Thursday, April 01, 2010

Sedekad Menjadi Penulis


Sudah terlalu banyak sebenarnya saya berbicara tentang diri sendiri dan di banyak tempat juga telah saya ceritakan tentang proses kreatif saya serta jejak awal saya dalam dunia penulisan. Rasanya tidak perlulah saya mengulangnya semula. Saya pasti, pembaca setia tulisan-tulisan saya tentu akan merungut dan kecewa jika saya kembali menulisnya di sini.

Antara catatan proses kreatif yang dapat ditelaah tentang diri saya yang bertaburan dalam pelbagai tulisan ialah Kembara Puisi: Warna Kehidupan Yang Tertumpah Pada Kata (Pemain Bahasa, 2001), Pengalaman Pedih Seorang Penggila Puisi (Geletek, Ogos 2002), Tujuh Tahun Yang Lalu (www.pemainbahasa.blogspot.com, 25 Mei 2005), Seni, Puisi dan Manusiawi (Tunas Cipta, Januari 2006), Menulislah, Pasti Anda Akan Berasa Bahagia! (Kertas Kerja untuk Khemah Sastera Negeri Kelantan di Perdana Resort, 2006), Saya Bukan Sufi (Wawancara bersama Mohd Dahri Zakaria dalam www.esastera.com, 2006), Ketika-ketika yang berbeda-beda.... (Sebelum Menjadi Penakut, 2006), ‘Ngembara yang jauh ini... (Sinar Harian, 3 November 2006), Luka Si Kecil yang Sedang Bertapa Jauh di Padang Raja (Teks untuk Pengakuan Penyair di Rumah PENA Kuala Lumpur, 8 Disember 2006), Kau Tidak Pernah Tahu (www.esastera.com, 19 Mac 2007) dan Menggempur sastera dengan al-Quran (Siasah, edisi 17 – 23 Ogos 2008).

Jika dihitung daripada dua karya pertama saya iaitu puisi Patung Tak Bernyawa dan Azan yang disiarkan dalam majalah Al-Fununiah, edisi November 1998 sehinggalah waktu saya menaip rencana ini – ianya sudah genap 10 tahun saya menjadi penulis. Tapi sekiranya dihitung daripada tarikh saya menghasilkan puisi pertama saya berjudul Di Sebuah Gubuk Tua pada bulan April 1998 sehinggalah waktu anda membaca tulisan ini, maka ianya sudah hampir mencecah 11 tahun saya menjadi penulis. Namun, siapalah diri saya jika dibandingkan dengan sekian ramai penulis di negara ini. Ini hanyalah secoret pengalaman kecil yang dapat saya kongsikan bersama.

Dalam masa kira-kira sepuluh tahun ini – setelah menghasilkan beratus-ratus buah tulisan dalam pelbagai genre termasuk cerpen, puisi, rencana dalam pelbagai bidang, syair, pantun, wawancara, berita, lirik lagu nasyid, skrip teater, komentar dan catatan kembara – saya sebenarnya dapat belajar banyak perkara. Terlalu banyak. Saya pun sudah semakin berkira-kira dalam menggunakan setiap perkataan untuk sesebuah karya. Setiap patah yang mahu ditulis sudah begitu diambil kira. Setiap ayat yang dicipta, dimurnikan dengan sebaik-baiknya. Setiap tulisan yang dihasilkan, berkali-kali pula disemak dan dipertimbangkan isi serta gaya penulisannya. Saya belajar bahawa sememangnya menjadi penulis itu bukan kerja main-main atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sekarang, jika ada yang bertanya apa yang seronoknya menjadi penulis. Maka tiada lain jawapan saya – kita akan rasa sangat bahagia bila mengetahui tulisan kita dibaca, kemudian dihargai pula. Gembiranya saya bila ada yang mengirim SMS memberitahu dia membaca tulisan saya. Lebih gembira lagi apabila dia ikut memberi komentar sekali, tulisan kita itu begitu dan begini.

Terlalu banyak kenangan yang manis selama menjadi penulis. Ada yang menitis air mata membaca catatan proses kreatif saya dalam buku Pemain Bahasa. Seorang pelajar di Politeknik Arau mengirim SMS tertarik dengan mini cerpen saya Suling Si Alim Kucing (Sinar Harian, 24 Mac 2007). Begitu jugalah dengan seorang guru di Rantau Panjang yang ikut tertarik dengan cerpen yang sama. Cerpen saya yang berlatarkan madrasah dan bercerita tentang al-Quran pernah mendapat reaksi seorang pelajar Darul Quran, Kuala Kubu Baru. Katanya, cerpen saya itu terasa hidup dalam dunia realiti yang sedang dilaluinya.

Seorang pembaca setia yang lain selalu pula menangis membaca tulisan-tulisan saya dan dia mempunyai sebuah fail khusus untuk menyimpan karya-karya saya. Seorang guru di Keningau yang tertarik dengan sebuah puisi saya dalam Pemain Bahasa menyiarkan puisi tersebut dalam buletin sekolahnya. Manakala seorang teman dari Sarawak pernah memberitahu, dia ada menemui buku saya dalam perpustakaan di daerahnya. Malah ada seorang penuntut sebuah kolej di Kota Bharu yang membaca sebuah cerpen saya hampir setiap hari selama bertahun-tahun dan sejak itu juga dia bercita-cita menemui penulisnya.

Yang lebih membuat saya terharu ialah seorang peminat setia dari Terengganu yang katanya ‘fanatik’ dengan tulisan saya. Dia mengakui mengikuti dan membaca hampir semua karya-karya saya serta banyak tulisan saya yang disimpannya. Sampaikan banyak ayat-ayat dalam karya saya yang dia ingat dan dia dapat mengesan pula jika ada penulis lain yang terpengaruh dengan bahasa saya. Ada yang mengaku suka membaca dan menelaah karya-karya saya. Ada juga pembaca setia dari Pasir Mas yang sanggup meredah hujan sehingga 7 kilometer kerana ingin membeli akhbar yang mengandungi cerpen saya. Tidak kurang juga yang selalu mengirim ucapan tahniah apabila melihat karya-karya saya disiarkan dalam mana-mana penerbitan. Terima kasih tidak terhingga daripada saya untuk anda semua yang kekal setia menanti karangan-karangan saya.

Saya masih tetap bahagia dengan apa yang saya lakukan sekarang – mendidik anak-anak di bengkel dan akademi sastera, menerima jemputan sebagai deklamator, menjadi pengacara majlis, mengkaji sejarah bangsa sampai ke daerah-daerah jauh, bersunyi-sunyi membaca di perpustakaan atau berdiam diri di Teratak Seni mengarang serba-serbi. Pejabat saya boleh jadi di mana-mana saja – di tempat menunggu bas, di atas kereta sewa, di satu sudut tersembunyi dalam restoran, di masjid atau madrasah, di mana-mana resort atau chalet, di perpustakaan atau di rumah. Saya akan tetap terus menulis juga untuk anda semua selagi masih diizinkan-Nya.

Menjadi penulis juga, alhamdulillah telah membawa saya berkembara ke serata tempat di seluruh negara. Menjadi panel dialog teater sampai ke Arau. Mendeklamasi puisi sampai ke Kuala Lumpur. Memotivasikan anak-anak sekolah sampai ke Shah Alam. Mendalami seni dan menjadi lebih Islami sampai ke Minden. Menjual tulisan sampai ke Jengka. Mendalami permulaan tamadun Islam sampai ke Muzium Losong. Menggali sejarah sampai ke Tumpat. Menghayati keajaiban ciptaan Tuhan sampai ke Pulau Redang. Memantapkan angkatan penulisan sampai ke Tanjung Piai. Mencari jati diri Melayu sampai ke Johor Bahru. Bertemu penyair sampai ke Ayer Keroh. Belajar menjadi deklamator sampai ke Port Dickson. Berguru dalam seni persembahan sampai ke Cherating. Bertemu sasterawan sampai ke Alor Star. Memantapkan ilmu penulisan kewartawanan hingga ke Perdana Resort. Itu semua tidaklah memberi apa-apa makna jika membuatkan saya angkuh dan sombong sesama manusia. Tetapi kerananya saya dapat mengenali ramai manusia, penulislah yang terutama. Dunia penulisan jugalah yang telah menemukan saya dengan ramai kawan dan teman. Tidak kurang juga yang sangat memahami dan ikut memberi semangat serta kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan. Terima kasih kawan-kawan.

Sebenarnya, semakin luas saya mengembara dalam alam ciptaan-Nya – saya tidak ke mana-mana pun – rupa-rupanya saya hanya semakin jauh dibawa masuk berkelana ke dalam diri sendiri. Lebih banyak tempat saya pergi belajar dan berguru akan mengingatkan diri sendiri betapa ‘tidak pandai’nya saya ini. Dan betapa luasnya ilmu Allah itu. Semakin ramai saya berguru, maka semakin banyaklah yang saya tidak tahu. Dan saya memang akan terus belajar dan berguru tanpa jemu. Menjadi penulis itu adalah belajar mengenal diri sendiri. Sebab itu juga saya selalu mengingatkan diri sendiri dan teman-teman penulis yang lain juga bahawa sebelum menulis kepada orang lain, menulislah terlebih dahulu kepada diri sendiri.

Ayat Allah inilah yang akan selalu saya ulang sebagai ingatan, lebih-lebih lagi kepada diri sendiri yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebencian di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah As-Saff: Ayat 2 & 3) Saya terlalu berharap agar diri yang lemah dan kerdil ini tidak termasuk di kalangan orang-orang seperti yang difirmankan Allah, juga kepada teman-teman penulis yang lain – saya mahu mengingatkan, yang bermaksud, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Surah Al-Baqarah: Ayat 44)

Saya tahu, memilih menjadi penulis sepenuh masa setelah bersusah-payah menghabiskan pengajian selama tiga tahun di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah selalu dianggap kerja yang ‘paling gila’ yang pernah dibuat oleh graduan seperti saya. Saya mencabar diri sendiri dengan bekerja tanpa gaji tetap, tiada akaun KWSP dan tanpa duit pencen. Bagi kebanyakan orang di sekeliling saya dan masyarakat di kampung terutamanya – keluar pagi balik petang itulah baru dipanggil kerja namanya. Kalau yang lain daripada itu, bukan kerjalah bagi mereka. Maka, kepedihan menjadi penulis sepenuh masa sebenarnya tidak dapat saya ungkap dengan kata-kata. Lukanya biarlah saya sendiri yang menanggungnya kerana saya yang berkeras kepala untuk menempuhnya. Bagi memastikan setiap bulan adanya karya saya terbit di mana-mana penerbitan dan bagi meneruskan kelangsungan dalam penulisan, saya mendisiplinkan dan mewajibkan diri mesti mengirim beberapa buah karya ke penerbitan setiap minggu.

Sepuluh tahun sebagai penulis juga, saya turut mempunyai kenangan yang istimewa bersama majalah Tunas Cipta kerana edisi pertama majalah ini pada Jun 2001 telah memuatkan tulisan saya yang berjudul Nostalgia MPR 2000. Manakala kemunculan kembali Tunas Cipta pada Oktober 2008 lalu pun sekali lagi turut memuatkan karya saya iaitu Pantun Sebelum Tidur. Terima kasih Tunas Cipta untuk semua kenangan yang bermakna ini.

Ketika berbicara lama dengan Sasterawan Negara A. Samad Said dalam program Akademi Sastera Siber (AKSES) 2 di Perdana Resort, Kota Bharu pada tahun 2007 yang lalu saya sempat menyuarakan kepada Sasterawan Negara itu hasrat untuk menjadi penulis sepenuh masa yang berjaya seperti dirinya. Lantas Pak Samad memberi beberapa panduan berguna untuk berjaya dan terus kuat sebagai penulis sepenuh masa. Tetapi lain pula reaksi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh ketika saya katakan saya kini menulis sepenuh masa. Saya pula yang ditanya, “Boleh hidup ke?”

Saya tidak pernah marah dan menyesal dengan apa yang saya lalui sekarang kerana saya sendirilah yang memilihnya. Saya tetap percaya dan akan terus percaya, rezeki Allah itu ada di mana-mana. Cuma, kitalah yang perlu terus gigih berusaha. Walaupun saya sedar saya menetap di salah sebuah negeri yang jauh di hujung Malaysia, bukan di Kuala Lumpur. Namun saya yakin kejayaan seseorang penulis itu bukan ditentukan oleh tempat tinggal atau di mana dia berada tetapi apa yang ditulis itulah yang menjadi pengukurnya.

Mengenang kembali selama lebih sepuluh tahun menjadi penulis mengingatkan saya kepada banyak perkara. Saya kembali teringatkan lampu pelita dan jelaga asapnya yang pernah menemani saya yang sedang meniarap menghasilkan karya ketika awal-awal menulis dulu. Saya juga kembali teringatkan mesin taip elektronik jenama Canon yang sudah rosak itu. Dengan mesin taip yang penuh nostalgia itulah saya menyiapkan keseluruhan manuskrip Pemain Bahasa. Saya teringat juga kepada sekian ramai kawan-kawan penulis yang pemurah dan baik hati. Lebih-lebih lagi saya teringatkan sekian ramai guru-guru saya dalam bidang penulisan yang begitu banyak memberi ajaran dan pedoman. Terima kasih sifu sekalian. Saya juga teringatkan diri saya yang pernah beberapa waktu tidak jemu-jemu berulang-alik dari Machang ke Kota Bharu hanya kerana ingin menyelesaikan urusan percetakan buku-buku saya. Saya tahu, saya bakal melalui pengalaman itu lagi kerana saya akan terus menerbitkan buku-buku sendiri di masa hadapan. Malah sampai saya juga pernah membayangkan kalaulah arwah ayah masih ada, tentu saya tidak menjadi penulis agaknya.

Ketika memberitahu sahabat penulis saya, Jimadie – bahawa saya sudah menjelajah hampir ke serata ceruk di Pantai Timur menjual tulisan, dia pelik dan hairan serta bertanya, “Sebenarnya manusia ini cari apa?” Teringat juga saya dengan sahabat penulis saya Nimoiz TY yang mengemukakan soalan yang hampir sama setelah melihat saya menyampaikan puisi dan berlari sambil berjenaka kepada anak-anak peserta di AKSES 3, “Salman, apa yang kau cari?” Sekarang, biarlah saya mengambil peluang untuk menjawabnya, “Saya hanya mahu mencari keredaan-Nya dan kebahagiaan hidup di dunia serta di akhirat sana. Itu saja, yang lain tiada.” Saya akan tetap meneruskan dakwah dengan pena selagi mana terdaya kerana jalan inilah yang Allah telah lorongkan kepada saya agar melaluinya. Andai ditakdirkan satu hari nanti saya gagal sebagai penulis sepenuh masa, jangan khuatir – saya pasti akan beritahu anda semua.

Di hadapan meja tempat saya mengetik papan kekunci komputer setiap hari, saya tampalkan makna serangkai ayat Allah yang bagi saya terlalu menyentuh jiwa dan membuatkan saya berasa sangat bahagia menghayatinya. Saya akan selalu membacanya sebagai penguat untuk saya berjaya sebagai penulis sepenuh masa. Saya juga selalu membacanya ketika hati terasa pedih, luka dan kecewa. Kehebatan dan keajaiban daripada ayat Allah yang mulia inilah yang akan terus memberi kekuatan serta pembakar semangat buat diri saya.

Betapa hebat dan syahdunya alunan merdu ayat Allah ini yang disampaikan oleh qari teragung dunia abad ke-20, Syeikh Mustafa Ismael Al-Mursi. Maknanyalah yang lebih-lebih lagi tidak putus-putus menggetarkan jantung hati saya hingga ke saat ini. Dan saya akan terus juga menghayatinya sampai bila-bila, “...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaq: Ayat 2 & 3)

Tulisan ini sebahagiannya telah disiarkan dalam majalah Tunas Cipta (ruangan Buah Pena Alumni MPR), edisi Februari 2009 dengan judul “Saya belajar bahawa sememangnya menjadi penulis itu bukan kerja main-main atau sekadar melepaskan batuk di tangga.”

1 comment:

Adnie Bahiah said...

TAHNIAH abe me kerana pasakkan syariat di bustan hati dan berjalanlah tanpa henti kerana kamu akan menemui keredhaan ALLAH yang sejati..



~NURUL ADNIE~