.

Menjadi penulis juga, alhamdulillah telah membawa saya berkembara ke serata tempat di seluruh negara. Menjadi panel dialog teater sampai ke Arau. Mendeklamasi puisi sampai ke Kuala Lumpur. Memotivasikan anak-anak sekolah sampai ke Shah Alam. Mendalami seni dan menjadi lebih Islami sampai ke Minden. Menjual tulisan sampai ke Jengka. Mendalami permulaan tamadun Islam sampai ke Muzium Losong. Menggali sejarah sampai ke Tumpat. Menghayati keajaiban ciptaan Tuhan sampai ke Pulau Redang. Memantapkan angkatan penulisan sampai ke Tanjung Piai. Mencari jati diri Melayu sampai ke Johor Bahru. Bertemu penyair sampai ke Ayer Keroh. Belajar menjadi deklamator sampai ke Port Dickson. Berguru dalam seni persembahan sampai ke Cherating. Bertemu sasterawan sampai ke Alor Star. Memantapkan ilmu penulisan kewartawanan hingga ke Perdana Resort. Itu semua tidaklah memberi apa-apa makna jika membuatkan saya angkuh dan sombong sesama manusia. Tetapi kerananya saya dapat mengenali ramai manusia, penulislah yang terutama. Dunia penulisan jugalah yang telah menemukan saya dengan ramai kawan dan teman. Tidak kurang juga yang sangat memahami dan ikut memberi semangat serta kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan. Terima kasih kawan-kawan.

Sebenarnya, semakin luas saya mengembara dalam alam ciptaan-Nya – saya tidak ke mana-mana pun – rupa-rupanya saya hanya semakin jauh dibawa masuk berkelana ke dalam diri sendiri. Lebih banyak tempat saya pergi belajar dan berguru akan mengingatkan diri sendiri betapa ‘tidak pandai’nya saya ini. Dan betapa luasnya ilmu Allah itu. Semakin ramai saya berguru, maka semakin banyaklah yang saya tidak tahu. Dan saya memang akan terus belajar dan berguru tanpa jemu. Menjadi penulis itu adalah belajar mengenal diri sendiri. Sebab itu juga saya selalu mengingatkan diri sendiri dan teman-teman penulis yang lain juga bahawa sebelum menulis kepada orang lain, menulislah terlebih dahulu kepada diri sendiri.

Ayat Allah inilah yang akan selalu saya ulang sebagai ingatan, lebih-lebih lagi kepada diri sendiri yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebencian di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah As-Saff: Ayat 2 & 3) Saya terlalu berharap agar diri yang lemah dan kerdil ini tidak termasuk di kalangan orang-orang seperti yang difirmankan Allah, juga kepada teman-teman penulis yang lain – saya mahu mengingatkan, yang bermaksud, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Surah Al-Baqarah: Ayat 44)

Saya tahu, memilih menjadi penulis sepenuh masa setelah bersusah-payah menghabiskan pengajian selama tiga tahun di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah selalu dianggap kerja yang ‘paling gila’ yang pernah dibuat oleh graduan seperti saya. Saya mencabar diri sendiri dengan bekerja tanpa gaji tetap, tiada akaun KWSP dan tanpa duit pencen. Bagi kebanyakan orang di sekeliling saya dan masyarakat di kampung terutamanya – keluar pagi balik petang itulah baru dipanggil kerja namanya. Kalau yang lain daripada itu, bukan kerjalah bagi mereka. Maka, kepedihan menjadi penulis sepenuh masa sebenarnya tidak dapat saya ungkap dengan kata-kata. Lukanya biarlah saya sendiri yang menanggungnya kerana saya yang berkeras kepala untuk menempuhnya. Bagi memastikan setiap bulan adanya karya saya terbit di mana-mana penerbitan dan bagi meneruskan kelangsungan dalam penulisan, saya mendisiplinkan dan mewajibkan diri mesti mengirim beberapa buah karya ke penerbitan setiap minggu.

Sepuluh tahun sebagai penulis juga, saya turut mempunyai kenangan yang istimewa bersama majalah Tunas Cipta kerana edisi pertama majalah ini pada Jun 2001 telah memuatkan tulisan saya yang berjudul Nostalgia MPR 2000. Manakala kemunculan kembali Tunas Cipta pada Oktober 2008 lalu pun sekali lagi turut memuatkan karya saya iaitu Pantun Sebelum Tidur. Terima kasih Tunas Cipta untuk semua kenangan yang bermakna ini.

Ketika berbicara lama dengan Sasterawan Negara A. Samad Said dalam program Akademi Sastera Siber (AKSES) 2 di Perdana Resort, Kota Bharu pada tahun 2007 yang lalu saya sempat menyuarakan kepada Sasterawan Negara itu hasrat untuk menjadi penulis sepenuh masa yang berjaya seperti dirinya. Lantas Pak Samad memberi beberapa panduan berguna untuk berjaya dan terus kuat sebagai penulis sepenuh masa. Tetapi lain pula reaksi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh ketika saya katakan saya kini menulis sepenuh masa. Saya pula yang ditanya, “Boleh hidup ke?”

Saya tidak pernah marah dan menyesal dengan apa yang saya lalui sekarang kerana saya sendirilah yang memilihnya. Saya tetap percaya dan akan terus percaya, rezeki Allah itu ada di mana-mana. Cuma, kitalah yang perlu terus gigih berusaha. Walaupun saya sedar saya menetap di salah sebuah negeri yang jauh di hujung Malaysia, bukan di Kuala Lumpur. Namun saya yakin kejayaan seseorang penulis itu bukan ditentukan oleh tempat tinggal atau di mana dia berada tetapi apa yang ditulis itulah yang menjadi pengukurnya.

Mengenang kembali selama lebih sepuluh tahun menjadi penulis mengingatkan saya kepada banyak perkara. Saya kembali teringatkan lampu pelita dan jelaga asapnya yang pernah menemani saya yang sedang meniarap menghasilkan karya ketika awal-awal menulis dulu. Saya juga kembali teringatkan mesin taip elektronik jenama Canon yang sudah rosak itu. Dengan mesin taip yang penuh nostalgia itulah saya menyiapkan keseluruhan manuskrip Pemain Bahasa. Saya teringat juga kepada sekian ramai kawan-kawan penulis yang pemurah dan baik hati. Lebih-lebih lagi saya teringatkan sekian ramai guru-guru saya dalam bidang penulisan yang begitu banyak memberi ajaran dan pedoman. Terima kasih sifu sekalian. Saya juga teringatkan diri saya yang pernah beberapa waktu tidak jemu-jemu berulang-alik dari Machang ke Kota Bharu hanya kerana ingin menyelesaikan urusan percetakan buku-buku saya. Saya tahu, saya bakal melalui pengalaman itu lagi kerana saya akan terus menerbitkan buku-buku sendiri di masa hadapan. Malah sampai saya juga pernah membayangkan kalaulah arwah ayah masih ada, tentu saya tidak menjadi penulis agaknya.

Ketika memberitahu sahabat penulis saya, Jimadie – bahawa saya sudah menjelajah hampir ke serata ceruk di Pantai Timur menjual tulisan, dia pelik dan hairan serta bertanya, “Sebenarnya manusia ini cari apa?” Teringat juga saya dengan sahabat penulis saya Nimoiz TY yang mengemukakan soalan yang hampir sama setelah melihat saya menyampaikan puisi dan berlari sambil berjenaka kepada anak-anak peserta di AKSES 3, “Salman, apa yang kau cari?” Sekarang, biarlah saya mengambil peluang untuk menjawabnya, “Saya hanya mahu mencari keredaan-Nya dan kebahagiaan hidup di dunia serta di akhirat sana. Itu saja, yang lain tiada.” Saya akan tetap meneruskan dakwah dengan pena selagi mana terdaya kerana jalan inilah yang Allah telah lorongkan kepada saya agar melaluinya. Andai ditakdirkan satu hari nanti saya gagal sebagai penulis sepenuh masa, jangan khuatir – saya pasti akan beritahu anda semua.

Di hadapan meja tempat saya mengetik papan kekunci komputer setiap hari, saya tampalkan makna serangkai ayat Allah yang bagi saya terlalu menyentuh jiwa dan membuatkan saya berasa sangat bahagia menghayatinya. Saya akan selalu membacanya sebagai penguat untuk saya berjaya sebagai penulis sepenuh masa. Saya juga selalu membacanya ketika hati terasa pedih, luka dan kecewa. Kehebatan dan keajaiban daripada ayat Allah yang mulia inilah yang akan terus memberi kekuatan serta pembakar semangat buat diri saya.

Betapa hebat dan syahdunya alunan merdu ayat Allah ini yang disampaikan oleh qari teragung dunia abad ke-20, Syeikh Mustafa Ismael Al-Mursi. Maknanyalah yang lebih-lebih lagi tidak putus-putus menggetarkan jantung hati saya hingga ke saat ini. Dan saya akan terus juga menghayatinya sampai bila-bila, “...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaq: Ayat 2 & 3)

Tulisan ini sebahagiannya telah disiarkan dalam majalah Tunas Cipta (ruangan Buah Pena Alumni MPR), edisi Februari 2009 dengan judul “Saya belajar bahawa sememangnya menjadi penulis itu bukan kerja main-main atau sekadar melepaskan batuk di tangga.”

Aku seperti angin, ada tetapi tidak kelihatan

Video: Rosli Mohd Noor mendeklamasikan puisi dalam Program Puisi Sehati 1Malaysia di Pantai Sri Tujoh Resort, Tumpat, Kelantan pada 5 Mac 2010.

Rosli Mohd Noor, sosok yang jarang disebut dalam sastera Malaysia. Jika menyebut tentang para penyair di Kelantan pun, namanya sering kali tertinggal. Ini semua terjadi atas pilihan Rosli sendiri. Rosli menulis puisi-puisi yang bagus, tapi sayangnya dia tidak menghantarnya ke majalah atau surat khabar. Puisi-puisinya hanya sesekali dapat ditemui dalam antologi bersama yang menghimpunkan karya ramai penulis iaitu antologi yang diterbitkan sempena majlis-majlis tertentu. Malah dia sendiri tidak pernah pun bercita-cita untuk mengumpulkan puisi-puisinya yang indah dan penuh falsafah itu ke dalam sebuah buku kumpulan puisi perseorangan. Memang itu bukan cita-cita Rosli. Barangkali dunia penulisan dan dunia seni terutama teater improvisasi yang pernah dipentaskan beliau hanyalah sebuah kerja sampingan yang dilakukan pada masa lapang atau sekadar menghilangkan bosan. Itu saja.

Rosli pernah muncul dalam dunia pementasan teater di Kelantan dengan kumpulan teater pimpinannya yang diberi nama kumpulan Teater Najihah. Kumpulan Teater Najihah sering mementaskan mini teater sekitar setengah jam yang seringkali pula berbentuk improvisasi dengan para pelakonnya terdiri daripada pemain-pemain lelaki termasuk beliau sendiri. Barangkali kini Rosli sudah lama pun melupakan kumpulan Teater Najihahnya itu. Malah kelibatnya pun jarang sekali kelihatan dalam majlis-majlis sastera yang diadakan sekitar Kelantan. Dalam tempoh dua tiga tahun beliau akan muncul sekali dan kita memerlukan dua tiga tahun lagi selepas itu untuk menemui beliau semula. Mungkin mulai saat ini hingga tahun 2020 nanti pun, hal yang sama akan berlaku. Kita mungkin akan menemui Rosli hanya tiga atau empat kali sahaja dalam tempoh itu.

Sesekali beliau muncul di pentas menyampaikan puisi mampu mengubat kerinduan bekas anak didik atau sahabat-sahabat seperjuangannya. Menemuinya dalam Program Puisi Sehati Satu Malaysia baru-baru ini yang diadakan di Pantai Sri Tujoh Resort, Tumpat, Kelantan, ada teman yang bertanya tentang dirinya yang lama menghilang – dalam bahasa yang begitu puitis beliau menjawab, “Aku seperti angin, ada tetapi tidak kelihatan.” Pertemuan semula dengan Rosli mengingatkan saya pada satu catatan lama saya bertarikh 7 November 2002 (Khamis), yang saya catatkan dalam sebuah buku nota kecil. Antara lain dalam catatan lama yang saya judulkan 'Antara Seniman Tulen dan Penulis Sejati' itu saya menulis:

Saya juga teringat gurauan Abang Rosli Mohd Noor ketika Bengkel Penulisan Cerpen & Puisi 2001 yang lalu, “Man, meniarap bawah katil barulah seniman sejati” ketika saya sedang meniarap di atas katil asrama Kompleks Belia & Sukan Negeri Kelantan, Panji, Kota Bharu menulis naskhah awal cerpen “Gendang Sufi dan Tarian Rohani” yang kemudiannya terpilih antara lima buah cerpen terbaik bengkel tersebut. Ya, hingga kini saya masih mengakui hanya Rosli sahajalah satu-satunya seniman sejati di Kelantan. Dan kalau penulis tulen di Kelantan, saya akan menderetkan nama yang lain pula. Menurut Rosli sendiri, “Seniman itu bukan manusia popular, lihat saja Khalid Salleh – tak kacak pun.” Rosli kelihatannya begitu mengagumi Allahyarham A. Aziz HM, Khalid Salleh dan M. Nasir.

“Aku seperti angin, ada tetapi tidak kelihatan” yang diucap Rosli itu masih terngiang-ngiang jelas di telinga saya hinggalah kami menemui beliau semula dalam masa dua atau tiga tahun yang akan datang.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
31 Mac 2010, Rabu.

Saturday, February 27, 2010

Aurat: Pakaian Menjolok Mata



Kuliah disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, pendakwah yang terkenal di sekitar Terengganu dan Pahang.

Sumber: www.youtube.com

Thursday, February 25, 2010

Orang yang membiarkan anak isterinya mendedahkan aurat di khalayak ramai, orang ini muka tak malu!



Kuliah disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, seorang pendakwah terkemuka di Pantai Timur.

SUMBER: www.youtube.com

Saturday, February 06, 2010

Jangan cari saya di MySpace, twitter, friendster atau facebook!


Saya tahu sekarang ramai anak-anak di sekolah menengah yang tingkatan empat dan lima pun sudah ada akaun facebook. Yang belajar di universiti tak payah cakaplah. Mungkin ramai yang akan kata saya tak ikut perkembangan zaman dan tertinggal kereta api kerana tak ada akaun facebook, tak apalah saya tak kisah. Sebab saya sendiri yang memilih untuk tidak membuka akaun di laman sosial yang sedang hangat itu. Memang kalau sebut saja tentang internet, facebook seperti sudah menjadi fenomena sekarang. Saya memang sengaja tidak membuka akaun dalam mana-mana empat laman sosial yang telah saya sebutkan.

Benar, saya akui bahawa dengan facebook apa-apa promosi dapat dilakukan dengan cepat. Orang menggunakannya untuk mencari pengaruh, menambah kenalan dari serata ceruk dunia, mengiklankan perniagaan, buka kelab peminat, sekadar berkomunikasi, berkongsi maklumat, mencari semula kawan-kawan lama dan macam-macam lagi. Jaringan facebook memang pantas dan saya lihat ramai kawan-kawan berkongsi cerita dengan cara yang begitu menyeronokkan menggunakan facebook. Terbaru, saya dengar Senator Datuk Dr. Awang Adek yang bercakap di daerah saya di Machang siang tadi pun mahu menggunakan laman sosial ini untuk menarik kembali rakyat Kelantan kepada UMNO sekali gus menawan semula Kelantan. Sudah tentu laman sosial yang dimaksudkan itu adalah facebook.

Ada teman penulis yang memberitahu ada sahabat facebook dia yang hanya tulis nak tidur pukul berapa dalam facebooknya, dia geram dan menyampah betul. Ada pula yang sampai ketagih dengan facebook, asyik nak buka facebook saja memanjang. Sampaikan orang mengadap lap top nak buat kerja pun terganggu hanya kerana dia nak buka facebook. Seorang teman penulis lain, yang juga ada facebook pula kata, dia nampak ramai yang guna facebook untuk berlebih-lebih menonjolkan diri sendiri saja.

Saya lihat ramai yang begitu seronok menyiarkan pelbagai koleksi gambar sendiri untuk tontonan umum dalam laman sosial ini, terutamanya dalam friendster dan facebook. Ada yang siarkan gambar dengan buah hati, ada yang buat macam-macam aksi untuk dirakamkan, ada yang siar gambar dengan suami, ada yang siar gambar tengah dukung anak dan macam-macam lagi. Tidak dinafikan ada juga yang bertemu jodoh melalui laman-laman sosial ini. Maklum saja, di friendster misalnya terpampang awal-awal lagi adakah si pemilik akaun itu masih solo atau sudah berkahwin.

Saya tahu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said ada facebook, rancangan di TV3 ada facebook, Awal Shaari ada facebook, kawan sekolah saya yang dah sepuluh tahun kami tak jumpa pun ada facebook, sekian ramai teman-teman penulis pun ada facebook, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib pun ada facebook yang khabarnya sudah mempunyai hampir tiga puluh ribu orang kenalan dan ramai rakyat Malaysia yang sudah ada facebook.

Saya rasa, saya masih tidak ketinggalan zaman hanya kerana tidak ada akaun facebook atau lain-lain laman sosial. Walaupun tidak ada akaun facebook, saya masih tetap setia menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan selalu berkongsi maklumat di internet. Anda masih boleh jumpa saya di sini, di blog ini. Ketika ramai yang masih belum tahu apakah bendanya blog itu, saya dah buka blog ini pada awal tahun 2005 lagi. Kini sudah lima tahun blog saya ini beroperasi. Kalau anda agak-agak dah lupa boleh tengok balik arkib yang lama-lama, maka akan jumpalah tulisan saya sejak daripada awal 2005 sampailah sekarang, iaitu saat anda membaca catatan terbaru ini. Malah sejak 2004 lagi, ketika masih ramai yang baru kenal internet, apatah lagi blog atau facebook – saya sudah ada laman web sendiri di www.salmansulaiman.cjb.net. Jadi, saya tetap memanfaatkan kemudahan teknologi internet untuk tujuan dakwah dan menyampaikan maklumat. Sangat silaplah kalau ada yang kata saya ketinggalan zaman atau tertinggal kereta api. Maka, kalau nak tahu perkembangan saya, janganlah segan-segan untuk singgah ke mari.

Sebenarnya tak berapa seronok juga nak bercerita tentang semua perkara kepada orang lain. Tak adalah privacy kalau semua benda nak beritahu. Dengan rangkaiannya yang begitu meluas dan pantas, facebook memang sangat bagus digunakan untuk dakwah mengembangkan Islam, promosi perniagaan atau mencari pengaruh serta lain-lain hal yang wajar. Jadi; kepada pendakwah, penulis, sasterawan, wartawan, peniaga dan yang seumpama dengannya – manfaatkanlah jaringan maya di internet dengan sebaik mungkin. Saya, setakat ini – cukuplah sekadar dengan blog ini saja dulu. Walaupun saya sebenarnya sudah terliur terketa’-keta’ (loghat Kelantan: terliur sangat-sangat) untuk membuka akaun di laman sosial seperti mana ramai kawan-kawan yang lain. Tapi kalau sekadar beritahu tidur pukul berapa dan nak bangun pukul berapa dalam facebook lebih baik tak payah buka facebook, hanya menyemakkan akaun kawan-kawan sahaja.

Sehari dua ini, atau sebulan dua ini – carilah saya di sini saja, dalam blog ini. Kerana untuk tahun baru 2010 ini, web saya di www.salmansulaiman.cjb.net pun sudah tinggal gemulah. Tapi, kalau saya dah tak tahan sangat untuk membuka akaun di laman sosial itu, akan sampai masanya saya tetap akan membukanya juga. Tapi sebelum sampai saat itu; jangan cari saya di MySpace, twitter, friendster atau facebook!


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
9.43 malam, 6/2/2010.
Sabtu, 21 Safar 1431 H.

Wednesday, January 20, 2010

Bengkel Kesempurnaan Solat di USM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 23 Januari ini!

Adakah anda yakin solat anda betul-betul sempurna?

Tarikh : 23/1/2010
Tempat : Dewan Kuliah 6 USMKK
Masa : 8.30 pagi - 4.00 petang

Sesi 1: Merungkai Kesempurnaan & Kaedah Solat Cara Nabi
oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Penasihat Pondok Sungai Durian)

Sesi 2 : Solat & Sains
oleh Dr Danial Zainal Abidin (Pakar Motivasi & Kolumnis ruangan Islam & Sains Majalah i, Karangkraf & Kosmik)

Yuran :
Pelajar USM & sekolah (RM 8)
Pelajar IPT, orang awam & staf USM (RM 10)

Pendaftaran sila hubungi:

'Ainatun- 017- 9003698
Nadiah - 019-9896187
Madihah - 013-5991206
Faizal - 012-4128340
Tarmizi - 014- 8447004

'Bersama Memartabatkan Islam'

Sumber: www.rakanmasjidusmkk.blogspot.com

Saturday, January 09, 2010

Bacalah dengan nama Tuhanmu!

Senarai Tulisan Salman Sulaiman yang Disiarkan 2009

1 – Cerpen Muhammad, Bacalah dengan Nama Tuhanmu! dalam i, Januari 2009.

2 – Puisi Melihat Kau Bermain Pisau dalam Dewan Sastera, Januari 2009.

3 – Rencana ulasan buku Bahasa Peribadi Zaen Kasturi dalam Iga dalam Dewan Bahasa, Januari 2008.

4 – Cerpen Biarlah Baba Pergi (2) dalam e@siswa, Februari 2009.

5 – Catatan proses kreatif “Saya belajar bahawa sememangnya menjadi penulis itu bukan kerja main-main atau sekadar melepaskan batuk di tangga.” dalam Tunas Cipta (kolum Buah Pena Alumni MPR), Februari 2009.

6 – Puisi Aku Mahu Kembali Bersolat Subuh di Surau Kampung Buloh dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

7 – Puisi Kita Memang Selalu Saling Merindu dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

8 – Puisi Cintaku yang Luhur dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

9 – Puisi Segenggam Pasir di Malam Hijrah dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

10 – Puisi Sementara Berteduh di Bawah Pohon yang Rimbun Ini dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

11 – Puisi Apabila Kita Sama-sama Berada di Puncak Kecewa dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

12 – Puisi Gundah Langit Syawal dalam Tunas Cipta, Februari 2009.

13 – Rencana sastera Penulis Malaysia dan buku elektronik dalam Siasah, bil. 0134, edisi 1 – 7 Februari 2009.

14 – Rencana agama Adab dalam menuntut ilmu dalam Siasah, bil. 0139, edisi 8 – 14 Mac 2009.

15 – Rencana ulasan filem Children of Heaven yang menyentuh hati dalam Mingguan Wasilah, bil. 101, edisi 8 – 14 Mac 2009.

16 – Rencana sosial Hanya melahirkan generasi penakut dan tahyul dalam Siasah, bil. 0141, edisi 22 – 28 Mac 2009.

17 – Rencana sastera Nilai seorang deklamator dalam Mingguan Malaysia, 29 Mac 2009 (Ahad).

18 – Rencana ulasan buku Mendalami ilmu tentang al-Quran dalam Siasah, bil. 0143, edisi 5 – 11 April 2009.

19 – Puisi Derap Langkahku Masih Juga dengan Sepatu yang Dulu dalam Mingguan Malaysia, 26 April 2009 (Ahad).

20 – Rencana ulasan filem Realiti Kejahatan dalam Budak Kelantan dalam Dewan Budaya, Mei 2009.

21 – Rencana ulasan buku Ragam Bahasa Abdulhadi dalam Dewan Bahasa, Mei 2009.

22 – Rencana ulasan buku Sebuah Buku Motivasi yang Paling Bergaya dalam www.esastera.com/resensi, 6 Mei 2009 (Rabu).

23 – Rencana sastera Pram, pujangga yang bahasanya tajam menikam dalam Siasah, bil. 0149, edisi 17 – 23 Mei 2009.

24 – Rencana sastera PPMN 2009: Harapan di bahu penulis muda dalam Harakahdaily.net, 20 Mei 2009 (Rabu).

25 – Puisi Ayah Adalah Hadiah Allah dalam WANITA, Jun 2009.

26 – Rencana politik Politik bercelaru rakyat terkeliru dalam Siasah, bil. 0152, edisi 7 – 13 Jun 2009.

27 – Puisi Duduk Berdiam Dalam Gelita Malam dalam Mingguan Malaysia, 28 Jun 2009 (Ahad).

28 – Rencana sastera Mengungkapkan makna bangsa merdeka dalam Mingguan Malaysia, 12 Julai 2009 (Ahad).

29 – Cerpen Encik Mohd Sibuk bin Tuan Haji Ahmad Sibuk dalam Mingguan Wasilah, bil. 120, edisi 19 – 25 Julai 2009.

30 – Rencana ulasan buku Menghayati kesempurnaan Islam dalam Siasah, bil. 0158, edisi 19 – 25 Julai 2009.

31 – Rencana ulasan filem Apabila buta dan sengau jadi dalang dalam Siasah, bil. 0160, edisi 2 – 8 Ogos 2009.

32 – Rencana ulasan buku Mencari Pemimpin Terbaik dalam Dewan Masyarakat, Ogos 2009.

33 – Rencana sastera Menelaah Nilai Islam dalam Karya Penulis Muda dalam Tunas Cipta, September 2009.

34 – Cerpen Nuh, Si Tukang Kayu dan Sebuah Perahu dalam Dewan Sastera, September 2009.

35 – Rencana sastera Pak Samad cerita politik dan ekonomi dalam Siasah, bil. 0165, edisi 6 – 12 September 2009.

36 – Puisi Sesudah Ribuan Tahun Kau Pergi dalam www.minggupenulisremaja.blogspot.com, 16 September 2009 (Rabu).

37 – Pendapat Tindakan melampau hanya mengeruhkan keadaan dalam Utusan Malaysia, 7 Oktober 2009 (Rabu).

38 – Puisi Kuserahkan Hatiku Kepada Tuhan dalam Harakah edisi Isnin, bil. 1479, 12 – 15 Oktober 2009.

39 – Cerpen Aku ingin berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu dalam Mingguan Wasilah, bil. 132, edisi 25 – 31 Oktober 2009.

40 – Rencana sastera Politik dan sikap penulis dalam Harakahdaily.net, 21 November 2009 (Sabtu).

41 – Transkripsi ceramah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said semasa AKSES 4 di Kota Bharu, SN A. Samad Said berbicara soal sastera, ekonomi dan politik dalam Sastera.net edisi 7, April – September 2009.

42 – Rencana sastera Contohi sastera al-Quran dalam Mingguan Malaysia, 29 November 2009 (Ahad).

43 – Rencana sastera Jika Sastera Masih dianggap “Sastera” dalam Tunas Cipta, Disember 2009.

44 – Cerpen Memintas Akal Pencuri dalam Harakah, ? Disember 2009.

Monday, December 14, 2009

Menyusur Sungai Golok bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said



Rakaman video oleh: Salman Sulaiman.

Warga e.Sastera.com sedang menyusur Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan isteri, Datin Rashidah pada tengah hari 13 Disember 2009, Ahad. Warga eSastera.com yang ada bersama di atas bot ialah Dr. Irwan Abu Bakar, Sasterawan Alam Siber (SAS) Anbakri, Saudara MB, Saudari Teratai dan anaknya, Salman Sulaiman dan Saudara Kriey.

Ketika di atas bot saya seboleh mungkin cuba merakamkan semuanya dengan keupayaan dan kemudahan yang ada; mendokumentasikan pengalaman manis ini dalam semua bentuk rakaman - video, visual dan tulisan. Sekejap merakam video, kemudian bertukar kepada rakaman visual tidak bergerak dan sesekali beralih kepada catatan di ruangan nota dalam telefon bimbit. Malah saya sempat mengirimkan sedikit catatan dalam SMS saya kepada seseorang yang saya tulis begini, "Assalamualaikum; sekarang atas bot di Sungai Golok. Ada bersama dalam bot ialah Pak Samad Said. Edisi penulis ronda-ronda Sungai Golok."

Di atas bas dalam perjalanan untuk makan tengah hari di sebuah restoran di pekan Rantau Panjang kemudiannya, saya memberitahu SAS Anbakri kira-kira begini, "Satu-satunya Sasterawan Negara yang menyusur Sungai Golok setakat ini ialah Pak Samad Said." Dan SAS Anbakri memberitahu supaya difokuskan satu tulisan khusus tentang itu. Kenangan menaiki bot di Sungai Golok tentunya menjadi antara pengalaman yang paling manis buat kami yang sempat bersama di atas bot bersama Pak Samad Said tengah hari itu, sehinggakan memberi ilham kepada Dr. Irwan Abu Bakar untuk mengadakan Sayembara Sungai Golok selepas ini.

Salman Sulaiman
Padang Selising, Machang.
10:09 malam, 14/12/2009.