Friday, September 04, 2009

Salam ramadan & sedikit catatan


Apabila tulisan saya, Menelaah Nilai Islam dalam Karya Penulis Muda disiarkan dalam majalah Tunas Cipta bulan ini - saya menerima beberapa SMS daripada teman-teman penulis muda yang terkesan setelah membaca esei tersebut, alhamdulillah. Apa lagi yang lebih gembira bagi seorang penulis selain tulisannya dibaca orang dan memberi kesan kepada hati dan jiwa pembacanya? Tulisan itu hanya satu penelaahan kecil yang sempat saya lakukan dengan kudrat yang terdaya.

Masih terlalu banyak karangan-karangan penulis muda yang bagus dan mempunyai nilai Islam yang baik bertaburan dalam pelbagai media penerbitan di Malaysia, namun di pihak saya - itu sajalah yang mampu saya lakukan setakat ini. Untuk menelaah karya-karya bernafas Islam yang lain, biarlah diteruskan oleh penulis yang lain pula. Esei dalam Tunas Cipta itu bolehlah dikatakan lanjutan kepada kertas kerja panjang yang saya bentangkan di Melaka beberapa bulan yang lalu. Awal tahun ini, puisi saya Nuh, bersiap-sedialah dengan perahu besarmu itu! disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP Kuala Lumpur. Kisah Nabi Nuh a.s. yang diceritakan Allah dalam beberapa surah dalam al-Quran itu saya tekuni sungguh-sungguh ketika berada di sebuah pulau jauh.

Penelaahan saya terhadap kisah Nabi Nuh a.s. itu tidak habis di situ, ia kemudiannya membenihkan idea dan ilham yang lain. Lantas saya menukangi cerpen Nuh, Si Tukang Kayu dan Sebuah Perahu yang alhamdulillah, disiarkan dalam majalah Dewan Sastera bulan ini; kalian boleh saja menelaahnya di sana. Seorang teman penulis yang prihatin mengutus SMS mengucap tahniah atas penyiaran cerpen tersebut, yang katanya - cerpen sulung saya dalam Dewan Sastera. Benar, ia satu cita-cita yang sangat lama sebagai seorang penulis muda - iaitu untuk melihat cerpennya disiarkan dalam majalah sastera paling berprestij dalam negara ini, Dewan Sastera. Alhamdulillah juga, dan syukur yang tidak terkira kepada-Nya. Barangkali, inilah rezeki ramadan dan yang paling pasti rezeki ini dari Tuhan - Allah yang Maha Kuasa.


Selagi saya masih sihat sejahtera, fizikal dan akal - saya tidak akan pernah letih untuk terus menulis. Jika di akhirat nanti saya ditanyakan oleh Dia yang Menciptakan Segalanya, paling tidak pun saya akan dapat menjawab, "Saya telah berbuat sesuatu untuk manusia, untuk anak bangsa saya, lebih-lebih lagi untuk Islam yang mulia dan dakwah ini telah saya sampaikan juga walau dengan kudrat kerdil yang saya ada. Demi Allah, saya telah melakukannya!"

Dan kepada anda, selamat membaca dan selamat berpuasa!


Salman Sulaiman
Padang Selising, Machang.
5:39 petang, Jumaat.
4 September 2009.
14 Ramadan 1430 H.

Thursday, August 06, 2009

'Peludah Bahasa' oleh SN A. Samad Said



Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyampaikan puisi Peludah Bahasa semasa program Akademi Sastera Siber (AKSES) 4 di Paloh Inn, Wisma Nordin, Kota Bharu pada pagi Jumaat, 31 Julai 2009 yang lalu. Duduk di sebelah beliau ialah penyair muda, Fahd Razy selaku moderator.


PELUDAH BAHASA


Ketika lahir jeritnya amat mesra––hening suara bayi pertama.

Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.

Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.

Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa––

insan harapan kerdip permata yang bakal bersinar sebagai pendakwah.


Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.

Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.

Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.

Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:

Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.


Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;

pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.

Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;

masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.

Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.


Tapi, kuasa tersangat nikmatnya––darjat dan harta sebuah buana.

Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.

Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.

Terakhir, dengar kisah lupanya––semua dangkal kecuali dirinya.

Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.


Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.

Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.

Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.

Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.

Sangatlah selesa dan bangga––dirinya tulen peludah bahasa.


18––19 Jun, 2009. –A. SAMAD SAID


*Siaran teks penuh puisi Peludah Bahasa dalam blog ini ialah dengan izin Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Wednesday, June 17, 2009

KALAMULLAH SEBAGAI ASAS PENULISAN DAKWAH: SARANAN MENCONTOHI KEBIJAKSANAAN AL-QURAN

Dunia penulisan di tangan penulis muda mutakhir ini memperlihatkan perkembangan yang begitu menarik dalam menghasilkan karya-karya yang bernafas Islam. Kita menyaksikan munculnya ramai penulis yang menghasilkan karya-karya yang mengandungi nilai-nilai dan akhlak Islam atau kita menyebutnya sebagai karya yang bernafas Islam.[1] Jika karya itu dalam bentuk puisi, selalunya ramai yang akan menamakannya dengan karya sufi. Walaupun saya sendiri sebenarnya tidak bersetuju apabila ada karya-karya bernafas Islam dinamakan dengan karya sufi. Ini kerana bukan semua orang berminat dengan karya-karya Islam yang diberi nama karya sufi. Apabila dilabelkan sesebuah karya Islam itu dengan nama karya sufi, ramai yang beranggapan tentu ianya untuk orang-orang sufi dan orang-orang yang berminat dengan aliran sufi sahaja. Bagaimana dengan nasib masyarakat Islam lain yang bukan di aliran sufi dan mereka juga tidak berminat dengan karya-karya sufi? Tentunya mereka awal-awal lagi tidak akan membaca karya-karya yang dilabelkan dengan nama karya sufi kerana mereka menganggap karya berkenaan bukan untuk orang seperti mereka.[2]

Saranan agar mencontohi kesusasteraan al-Quran barangkali kedengaran remeh bagi sesetengah orang atau kedengaran terlalu biasa bagi sebahagian orang. Barangkali juga tidak begitu dipedulikan oleh sebahagian yang lain. Mungkin juga ada yang menganggap saranan untuk kembali kepada al-Quran adalah kerja pendakwah, mufti, pegawai agama, imam, bilal, ustaz dan ustazah sahaja. Atau mungkin juga ada yang menganggap saranan kembali kepada al-Quran adalah datang daripada penulis lapuk yang ketinggalan zaman sahaja. Makalah ini insya-Allah sedikit sebanyak akan dapat menjawab hujah-hujah rapuh yang tidak benar itu.

Keagungan Al-Quran

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Al-Waqi’ah: 77 – 79)

Syeikh Manna’ Khalil al-Qathan dalam Mabahith fi ‘Ulum al-Quran menyebutkan, “Dengan keistimewaannya itulah, al-Quran menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan dalam pelbagai segi kehidupan, sama ada yang berhubungkait dengan masalah kejiwaan, jasmani, sosial, ekonomi mahupun politik, dengan penyelesaian yang penuh bijaksana, kerana ia diturunkan oleh yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. Untuk menjawab setiap masalah yang ada, al-Quran meletakkan dasar-dasar yang dapat dijadikan pedoman oleh manusia yang sesuai dengan segala zaman. Dengan demikian, al-Quran akan selalu sesuai dengan waktu dan tempat. Sebab Islam adalah agama abadi.”

Imam Ibn Taimiyyah menukilkan satu ungkapan yang sangat indah tentang sifat al-Quran dalam karyanya Muqaddimah fi Usul al-Tafsir yang dikutip daripada hadis marfu’ yang dikeluarkan oleh Imam al-Darimi dan Imam al-Tirmizi yang bermaksud, “...keperluan ummah kepada memahami al-Quran amat tinggi kerana ia adalah tali Allah yang kukuh, peringatan yang berhikmah, jalan yang lurus tidak boleh diselewengkan oleh hawa nafsu, tidak dikelirukan oleh pengucapan yang menarik, tidak lapuk (terhapus – pent.) sekalipun banyak al-radd (penentangan), tidak pernah putus keajaiban dalamnya, tidak memberi kenyang (tidak pernah jemu – pent.) ulama yang mengkajinya, sesiapa yang berdalil dengannya dialah yang benar, sesiapa yang beramal dengannya akan memperolehi pahala, sesiapa berhukum dengannya menjadi adil, sesiapa yang menyeru ke jalannya akan diberi petunjuk ke jalan yang lurus, sesiapa yang meninggalkannya dengan angkuh akan dipatahkan oleh Allah, sesiapa yang mencari petunjuk bukan dengannya akan disesatkan oleh Allah.” Menurut Dr. Adnan Zarzur yang menganalisis karya Ibn Taimiyyah tersebut bahawa teks hadis ini adalah elok dan maknanya pula adalah betul.

Kata Sahibus Samahah Datuk Haji Muhammad Noor Ibrahim yang membuat semakan terhadap terjemahan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang dikerjakan oleh Syeikh Abdullah Basmeih, “Jika kita ingin – dan sewajibnya ingin – mengembalikan keadaan zaman gemilang kita yang lampau maka perlulah kita kembali kepada al-Quran, kembali memahami, mengkaji dan seterusnya mengamalkan isi-isi pengajarannya yang mulia dan tinggi tarafnya; dan jalan yang wajar untuk mempelajari maksud kandungan al-Quran ialah memahami makna ayat-ayatnya...”

Saranan ini sepatutnya awal-awal lagi disahut oleh golongan penulis yang diberikan pena oleh Allah untuk berdakwah kepada manusia dengan tulisan. Kepada semua penulis muda Islam yang hidupnya dimestikan berpandu kepada al-Quran dan sunah, perlunya masing-masing bertanya kepada diri sendiri – kenapa dalam kehidupan sebagai seorang Islam kita mengambil al-Quran dan sunah sebagai panduan tetapi melupakannya dalam penulisan? Sepatutnya al-Quran juga dijadikan asas utama dalam penulisan bagi setiap penulis Islam seperti mana dia menjadikan al-Quran itu sebagai asas utama dalam kehidupan.

Soalan yang seterusnya yang perlu ditanya dalam setiap diri penulis Islam ialah kenapa kita tidak menjadikan al-Quran sebagai dasar dan asas penulisan itu sekarang? Kenapa perlu menunggu berumur 60 atau 70 tahun baru ingin kembali kepada Islam, kembali kepada al-Quran dan kembali menghasilkan karya-karya yang bernafas Islam? Kenapa kita tidak menggunakan kebijaksanaan dan kehebatan al-Quran itu ke dalam penulisan kita sekarang, ketika kita baru mula menulis dan masih dipanggil penulis muda ini? Mengapa ketika sudah dipanggil penulis veteran baru ingin menghasilkan karya-karya yang mempunyai nilai Islam?
Allahyarham T. Alias Taib misalnya walaupun tidak pernah disebut sebagai penulis karya yang bernafas Islam namun dalam kumpulan puisinya yang kedua berjudul Seberkas Kunci yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1985 turut menghasilkan beberapa buah puisi yang bernafas Islam. Puisi-puisi tersebut ialah seperti ‘Sebuku Kemenyan’, ‘Maghrib’, ‘Bilal’, ‘Sembahyang’, ‘Tuhanku, ‘Antara Kita’, ‘Tuhanku, kalau Bukan’, ‘Tak Berkata-Mu’, ‘Kepada Allah’ dan beberapa yang lain.

Pupuklah kesedaran untuk menghasilkan karya dengan menggunakan asas Islam yang berpandukan al-Quran dan sunah itu sekarang, tanpa perlu menunggu hari tua atau dalam karya-karya akhir sebagai penulis, baru ingin menghasilkan karya Islami. SN A. Samad Said menyebutkan tentang kesedaran ini dalam tulisan beliau yang berjudul Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah
[3] bahawa penulis yang sudah tua baru menuju kepada agama adalah penulis yang bermasalah. Kesedaran untuk menuju kepada agama itu sepatutnya sudah datang secara berperingkat-peringkat sebelumnya. Dan alangkah eloknya kesedaran itu datang sekarang, ketika kalian (termasuk saya) masih dipanggil penulis muda.

Dalil Kehebatan dan Keistimewaan Al-Quran

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)

“Demi al-Quran yang sangat mulia.” (Surah Qaf: 1)

“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.” (Surah al-Hasyr: ayat 21)

Tujuan dan Kepentingan Al-Quran

Sebagai penulis, yang dianugerahkan akal yang cerdas dan bijaksana oleh Allah, maka sewajarnya keimanan kita semakin bertambah sesudah membaca ayat-ayat Allah di dalam al-Quran. Janganlah kita termasuk dalam golongan orang munafik yang ayat-ayat al-Quran tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka, malah makin menambahkan lagi kekafiran mereka seperti mana yang difirmankan Allah, “Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya sedang mereka berasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.” (Surah al-Taubah: ayat 124 – 125)

Antara ayat-ayat lain yang Allah ceritakan tentang tujuan dan kepentingan al-Quran ialah seperti:

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus; iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.” (Surah al-Syura: ayat 52 – 53)

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan.” (Surah al-Maidah: 48)

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Sad: 29)

“...dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.” (Al-Nahl: 89)

“Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambanya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Furqan: 1)

“Alif laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Allah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 1 – 2)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.” (Surah al-Nahl: 102)

Al-Quran Tidak Membicarakan Hal yang Tidak Penting, Tiada Faedah dan Remeh-temeh

Al-Quran sebagai sebuah kitab agung orang Islam dan panduan yang paling benar kepada umat manusia tidak memperihalkan di dalamnya hal remeh-temeh yang tidak penting dan tidak memberi manfaat kepada umat manusia. Kalaulah al-Quran itu membuang masa berbicara benda-benda remeh yang tidak diperlukan manusia, barangkali ia akan menjadi lebih tebal daripada kitab Musnad Imam Ahmad yang tebalnya mencecah sampai 24 jilid, lebih tebal daripada kitab Al-Imam karya Imam Ibn Daqiq al-‘Ied yang dikatakan sampai mencecah 15 jilid, lebih tebal daripada kitab Fathul Bari karangan Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang mengambil masa 25 tahun untuk disiapkan dan lebih tebal daripada sekian banyak kitab besar yang dikarang oleh para ulama. Namun Al-Quran hanya sekitar 604 muka surat sahaja tetapi ianya telah mencakupi pelbagai disiplin ilmu; daripada ekonomi, politik, sejarah, astronomi, muamalat, kajian samudera, sosiologi, sastera hinggalah kepada ilmu penyiasatan dan undang-undang – daripada ilmu pengurusan rumah tangga hinggalah kepada hal ehwal pemerintahan negara, semuanya ada.

Antara contoh hal yang tidak penting itu ialah seperti apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir, “Apa yang perlu diketahui oleh seorang Muslim ialah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. meletakkan kebenaran bersama dalil-dalilnya. Contoh daripada apa yang tidak ada guna dan tidak ada dalil yang sahih baginya: Perbezaan mereka mengenai “warna anjing yang dimiliki oleh ashab al-kahfi”, “bahagian anggota badan yang dipukul oleh Musa dengan menggunakan daging lembu”, “ukuran besar perahu [Nabi] Nuh dan ia terbuat daripada bentuk kayu yang bagaimana”, “nama kanak-kanak yang dibunuh oleh Khidir”, dan seumpamanya. Perkara-perkara seperti ini tidaklah dapat diketahui melainkan daripada jalan naql, sama ada daripada Rasulullah s.a.w. seperti nama sahabat Musa iaitu Khidir, dan ini adalah kebenarannya dimaklumi adanya.

Manakala, berita yang bukan seperti itu (naql yang sahih, pent.), lebih-lebih lagi jika berita itu datangnya daripada Ahli Kitab – seperti berita-berita yang dibawakan oleh Ka’ab, Wahab, Muhammad bin Ishaq, dan ramai lagi yang mengambil daripada Ahli Kitab, maka berita semacam ini tidak boleh dipercayai dan tidak juga harus dibohongi melainkan jika adanya hujah sebagaimana yang sabit dalam Hadis Nabi s.a.w. yang sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika ada ahli kitab yang memberikan berita kepadamu, maka janganlah kamu mempercayai mereka dan jangan pula kamu bohongi mereka, sebab boleh jadi jika mereka benar padahal kamu tidak mempercayainya. Dan boleh jadi jika mereka berbohong dengan segala kebatilan, tentu kamu mempercayai mereka.” (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dan perawi-perawinya thiqah [dipercayai])

Manakala dalam halaman yang lain ketika membicarakan tentang riwayat Israiliyyat yang tidak diketahui kebenaran dan juga kebohongannya, Imam Ibn Taimiyyah menukilkan lagi, “Kebanyakannya cerita-cerita itu tidak ada manfaat yang dapat diambil mengenai perkara-perkara agama. Oleh sebab itu, ulama-ulama ahli kitab bertikai dalam perkara-perkara seperti ini (agama), manakala para mufassir pun berselisih mengenai riwayat-riwayat berkenaan disebabkan oleh perselisihan sumbernya, seperti perselisihan mereka mengenai nama ashab al-kahfi dan “warna anjing mereka”. Ini termasuklah mengenai jumlah bilangan mereka, terbuat daripada kayu apakah tongkat Nabi Musa, nama-nama burung yang telah dihidupkan oleh Allah bagi Nabi Ibrahim, penentuan anggota badan lembu yang dijadikan pemukul untuk memukul orang-orang yang terbunuh, bentuk pokok yang di sebaliknya Allah berbicara kepada hamba-Nya Nabi Musa, dan seterusnya yang tidak diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran, sebab ia tidak mempunyai faedah bagi mukallaf (yang dibebani perintah dan larangan) dengan menentukan secara terperinci perkara-perkara bukan asas berkenaan, sama ada dalam agama dan dunia mereka.”

Jadi sebagai penulis, apatah lagi penulis yang masih muda dan segar mindanya sepatutnya perlu menulis hanya yang berfaedah untuk agama dan masyarakatnya. Kepada sekalian penulis muda, iktibar daripada kebijaksanaan al-Quran ini – maka tulislah sesuatu yang penting dan bermanfaat sahaja. Elakkanlah daripada menulis dan berbicara sesuatu yang tidak bermanfaat walau hanya mencoret kata-kata dalam ruangan surat pembaca dalam mana-mana majalah atau akhbar. Janganlah mengotorkan karya-karya kalian dengan sesuatu yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada manusia dan membuang masa pula mereka membacanya. Janganlah memalukan diri sendiri dengan hanya menulis sesuatu yang sia-sia. Belajarlah menulis sesuatu yang penting dan berfaedah sahaja.

Gaya Pengulangan Al-Quran

Setelah kita memperkatakan tentang sifat al-Quran yang tidak membicarakan hal-hal yang tidak penting, mungkin ada yang hairan dan berasa pelik apabila menemui ayat-ayat al-Quran yang diulang beberapa kali atau juga berkali-kali di dalam al-Quran. Perulangan yang paling mudah dikesan dan pastinya diketahui umum ialah yang terkandung di dalam surah al-Rahman bagaimana Allah mengulang-ulang kalimah ‘Fabi-ayyi-aa-laaaa-irobbikumaa-tukazzibaaaan’ yang bermaksud, “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan,” sebanyak 30 kali secara selang-seli dengan ayat-ayat yang lain.

Di dalam surah ini Allah bercerita tentang pelbagai nikmat yang ada di atas dunia yang diberikan kepada manusia dan kemudian Allah bercerita sedikit tentang azab seksa api neraka. Dalam surah ini juga kemudiannya Allah menceritakan pelbagai nikmat syurga yang akan diberikan kepada manusia yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya. Maka tidak syak lagi tentang kepentingan ayat yang sengaja diulang itu dan jelaslah kepada kita Allah mempunyai alasan yang kukuh untuk mengulang ayat tersebut sampai 30 kali hanya dalam satu surah yang tidaklah begitu panjang.

Manakala tentang kisah yang terkandung di dalam al-Quran pula, ada yang disebut hanya sekali dan ada juga yang diulang beberapa kali. Misalnya kisah Nabi Nuh a.s. yang disebutkan dalam beberapa surah iaitu dalam surah Nuh serta dalam Saaffaat, al-Mu’minun dan dalam surah Hud. Tentang kisah yang tidak berulang dan diulang-ulang ini, Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin menyebutkan, “Terdapat kisah al-Quran yang disebut sekali sahaja seperti kisah Luqman dan Ashab al-Kahfi. Ada pula kisah yang berulang mengikut keperluan dan maslahah (manfaat). Kisah-kisah ini diulang dalam olahan yang berbeza-beza, ada yang panjang, pendek, keras, lembut dan menerangkan sudut-sudut yang tidak disentuh pada tempat lain. Di antara hikmah pengulangan kisah ini ialah:

1 – Menerangkan betapa pentingnya kisah itu kerana pengulangannya menunjukkan ianya diberi kepentingan.
2 – Menekankan kisah itu supaya kekal dalam sanubari manusia.
3 – Mengambil kira zaman dan keadaan para pendengar. Di dalam surah-surah Mekah, kebiasaannya kisah diolah dengan ringkas dan tegas, berbeza dengan kisah dalam surah-surah Madinah.
4 – Menjelaskan kesusasteraan al-Quran yang dapat menonjolkan kisah-kisah ini dalam dua bentuk yang lain mengikut keadaan.
5 – Menonjolkan ketepatan dan kebenaran al-Quran serta pengesahan bahawa ianya datang daripada Allah Ta‘ala apabila kisah-kisah ini berulang-ulang tanpa percanggahan.”

Gaya pengulangan ini seperti yang kita semua maklum sudah banyak digunakan oleh para penulis kita dalam karya mereka. Tentu saja yang paling terkenal ialah gaya pengulangan yang digunakan SN Shahnon Ahmad dalan karya-karyanya. Ternyata gaya pengulangan yang dimulakan oleh al-Quran memberikan faedah yang sangat banyak kepada para pembaca jika turut digunakan dalam karya penulisan kita.

Iktibar Daripada Perumpamaan al-Quran

Dalam perumpamaannya, al-Quran juga menggunakan binatang sebagai objek perumpamaan. Sebahagian daripada perumpamaan itu antaranya ialah seperti anjing, lalat, labah-labah dan keldai. Kita perhatikan setiap satu perumpamaan itu:

(1) Dalam surah al-A’raf ayat 175 – 176, Allah membuat perumpamaan dengan anjing. Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanalah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah ia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustaka ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

(2) Dalam surah al-Hajj ayat 73, Allah membuat perumpamaan dengan lalat. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

(3) Dalam surah al-‘Ankabut ayat 41, Allah membuat perumpamaan dengan labah-labah. Firman Allah yang bermaksud, “Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongan) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”

Sebagai contoh, perumpamaan al-Quran ini telah digunakan oleh seorang penulis muda ke dalam puisi beliau. Azman Hussin turut menggunakan perumpamaan labah-labah dalam puisinya yang berjudul Sajak Labah-labah. Perhatikan keseluruhan puisi tersebut:

Hanya belalang,
kupu-kupu,
pepatung,
kelkatu,
lalat,
nyamuk
atau serangga halus lain
yang terjaring pada benang perangkapmu.

Tidak burung gagak
atau kelelawar buta.

Azman yang tidak pernah disebut sebagai penulis karya-karya yang bernafas Islam pun turut menghasilkan puisi berpandukan ayat al-Quran. Beliau juga menulis dua buah puisi lain berjudul Syair Asy Syu’ara dan Penyair yang diasaskan daripada surah Asy-Syu‘ara yang Allah tujukan peringatan kepada para penyair. Dan Azman juga dengan puisi Syair Asy Syu’ara ini menujukan pesanannya kepada intelektual, sasterawan, seniman dan lain-lain.

(4) Dalam surah al-Jumu’ah ayat 5, Allah membuat perumpamaan dengan keldai. Firman Allah yang bermaksud, “(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).”

Contoh Lain Kebijaksanaan Al-Quran

Sekadar satu contoh tambahan daripada sekian banyak kehebatan dan kebijaksanaan al-Quran itu ialah kesimpulan hukum yang dibuat oleh para ulama bagi menetapkan tempoh minima wanita hamil yang merupakan gabungan daripada dua ayat al-Quran. Betapa banyak ilmu yang dapat dikutip di dalam al-Quran dan betapa banyak hukum yang telah diputuskan oleh para ulama menggunakan al-Quran. Dengan menggunakan kecerdasan akal yang dianugerahkan Allah, para ulama Islam telah memutuskan antaranya penentuan tempoh perempuan mengandung ini.

Syeikh Muhammad Shalih dalam syarahnya kepada kitab Al-Hilyah karangan Syeikh Bakr Abu Zaid mencatatkan kaedah penentuan yang ditetapkan daripada dalil al-Quran itu iaitu daripada ayat 15 surah al-Ahqaf dan juga ayat 14 surah Luqman. Dua ayat tersebut bermaksud:

“...sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan...” (Surah al-Ahqaaf: ayat 15)

“...dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun...” (Surah Luqman: ayat 14)

Tiga puluh bulan sama dengan dua tahun enam bulan, jadi untuk mengetahui tempoh hamil sahaja perlulah tempoh 30 bulan dalam ayat pertama itu ditolak dengan tempoh menceraikan susu selama dua tahun dalam ayat kedua, maka akan keluarlah tempoh hamil sahaja. Maka daripada gabungan dua ayat inilah para ulama dapat menyimpulkan hukum-hukum yang berkaitan dengan tempoh hamil kaum wanita.

Inilah antara sebahagian kecil daripada kebijaksanaan al-Quran yang dapat saya kemukakan dalam makalah yang ringkas ini untuk sama-sama kita hayati sebagai langkah awal menyahut saranan kembali kepada al-Quran. Saranan yang sepatutnya sudah lama disambut oleh setiap penulis Islam, penulis yang sejak kecil lagi sudah mengakui dengan yakin bahawa Allah itu Tuhannya – yang tidak ada Tuhan lain selain Dia dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah. Mana mungkin orang yang melafazkan pengakuan ini menolak al-Quran dan sunah sebagai panduan dalam semua aspek kehidupannya termasuklah juga dalam aspek penulisan. Ini bermakna kewajipan seorang penulis Islam menjadikan al-Quran dan sunah sebagai sumber asas dalam penulisannya adalah sama seperti mana dia wajib berpandukan kepada al-Quran dan sunah dalam kehidupannya. Setelah meneliti keagungan ayat-ayat Allah dalam al-Quran, kita pasti akan menemukan sekian banyak hikmah kebijaksanaan dan juga pelbagai iktibar yang memberi faedah yang sangat besar kepada manusia.

Sekian banyak lagi ilmu, kebijaksanaan, hikmah dan segala macam pengetahuan yang dapat dikutip dan disimpulkan daripada keagungan kalamullah. Penulis adalah golongan yang termasuk dalam kalangan kaum pemikir dan cendekiawan. Maka penulis adalah antara golongan cendekiawan yang bertanggungjawab menyampaikan pesan al-Quran kepada masyarakat. Tegas Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir tentang hal ini, “Para cendekiawan wajib menjelaskan al-Quran kepada manusia sama ada dengan penulisan atau percakapan berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu) hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya.” Penerangan al-Quran kepada manusia merangkumi penerangan lafaz dan maksudnya. Dengan ini, tafsir al-Quran adalah salah satu daripada perkara yang Allah Ta‘ala ambil pengakuan para cendekiawan supaya menjelaskannya.”

Bukankah penulis itu orang yang cerdik, bijak pandai dan intelektual yang sepatutnya menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran – maka, saranan agar kembali kepada al-Quran dan berdakwah dengan menggunakan kebenaran kalamullah itu sepatutnya digalas di bahu setiap penulis Islam lebih-lebih lagi penulis muda.

Sebagai ingatan akhir, sama-samalah kita menghayati penegasan Allah dan ingatan-Nya ini yang bermaksud, “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” (Surah Taha: ayat 123 – 126)

Nota Hujung
[1] Saya menyebutkan nama sebahagian daripada penulis muda dan karya mereka yang bernafas Islam itu dalam tulisan saya berjudul “Menggempur sastera dengan al-Quran” dalam Siasah, edisi 17 – 23 Ogos 2008.
[2] Jawapan saya lebih lanjut tentang karya tulis bernafas Islam ini, sila rujuk wawancara oleh Mohd Dahri Zakaria berjudul “Saya Bukan Sufi” dalam www.esastera.com/profil, 2006.
[3] Tulisan SN A. Samad Said tersebut disiarkan dalam dua siri iaitu “Sasterawan Negara perlu jadi pelopor jujur: Idealisme anak seni” dalam Mingguan Malaysia, 19 Mac 2000 dan sambungannya berjudul “Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah” dalam Utusan Malaysia, 22 Mac 2000.

Rujukan

A. Samad Said. 2000. Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah. Utusan
Malaysia. 22 Mac.
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an.
Kuala Lumpur: DARULFIKIR.
Al-Qathan, Manna’ Khalil. 2006. Cara Mudah Memahami Al-Quran (
Mabahith fi ‘Ulum
al-Quran
). Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa.
Al-‘Utsaimin, Muhammad bin Shalih. 2005.
Pengenalan Ringkas kepada Ilmu Ushul Al-
Tafsir
(Al-Ushul fi al-Tafsir). Sunt. Hafiz Firdaus Abdullah. Johor Bahru: Perniagaan
Jahabersa.
____________. 2005. Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu (
Syarh Hilyah Thaalibil
‘Ilmi
). Jakarta: Pustaka Imam Asy-Syafi’i.
Azman Hussin. 2001. Candu. Pasir Puteh: Pustaka Pemikir.
Ibn Taimiyyah, Abu ‘Abbas Taqiy al-Din Ahmad ibn ‘Abd al-Halim ibn ‘Abd al-Salam
al-Harrani. 2005. Pengantar Kepada Usul al-Tafsir (Muqaddimah fi Usul al-Tafsir).
Sunt. Adnan Zarzur. Petaling Jaya: Intel MULTIMEDIA PUBLICATION.
T. Alias Taib. 1985. Seberkas Kunci. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


*Kertas kerja ini telah dibentangkan semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 22 - 24 Mei 2009 yang lalu.

Saturday, June 06, 2009

Dato' Seri, jika PPSMI diteruskan, BN akan kalah!


"Dato' Seri, jika PPSMI diteruskan, BN akan kalah!" kata-kata ini pernah disampaikan oleh rombongan GAPENA yang pernah menemui PM bagi membantah perlaksanaan PPSMI. Ini seperti mana yang diberitahu oleh Prof. Dato' Dr. Abdul Latiff Abu Bakar kepada para penulis muda Malaysia ketika merasmikan penutupan Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (PPMN) 2009 di Melaka baru-baru ini.

Perhimpunan penulis muda yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu sebulat suara menolak perlaksanaan PPSMI ini dalam resolusi yang disampaikan dalam majlis penutup perhimpunan tersebut. Tentang ini juga, boleh dibaca lanjut dalam tulisan H Fansuri yang turut menjadi pembentang di PPMN 2009 di Harakahdaily.net berjudul Himpunan penulis muda bantah keras PPSMI.

Hingga kini, kata-kata yang disampaikan oleh Dr. Latiff itu masih jelas terngiang-ngiang di telinga saya, "Dato' Seri, jika PPSMI diteruskan, BN akan kalah!" Dan ia akan terus terngiang-ngiang hinggalah PRU-13 pada tahun 2012 atau 2013 nanti.

Salman Sulaiman
MS Computer Centre,
Machang, Kelantan.
6 Jun 2009, Sabtu.

Thursday, May 21, 2009

Ayuh, penulis muda Malaysia kita berkampung di Melaka!

Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009

Kepada semua penulis muda malaysia yang berumur bawah 40 tahun, penyertaan masih dibuka sehingga 10 Mei ini kepada sesiapa yang berminat menyertai PPMN 2009.

Tempat : Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka.

Tarikh : 22 (Jumaat) hingga 24 (Ahad) Mei 2009 selama 3 hari 2 malam.

Syarat penyertaan : Penulis muda atau penulis baharu yang sudah lama menulis atau baru menulis dan BENAR-BENAR BERMINAT ingin menjadi penulis.

Yuran Penyertaan : RM 30 seorang, termasuk makan minum dan penginapan yang disediakan penganjur.

Pengangkutan tidak disediakan. Semuanya adalah atas urusan dan tanggungan peserta sendiri.

Antara Para Pembentang Kertas Kerja :

Rahimidin Zahari, Mawar Shafei, Zaid Akhtar, Muhammad Lutfi Ishak, Awang Azman Awang Pawi, Salman Sulaiman, Aqil Fithri, Zulkifli Khair, Fadhli al-Akiti, Wan Fhysal dan ramai lagi.

Daftar masuk peserta di Puteri Resort pada hari pertama, 22 Mei 2009 (Jumaat) dibuka hingga selewat-lewatnya jam 12 tengah hari. Sesi pertama pembentangan kertas kerja pada 22 Mei, Jumaat – bermula jam 3 petang oleh Muhammad Lutfi Ishak, Salman Sulaiman dan Zulkifli Khair. Harap maklum.

Dijangkakan kira-kira 200 orang penulis muda akan berkampung di sana nanti.

Untuk penyertaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

(1) Wan Zaida – 013-6915266, nuhamelissa@yahoo.com

(2) Saifullizan Yahya – 016-3018645, saif@dbp.gov.my

(3) Muhammad Lutfi Ishak – 013-2650876, lutfi_ishak@yahoo.com atau

(4) PENA di talian 603-2142 5824


*Kalau ada sesiapa yang berminat untuk membeli buku-buku saya, boleh pesan melalui SMS & saya akan bawakan semasa PPMN 2009 nanti!
**
Tarikh pada paparan blog adalah tidak betul, ianya untuk tujuan iklan. Sila lihat di bawah untuk kemaskini terbaru Salman yang lain sebelum 22 Mei 2009.

Ayuh, penulis muda Malaysia kita berkampung di Melaka!

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009

Kepada semua penulis muda malaysia yang berumur bawah 40 tahun, penyertaan masih dibuka sehingga 10 mei ini kepada sesiapa yang berminat menyertai PPMN 2009.

Tempat : Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka.

Tarikh : 22 (Jumaat) hingga 24 (Ahad) Mei 2009 selama 3 hari 2 malam.

Syarat penyertaan : Penulis muda atau penulis baharu yang sudah lama menulis atau baru menulis dan BENAR-BENAR BERMINAT ingin menjadi penulis.

Yuran Penyertaan : RM 30 seorang, termasuk makan minum dan penginapan yang disediakan penganjur.

Pengangkutan tidak disediakan. Semuanya adalah atas urusan dan tanggungan peserta sendiri.

Antara Para Pembentang Kertas Kerja :

Rahimidin Zahari, Mawar Shafei, Zaid Akhtar, Muhammad Lutfi Ishak, Awang Azman Awang Pawi, Salman Sulaiman, Aqil Fithri, Zulkifli Khir, Fadhli al-Akiti, Wan Fhysal dan ramai lagi.

Daftar masuk peserta di Puteri Resort pada hari pertama, 22 Mei 2009 (Jumaat) dibuka hingga selewat-lewatnya jam 12 tengah hari. Sesi pertama pembentangan kertas kerja pada 22 Mei, Jumaat – bermula jam 3 petang oleh Muhammad Lutfi Ishak, Salman Sulaiman dan Zulkifli Khir. Harap maklum.

Dijangkakan kira-kira 200 orang penulis muda akan berkampung di sana nanti.

Untuk penyertaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

(1) Wan Zaida – 013-6915266, nuhamelissa@yahoo.com

(2) Saifullizan Yahya – 016-3018645, saif@dbp.gov.my

(3) Muhammad Lutfi Ishak – 013-2650876, lutfi_ishak@yahoo.com atau

(4) PENA di talian 603-2142 5824

* Tarikh pada paparan blog adalah tidak betul, ianya untuk tujuan iklan. Sila lihat di bawah untuk kemaskini terbaru Salman yang lain sebelum 22 Mei 2009.

Thursday, April 30, 2009

Mengenang tiga tahun pemergian Pram


Ketika masih di sekolah menengah, sebetulnya dalam tingkatan enam atas ketika itu – seorang teman akrab bercerita berkenaan dengan guru yang mengajar kelas tambahannya yang berkisah kepada pelajar kelasnya tentang Pram. Sayangnya guru itu tidak mengajar kelas saya. Antara yang masih saya ingat kira-kira begini: ‘Guru itu bercerita tentang minatnya yang mendalam terhadap karya-karya Pram. Seingat saya, katanya ketika itu dia sudah memiliki sembilan buah buku hasil karya Pram. Dia sangat suka dengan bahasa Pram yang menurutnya tepat dan tajam’. Begitulah Pram, dikagumi oleh ramai orang. Bertahun-tahun saya mencari karya Pram hinggalah saya akhirnya menemuinya di Kuala Lumpur pada tahun 2001, di Pustaka Indonesia di Jalan Masjid India sebetulnya. Masih segar juga dalam ingatan saya, jika ke Kota Bharu saya akan mencari-cari kalau-kalau ada nama Pramoedya Ananta Toer pada kulit buku yang dijual dan kalau ada teman yang mahu ke Kota Bharu pun saya pesankan supaya melihat jika ada buku yang nama pengarangnya ‘Pramoedya Ananta Toer’ hinggakan saya menulis tiga perkataan yang unik itu di atas kertas agar sahabat itu mudah mengingat dan senang mencarinya. Ternyata karangan-karangan Pram tidak pernah ada di Kota Bharu. Begitulah setakat yang saya tahu.

Dari saat mengenal Pram melalui bahan-bahan yang saya baca di perpustakaan sekolah, saya jadi sangat rindu untuk menelaah memoirnya yang selalu disebut-sebut, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu. Saya hanya menemuinya hampir setengah dekad kemudian ketika mula menyambung pengajian di kampus Pulau Mutiara. Nyanyi Sunyi Seorang Bisu hanya ada senaskhah saja yang saya jumpa di perpustakaan kampus yang memuatkan ratusan ribu buah buku itu dan orang yang berkali-kali meminjamnya pula adalah saya. Sekarang, ketika sudah genap tiga tahun meninggalkan Pulau Mutiara saya kembali merindukan naskhah catatan Pram selama menjadi tahanan di Pulau Buru itu. Menyesal pula rasanya kerana tidak fotokopi saja buku itu untuk simpanan peribadi.

Pram pernah memberikan nasihat yang panjang kepada anak-anak remaja negaranya. Kepada perawan remaja bangsanya Pram menuturkan tentang kepedihan di zaman pendudukan Jepun yang sempat dilaluinya dalam Perawan Remaja dalam Cengkeraman Militer, “Begitu juga halnya dengan para perawan remaja di masa pendudukan Jepang, Maret 1942-Agustus 1945. Bila ada perbedaan dengan kalian adalah dalam syarat kehidupan. Di masa itu hidup memang serba susah. Sandang dan pangan merupakan sumber cerita yang terasa tiada ‘kan habis-habisnya. Untuk dapat makan sepiring nasi dalam sehari, jalan yang harus ditempuh sangat panjang dan berliku. Setiap hari orang bergelimpangan mati kelaparan di pinggir jalan, di pasar, di bawah jembatan. Di desa-desa petani tidak berhak atas panen. Mereka malah terkena kerjapaksa di luar desanya. Lebih tiga perempat juta di antaranya tidak pernah bisa kembali kepada keluarganya karena tewas di rantau, di daratan dan kepulauan Asia Tenggara. Para pelajar di kota-kota hampir tidak sempat belajar di sekolah masing-masing.”

Pada tahun 1952 dalam eseinya yang berjudul Kesusastraan dan Perjuangan; dengan bahasa yang tegas, tajam dan berani Pram menulis, “Buat di Indonesia sendiri kesusastraan yang baru kemarin dilahirkan tentu saja belum dapat diharapkan seperti di negara-negara lain perjuangan kesusastraannya. Hasil kesusastraan yang sesungguhnya adalah berisikan nafas perjuangan sekalipun macamnya perjuangan itu sangat berlain-lainan. Dengan tiada ini ia hanya merupakan sebuah buku yang berisi tulisan tentang sesuatu yang bergerak dalam kematiannya. Perjuangan nasional memang sudah banyak digambarkan oleh angkatan Pujangga Baru. Juga setelah senjata di Indonesia berhenti berondongan tulisan-tulisan yang demikian banyak timbul. Sayangnya tulisan-tulisan itu boleh dikata baru merupakan teriak kesakitan seorang yang kena bisul di pantatnya. Hidup yang besar, yang bergerak, yang berjuang, yang berkelahi belum tampak. Malah Surabaya Idrus masih macet pada peristiwa yang terasa mekanis, kehilangan hidup itu sendiri, sekalipun sebagai hasil sastra ia jadi pembuka jalan bagi prosa modern dalam kesusastraan Indonesia dewasa ini.”

Menyebut Pram mengembalikan ingatan kita tentang Hadiah Nobel Sastera yang dia menjadi calon paling kerap tersenarai namanya mewakili penulis Nusantara. Kita cemburu melihat permuafakatan gergasi sastera Indonesia yang sepakat dan tidak putus-putus mencalonkan namanya. Kita jadi kecewa mengingatkan nasib sasterawan besar di negara kita yang entah sampai atau tidak namanya ke tangan panitia penilai Hadiah Nobel. Saya tidak pasti sama ada sampai atau tidak nama SN Shahnon Ahmad dan SN A Samad Said ke tangan panel penilai Hadiah Nobel. Seingat saya, ‘beberapa tahun yang lampau’ mereka berdua pernah disebut-sebut sebagai calon pengarang Malaysia yang akan dihantar namanya kepada panel penilai hadiah sastera yang paling berprestij di dunia itu. Tirulah abang kita Indonesia, bagaimana sepakatnya mereka menghantar nama Pram sebagai calon penerima Hadiah Nobel. Kita masih ada masa untuk berbuat demikian. Kalau masih terhegeh-hegeh juga, nanti Pak Samad dan Cikgu Shahnon pun akan pergi meninggalkan kita sebagaimana Pram!

Saya juga sebenarnya terfikir, kalaulah Hadiah Nobel itu bukan diberikan oleh kerajaan Sweden tetapi diselenggarakan oleh negara Amerika Syarikat sudah lama Pram menggondolnya kerana dia berkali-kali dipuji di sana. Lihat saja misalnya pujian kepadanya dalam USA Today, “Penulis ini berada sejauh separoh dunia dari kita, namun seni-budaya dan rasa kemanusiaannya sedemikian anggunnya menyebabkan kita langsung merasa seakan sudah lama mengenalnya – dan dia pun sudah mengenal kita – sepanjang usia kita.” Dan pujian The Los Angeles Times juga tidak kurang hebatnya, berbunyi begini, “Menukik dalam, lancar penuh makna dan menggairahkan seperti James Baldwin.... segar, cerdas, kelabu dan gelap seperti Dashiell Hammett.... Pramoedya adalah seorang novelis yang harus mendapat giliran menerima Hadiah Nobel.”

Berbicara tentang Pram juga mengingatkan saya kepada satu wawancara eksklusif yang pernah dibuat pihak RTM dengan Pram dan pernah disiarkan secara bersambung sebanyak dua siri, kalau tidak salah ingatan saya di tahun 2005. Sayangnya saya hanya sempat menontonnya separuh sahaja kerana al-maklumlah tinggal di asrama kampus yang hanya menyediakan tiga buah televisyen dengan muatan pelajar kira-kira seratus orang atau lebih sedikit. Dalam wawancara panjang itu, kata-kata Pram yang saya ingat hanya satu dan kurang lebihnya dia menyebut dengan sangat berani, “Indonesia sekarang sedang dalam proses membusuk.” Andai kata ada petugas di RTM atau orang-orang yang bekerja di pejabat Dato’ Seri Utama Rais Yatim membaca catatan ini, saya harap sangat – sempena genap tiga tahun kematian Pram hari ini, pohon agar disiarkan semula wawancara eksklusif itu!

Teringat juga terhadap dua orang teman penulis muda senior yang telah dikirim ke Bogor oleh pihak DBP Kuala Lumpur bagi menekuni dunia penulisan – Rozais al-Anamy dan Zanazanzaly. Saya pernah menyuarakan kepada mereka, seingat saya; alanglah bagusnya jika peserta Bengkel Penulisan MASTERA dibawa berjalan ke rumah Pak Pram yang juga di Bogor. Tapi sayang, sekarang peluang itu sudah tidak ada. Pram sudah mati.

Entahlah, sehari dua ini kerana terlalu asyik membaca dan menulis tentang Pram – saya seperti terbayang-bayang kelibatnya sedang menekan mesin ketiknya dengan puntung rokok yang berasap di bibir menghasilkan karya tulis yang akhirnya dikenang di kemudian hari, teringat-ingat Pram ketika masih di umur belasan yang melecet kakinya saat pertama kali mengenakan sepatu dalam perjalanan ke Sekolah Teknik Radio di kota Surabaya dan selalu ternampak dirinya yang berkain pelekat sedang tekun menelinga soalan wartawan.

Untuk dirinya sendiri dia sebenarnya telah menang sebagai pengarang walaupun Hadiah Nobel Sastera tidak ditakdirkan menjadi miliknya. Pram akan terus menang di jiwa kita sebagai warga Nusantara dan dia sendiri pun telah sekian lama berjaya memenangi hati kita dengan sekian banyak karya tulisnya. Kita sebenarnya sangat bertuah memilikinya. Sebagai pengarang dan sebagai manusia yang telah dirampas hak-hak kemanusiaannya, Pram telah pun melawan sehabis daya dengan pena dan tulisan hinggalah ke akhir hayatnya. Seperti katanya dalam baris akhir karya agungnya Bumi Manusia, “Kita telah melawan, Nak, Nyo, sebaik-baiknya, sehormat-hormatnya,” dan saya merasakan Minke itu sebenarnya adalah Pram.


Teratak Seni, Machang.

30 April 2009 (Khamis)

Tuesday, April 07, 2009

Merindukan Muhammad



Puisi Merindukan Muhammad disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia, 23 Mac 2008.

Tuesday, January 06, 2009

Kau juga akan makan penampar tawarku kalau gatal-gatal mulut tuduh aku penganggur!


Senarai Tulisan Salman Sulaiman yang Disiarkan untuk Tahun 2008


1 – Surat kepada editor Himpunkan Tulisan SN dalam Dewan Sastera dalam Dewan Sastera, Januari 2008.

2 – Ulasan teater Mengenang Tokoh dalam Seberkas Kunci Buat Hartini dalam Dewan Budaya, Januari 2008.

3 – Puisi Hijrah Bersama Rasulullah dalam Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008 (Ahad).

4 – Wawancara bersama Abdullah Fahmi (Juara AQ TV9), Tidak rugi menjadi Hafiz – Abdullah Fahmi dalam Mingguan Wasilah, bil. 44, edisi 13 – 19 Januari 2008.

5 – Rencana agama Banjir: Bala atau ujian Allah? dalam Mingguan Wasilah, bil. 44, edisi 13 -19 Januari 2008.

6 – Cerpen Muhasabah di Tangga Madrasah dalam e@siswa, edisi 12, Februari 2008.

7 – Puisi Ibu Memang Tidak Pandai Berbahasa dalam Dewan Bahasa, Februari 2008.

8 – Cerpen Bukan Sekadar Bahasa Cinta dalam Pelita Bahasa, Mac 2008.

9 – Cerpen Batu-batu di jalanan dalam Mingguan Malaysia, 9 Mac 2008 (Ahad).

10 – Rencana agama Jauhi daripada penyakit waswas dalam Fajar Islam, bil. 2, edisi 17 Mac 2008 (Isnin).

11 – Puisi Merindukan Muhammad dalam Mingguan Malaysia, 23 Mac 2008 (Ahad).

12 – Rencana ulasan buku Menelusuri Kehidupan Seorang Seniman Sejati dalam Dewan Budaya, April 2008.

13 – Puisi Seorang Seniman di Belakang Dalang dalam PENTAS (terbitan Istana Budaya), April – Mei 2008.

14 – Rencana agama Beban dan amanah sebagai pemerintah dalam Siasah, bil. 0092, edisi 6 – 12 April 2008.

15 – Cerpen Muhasabah di Tangga Madrasah (2) dalam Jendela Timur, April 2008.

16 – Cerpen Selalu Kuingat Pesan Ayah dalam Mingguan Wasilah, bil. 56, edisi 13 – 19 April 2008.

17 – Rencana seni Kurang ajarnya iklan tv kita dalam Siasah, bil. 0093, edisi 13 – 19 April 2008.

18 – Rencana sastera Kebun puisi Rahimidin dalam Mingguan Malaysia, 13 April 2008 (Ahad).

19 – Rencana seni Kenapa artis yang menjadi ikutan anak muda dalam Siasah, bil. 0094, edisi 20 – 26 April 2008.

20 – Puisi Sajak Kepada Pak Samad dalam Mingguan Malaysia, 27 April 2008 (Ahad).

21 – Puisi Lelaki di Bawah Pohon Cinta dalam Dewan Sastera (Sisipan Tunas Cipta), Mei 2008.

22 – Rencana ulasan filem Yang Haram dalam Anak Halal dalam Dewan Budaya, Mei 2008.

23 – Rencana seni Had berhibur dalam Islam dalam Siasah, bil. 0096, edisi 4 – 10 Mei 2008.

24 – Puisi Rasulullah dalam majalah i, Mei 2008.

25 – Puisi Allah! dalam Mingguan Malaysia, 1 Jun 2008 (Ahad).

26 – Cerpen Sepotong Cinta dalam Lipatan Hati dalam Dewan Sastera (Sisipan Tunas Cipta), Jun 2008.

27 – Rencana bahasa Estetika Bahasa Al-Quran dalam Dewan Bahasa, Jun 2008.

28 – Rencana seni Jibek & Nomi: Sebuah kasih manusiawi yang menyentuh hati dalam Mingguan Wasilah, bil. 65, edisi 15 – 21 Jun 2008.

29 – Puisi Di Pantai Bahasa dalam Pelita Bahasa, Jun 2008.

30 – Rencana ulasan buku Tertusuk Kita Dengan Tikaman Madah Anbakri dalam Mingguan Wasilah, bil. 67, edisi 29 Jun – 5 Julai 2008.

31 – Puisi Menghitung Diri dan Hati dalam Mingguan Malaysia, 6 Julai 2008 (Ahad).

32 – Rencana sastera Merindui Multatuli dalam Siasah, bil. 0105, edisi 6 – 12 Julai 2008.

33 – Puisi Kubentangkan Padamu Selembar Sejarah dalam Al-Fikrah, bil. 11, edisi Julai – September 2008.

34 – Puisi Nuh, Bersiap Sedialah dengan Perahu Besarmu Itu! dalam ruangan ‘Puisi bulan ini’ majalah Dewan Sastera, Ogos 2008.

35 – Rencana agama Akidah Islam benteng khurafat dalam Siasah, bil. 0109, edisi 3 – 9 Ogos 2008.

36 – Rencana politik Menilai pemimpin ketika rakyat disuruh berjimat dalam Siasah, bil. 0110, edisi 10 – 16 Ogos 2008.

37 – Rencana sastera Menggempur sastera dengan al-Quran dalam Siasah, bil. 0111, edisi 17 – 23 Ogos 2008.

38 – Rencana seni Keruntuhan akhlak artis dan iklan negatif dalam Siasah, bil. 0112, edisi 24 – 30 Ogos 2008.

39 – Rencana ulasan buku Hadis yang Mengancam Agama dalam Dewan Budaya, September 2008.

40 – Rencana ulasan buku Kelemahan Riwayat Tarawih 20 Rakaat dalam Siasah, bil. 0114, edisi 7 – 13 September 2008.

41 – Puisi Aku Menjadi Rindu... dalam Al-Islam, Oktober 2008.

42 – Pantun Sebelum Tidur dalam Tunas Cipta, Oktober 2008.

43 – Rencana ulasan album Menghilir Sungai Menyulam Seni Leluhur dalam Dewan Budaya, Oktober 2008.

44 – Surat pembaca tentang buku elektronik (e-book) dalam ruangan E-Mel & Anda, Berita Harian, 30 Oktober 2008 (Khamis).

45 – Puisi Merindukan Peribadi Seorang Nabi dalam Dewan Masyarakat, November 2008.

46 – Puisi Aku Sedang Mencuba dan Belajar dalam i, November 2008.

47 – Rencana sastera Sastera internet: Masih ada harapankah penulis muda (baru) Malaysia? dalam Siasah, bil. 0121, edisi 2 – 8 November 2008.

48 – Puisi Saat Berdua di Dalam Gua dalam Jendela Timur, bil. 23, Ogos 2008.

49 – Rencana Profil Seniman Maizul Affendy Baharudin: Mengenal Diri Sebagai Anak Seni dalam Dewan Budaya, November 2008.

50 – Puisi Kembali Merindukan Suara Anak-anak Mengaji dalam Mingguan Malaysia, 16 November 2008 (Ahad).

51 – Cerpen Jika kamu mahu kata ini pun cerpen, suka hati kamulah! dalam Mingguan Wasilah, bil. 87, edisi 23 – 29 November 2008.

52 – Rencana ulasan buku Hadis-hadis terpilih dalam Warisan Peninggalan Nabi dalam Siasah, bil. 0125, edisi 30 November – 6 Disember 2008.


Jutaan terima kasih saya buat yang setia membaca dan tidak pernah jemu-jemu menelaah tulisan-tulisan saya. Kesetiaan anda sungguh-sungguh saya hargai. Moga-moga dokumentasi kecil ini bakal bermanfaat buat anda semua. Inilah saja tulisan saya yang terbit untuk tahun 2008 lalu. Dan, ada sekian banyak lagi yang tidak disiarkan - yang tidak perlulah saya catatkan di sini kerana ia hanya akan buat menambah pedih dan luka di jiwa. Selamat terus menulis buat semua penulis & teruslah kekal menelaah buat yang masih tetap setia!


Salman Sulaiman
CC Cahaya, Kg. Padang Selising,
Machang, Kelantan Darul Naim.
10.21 malam, 6 Januari 2009 (Selasa)

Wednesday, December 10, 2008

Banjir di Teratak Seni



[Ini merupakan rakaman banjir di hadapan Teratak Seni pada 29 November (Sabtu) lalu]

Monday, November 17, 2008

Kalau dengar Tam Spider ni, memang kantoi aku ni

"Ustaz, saya pinjamkan rakaman ini ya, yang nampaknya sudah menjadi kepunyaan sekian ramai peminat Ustaz. Sehingga hari ini, sudah 143 704 orang yang menontonnya termasuk saya."

Sekali-sekala, hilangkanlah tension anda seketika dengan lagu ini. Lagu yang paling saya suka sehari dua ini, dendangan Ustaz Akil Hayy - melodinya ialah adaptasi daripada sebuah lagu popular yang pernah menjadi siulan anak muda. Mat rempit pun nampaknya semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Nak kena sumpit juga si mat rempit ini nampaknya.

Salman Sulaiman
Akidjaya, Machang.
5.56 petang, 17 Nov. 2008 (Isnin).

Saturday, October 04, 2008

Allah!

[Salman Sulaiman mendeklamasikan puisi ‘Allah!’ pada majlis Temu Puisi Aidilfitri 2008 anjuran Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) & Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan di Gelanggang Seni, Kota Bharu pada 3 Oktober 2008 bersamaan 3 Syawal 1429 H. Majlis bermula sekitar jam 9 malam.]

“...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Talaq: Ayat 2 & 3)

Allah, Allah, Allah, Allah ya Allah, Allah ya Allah...

ALLAH!


Menjejak tahun dua puluh lapan ini
benar, kuakui dan aku yakini Rabbi
sudah terlalu banyak yang Kau beri
sejuta nikmat-Mu kusyukuri
cukuplah aku menjadi
diriku yang ini.

Allah!


– Salman Sulaiman
Sudara Beach Resort,
Bachok, Kelantan.
(Mingguan Malaysia, 1 Jun 2008)

Akidjaya, Machang.
4.56 petang, 4 Syawal 1429 H.

Wednesday, September 17, 2008

"...bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran..."

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

– Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk dan direjam –

– Dengan nama Allah, Yan g Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani –

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benag hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: Ayat 183 – 187)

Ramadan yang mulia dan terlalu menyentuh hati ini, cukuplah kiranya saya tinggalkan anda semua dengan kalimah agung dari kitab Allah yang mulia yang disampaikan oleh qari terbaik dunia abad ke-20 - Syeikh Mustafa Ismael Al-Mursi. Saya terlalu berharap moga-moga Allah meredai saya dengan kebesaran rahmat-Nya di dunia dan di akhirat, juga meredai anda semua juga.

Salman Sulaiman
Akidjaya, Machang.
5.59 petang, 17 Ramadan 1429 H.

Sunday, September 14, 2008

Doa Istikharah


Jabir r.a berkata: Rasulullah s.a.w mengajari kami solat istikharah dalam memutuskan segala sesuatu sebagaimana Baginda mengajari kami al-Quran. Baginda bersabda: Apabila seorang di antara kamu berencana mengerjakan sesuatu hendaklah melakukan solat dua rakaat bukan solat fardu. Kemudian membaca doa ini:

Allaahhummainnii astakhiirukabi‘ilmik, wa-astaqdirukabiqudrotik, wa-as-alukamin fadlikal-azim, fa-innakataqdiruwala-aqdir, wata’lamuwala-a’lam, wa-anta‘allaamulghuyuub. Allaahhuma inkuntata’lamu-annahazal-amr – (watusammiihibi-ismih) – khoirollii fii dii nii wama‘aa-shii wa-‘aaqibati-amrii, wa-‘aajilihiwa-aajilih. Faqdurhulii wayassirhulii, summabaa-rikliifiih, wa-inkuntata’lamu-annahu-sharrullii fii dii nii wama-‘aa-shii wa-‘aaqibati-amrii, wa-‘aajilihi-wa-aajilih, fasrifhu-‘annii fasrifnii-anh waqdurliyalkhoiro hai-sukaana-summaroddinii-bih.

Maksudnya: (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pilihan yang tepat kepada-Mu dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan kepada-Mu dengan kemahakuasaan-Mu, aku memohon kurnia-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sementara aku tidak kuasa. Engkau Maha Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahawa perkara ini – (dan menyebutkan perkaranya) – baik bagiku, bagi agamaku, bagi hidupku dan baik akibatnya terhadap diriku di dunia maupun akhirat, maka tetapkanlah dan mudahkanlah bagiku. Dan berikanlah barokah untukku di dalamnya. Dan sesungguhnya jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku, bagi agamaku, bagi hidupku dan buruk akibatnya terhadap diriku di dunia maupun di akhirat, maka jauhkanlah perkara ini dariku dan jauhkan diriku darinya. Tetapkanlah kebaikan untukku di mana saja aku berada, kemudian jadikanlah diriku reda menerimanya.)

(Hadis sahih, riwayat Imam Al-Bukhari)

(Sumber: Kumpulan Do’a dan Dzikir Nabawi [Kalimut Toyyib] karangan Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah [Tahqiq (analisa): Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani], halaman 119 – 121, Jakarta: Dar El-Hujjah, 2001)



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
11.52 malam, 14 Ramadan 1429 H.

Sunday, September 07, 2008

Sebuah Deklamasi Terbalik di Tepi Pantai yang Cantik

Beberapa bulan yang lalu, ketika mengasuh anak-anak sastera di Sudara Beach Resort, Bachok saya sempat mendeklamasikan puisi ini buat mereka di tepi pantai Telong yang cantik. Seorang anak peserta turut membawa himpunan tulisannya bersama-sama, kebetulan saya menemukan puisi Marsum Ralat Daripada Al-Aziz karangan Nasriah Abdul Salam yang turut disiarkan bersama puisi anak tadi. Saya kira puisi itu sesuai untuk saya deklamasikan kepada anak-anak kumpulan saya yang sembilan orang itu, kerana Marsum Ralat Daripada Al-Aziz adalah adaptasi daripada kisah Nabi Yusuf a.s. yang termaktub di dalam al-Quran dijadikan sebuah puisi. Ada kemungkinan puisi ini bakal tersangkut untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun depan. Saya sekadar meneka.

Tapi sayang, kedua-dua anak yang merakam deklamasi saya merakam secara terbalik. Maka yang terbalik itulah saja yang tinggal buat anda. Tapi, saya kira yang terbalik itu pun boleh menjadi sejenis seni juga barangkali. Apa pun, hayatilah - sebuah deklamasi terbalik di tepi pantai yang cantik.

Salman Sulaiman, Akidjaya, Machang, 2.02 petang, 7 Ramadan 1429 H.

Sunday, August 31, 2008

Selamat hari merdeka & salam ramadan!


"Kalaulah sebutir peluru yang memamah tubuh Tok Janggut sembilan puluh tiga tahun yang lalu di Kampung Dalam Pupoh dulu tidak dapat melukakan tubuh pendekar Melayu itu, mungkin catatan sejarah tidaklah begitu berdarah. Namun, rohnya seperti masih berlegar di tanah Serambi Mekah melaungkan kalimah Allah. Selamat menyambut hari merdeka!"

"Moga-moga malaikat pencatat amal berkepak ke langit dengan gugusan pahala kita semua ramadan ini. Selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah di bulan mulia!"

Hari ini 31 Ogos, tiba-tiba mengingatkan saya kepada sejarah berdarah bumi Serambi Mekah 93 tahun yang lampau. Notis ini tentunya akan menyegarkan kembali ingatan kita semua kepada sejarah luka yang sudah berlalu hampir seratus tahun itu:

Perwawai Notis

Bahawasanya adalah pada 12 haribulan Mei Duli Yang Maha Mulia Sultan telah titah hendaklah orang yang tersebut namanya di bawah ini menyerahkan dirinya di dalam masa 7 hari lamanya supaya boleh ia menjawab tentang perkara-perkara yang telah dituduh di atasnya.
Shahdan adapun mereka itu telah enggan daripada menyerahkan dirinya serta tiada memberi jawab di atas perdakwaan yang dituduh di atasnya.
Waba’dahu oleh hal yang demikian pada masa sekarang ini titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan memberi ketahui syarat-syarat adapun Duli Yang Maha Mulia itu akan kurniakan hadiah sebanyak $500 kepada siapa-siapa yang dapat membawa serahkan kepada mana-mana pegawai kerajaan mana-mana seorang daripada mereka yang tersebut di bawah ini walaupun mati atau hidup:–


Ungku Besar tempat duduknya Jeram.

Haji Hassan Tok Janggut tempat duduknya Nering.

Penghulu Adam tempat duduknya Kelubi.

Haji Said tempat duduknya Cherang Tuli.

Che Sohok tempat duduknya Nering.


Termaktub di Balai Besar kepada 20 haribulan Mei 1915.

[Sumber: Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka? oleh Nik Anuar Nik Mahmud, hal. 42, Selangor: Hazco Print, 2005]

* Notis ini ada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia.

** Naskhah asal notis ini ditulis dengan menggunakan tulisan jawi lama.

*** Perwawai menurut Kamus Dewan bermaksud ‘pemberitahuan (dengan melaung), pengumuman’.



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
9.33 pagi, 29 Syaaban 1429 H.
31 Ogos 2008, Ahad.

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh dan sebuah puisi pilihanraya


Keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh (P44)

PKR menang dengan majoriti 15, 671 undi.

PKR : 31, 195 undi.

BN : 15, 524 undi.

AKIM : 92 undi.

Jumlah keluar mengundi : 81 %.


******

Ketika semua orang bercakap tentang pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh, saya menemui puisi sahabat saya ini yang saya baca berkali-kali. Saya kira elok sekali untuk kita sama-sama tatapi dan hayati. Sangat sesuai saya kira puisi ini dalam waktu dan keadaan sekarang. Dan sesudah menghayati, fikir-fikirkanlah sendiri...

Untukmu Yi dan Ren

Api pilihanraya yang marak setiap lima tahun
dan sesekali dalam tempoh itu kala Izrael lalu
di DUN dan parlimen, padamkan sebentar.
Kita bukan Majusi.

Aku doa agar kasihku Yi dan Ren sejahtera
dalam gelut bunuhmati pemuda dan puteri.
Bunuh Yi bunuh diri. Bunuh Ren bunuh sukma
diri.

Satulah dalam deen, dalam Yi, dalam Ren. Kini
masa merenung dan mengawas. Jangan sampai
pisau politik terkerat jari sendiri! Belajar jadi
Habil, jadi Qabil! Kalau terbunuh, pandai-pandailah
kambus sendiri. Kita bukan gagak Majusi.
Darah kita tidak hijau, tidak biru.
Darah kita putih dari susu Hawa.

(Nota: Yi bermaksud kemanusiaan dan Ren bermaksud kesaksamaan dalam bahasa Cina. Manifestasi ini terilham dari teks klasik falsafah Cina, Meng Zi yang menekankan konsep kemanusiaan dan kesaksamaan sebagai konsep yang berjalan seiring dalam kehidupan.)

Jimadie Shah Othman

[Sumber (dengan izin Jimadie Shah Othman): Antologi Jalan Esfahan, 50100 Kuala Lumpur, hal. 38, karya bersama Jimadie Shah Othman, Wan Azman Wan Mamat & Hany FF, PERWARIS, 2003]



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
11.46 malam, 26 Ogos 2008.

Sunday, August 24, 2008

Jika berkeinginan dan berkesempatan, silakanlah membaca...


Tulisan saya untuk Ogos ini setakat ini:

1 – Puisi Kubentangkan Padamu Selembar Sejarah dalam Al-Fikrah, bil. 11, edisi Julai – September 2008.

2 – Puisi Nuh, Bersiap Sedialah dengan Perahu Besarmu Itu! dalam ruangan ‘Puisi bulan ini’ majalah Dewan Sastera, Ogos 2008.

3 – Rencana agama Akidah Islam benteng khurafat dalam Siasah, bil. 0109, edisi 3 – 9 Ogos 2008.

4 – Rencana politik Menilai pemimpin ketika rakyat disuruh berjimat dalam Siasah, bil. 0110, edisi 10 – 16 Ogos 2008.

5 – Rencana sastera Menggempur sastera dengan al-Quran dalam Siasah, bil. 0111, edisi 17 – 23 Ogos 2008.

6 – Rencana seni dan budaya Keruntuhan akhlak artis dan iklan negatif dalam Siasah, bil. 0112, edisi 24 – 30 Ogos 2008.



Salman Sulaiman
Padang Raja, Machang.
10.51 pagi, 24 Ogos 2008.

Tuesday, July 22, 2008

DISKUSI NOVEL & KUMPULAN PUISI MANTAN MPR, 2008


Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja akan mengadakan satu majlis Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan Minggu Penulis Remaja, 2008. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. Butirannya seperti berikut;

TARIKH: 2 OGOS 2008

HARI : SABTU

WAKTU : 8 PAGI

TEMPAT: DEWAN BAHASA & PUSTAKA, KUALA LUMPUR

MASUK: PERCUMA

BUKU YANG AKAN DIBICARAKAN:

SESI PERTAMA (NOVEL)

- MANIKAM KALBU (Faisal Tehrani), akan dibicarakan oleh En. Saleeh Rahamad.

- PUISI UNTUK ESDYZUAR (Nisah Hj. Haron), akan dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, UKM.

- SALJU SAKINAH (Zaid Akhtar), akan dibicarakan oleh Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, UIAM.

(Dipengerusikan oleh Khairul Nizam Abd. Raub)


SESI KEDUA (KUMPULAN PUISI)

- TAMAN PERCAKAPAN (Shamsuddin Othman), akan dibicarakan oleh Prof. Arbak Othman, UPM.

- MENGGELEDAH NURANI (Fahd Razy), akan dibicarakan oleh En. Naapie Mat.

- SULUK CINTA (Ridzuan Harun), akan dibicarakan oleh En. SM Zakir.

(Dipengerusikan oleh Salman Sulaiman)

Kedatangan anda kami alu-alukan dan inilah masanya untuk anda (warga pembaca dan pemerhati sastera) bertemu dengan penulis-penulisnya sendiri. Jumpa di DBP, nanti!

NOTA: Pihak urus setia meminta warga mantan Minggu Penulis Remaja hadir beramai-ramai ke majlis ini. Untuk mantan wanita, pihak urus setia meminta agar anda mengenakan pakaian berwarna merah jambu, serta mantan lelaki mengenakan pakaian berwarna perang/coklat. (Moga mantan-mantan sporting dengan urus setia, ya!)


Sumber: www.minggupenulisremaja.blogspot.com.

*Pada sebelah malam (2 Ogos 2008), Salman Sulaiman akan mendeklamasikan puisi bersama teman-teman Sindiket Soljah di Rumah PENA, Kuala Lumpur berdekatan DBP KL.

Wednesday, June 18, 2008

Kalau orang perempuan nak marah pun, marahlah


Saya akan selalu kata dan saya akan terus kata bahawa; pada saya – orang perempuan yang cantik tapi perangainya hodoh dia sebenarnya adalah lebih hodoh daripada orang perempuan yang hodoh. Begitulah sebaliknya, orang perempuan yang tidak cantik paras rupanya tapi cantik perangai dan akhlaknya sebenarnya akan lebih cantik daripada orang perempuan yang cantik.

Ianya terbukti berkali-kali ke atas diri saya. Dan memang dibuktikan oleh pengalaman yang turut dilalui oleh orang lain juga. Saya kisahkan sedikit dari pengalaman yang membuktikan hakikat yang saya katakan ini. Seorang petugas di kaunter sebuah bank yang pada mulanya saya lihat berperwatakan cantik – tapi kebengisannya dan sikapnya yang mudah marah-marah itu meluputkan terus seluruh rupa parasnya yang cantik itu. Kini, di mata saya dia memang sudah tidak cantik lagi.

Berbicara tentang orang perempuan mengingatkan saya tentang sebuah catatan saya yang lalu bila saya katakan saya kecewa kerana payah nak lihat orang perempuan Kelantan berbaju kurung sekarang. Tiba-tiba ada pula orang perempuan yang sedikit melenting dengan catatan saya itu. Katanya, orang lelaki yang pakai baju Melayu pun payah juga nak cari sekarang.

Begini, biar saya jelaskan di sini. Maksud sebenar saya dengan luahan dan catatan itu ialah bukannya baju kurung atau baju Melayu tetapi tentang insan Islam yang menutup aurat – orang perempuan yang menutup aurat maksud saya. Kerana yang saya lihat dan selalu lihat adalah yang berbaju ketat dan berseluar ketat – tidak menutup aurat. Kalau awak tu menutup aurat, tak payahlah nak melenting tak tentu pasal. Itu sebenarnya maksud asal saya. Itu sebetulnya.

Baju kurung yang dipakai orang perempuan itukan sopan dan menutup aurat. Berbaju kurung itu maksud saya adalah menutup aurat. Kalau dia menelaah betul-betul catatan saya itu, dia pasti akan faham maksud sebenar saya. Ianya bukan tentang baju kurung itu sangat tetapi lebih kepada hal menutup aurat. Kalau dia menelaahnya dengan teliti, pasti dia akan faham.

Perempuan yang mempunyai rupa paras yang cantik tapi berperangai hodoh sebenarnya adalah lebih hodoh daripada orang perempuan yang hodoh. Inilah yang saya selalu kata dan akan selalu saya kata. Tak kisahlah, kalau orang perempuan nak marah pun, marahlah.


Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
7.29 malam, 18 Jun 2008.
Rabu, 14 Jamadilakhir 1429H.