Friday, September 04, 2009

Salam ramadan & sedikit catatan


Apabila tulisan saya, Menelaah Nilai Islam dalam Karya Penulis Muda disiarkan dalam majalah Tunas Cipta bulan ini - saya menerima beberapa SMS daripada teman-teman penulis muda yang terkesan setelah membaca esei tersebut, alhamdulillah. Apa lagi yang lebih gembira bagi seorang penulis selain tulisannya dibaca orang dan memberi kesan kepada hati dan jiwa pembacanya? Tulisan itu hanya satu penelaahan kecil yang sempat saya lakukan dengan kudrat yang terdaya.

Masih terlalu banyak karangan-karangan penulis muda yang bagus dan mempunyai nilai Islam yang baik bertaburan dalam pelbagai media penerbitan di Malaysia, namun di pihak saya - itu sajalah yang mampu saya lakukan setakat ini. Untuk menelaah karya-karya bernafas Islam yang lain, biarlah diteruskan oleh penulis yang lain pula. Esei dalam Tunas Cipta itu bolehlah dikatakan lanjutan kepada kertas kerja panjang yang saya bentangkan di Melaka beberapa bulan yang lalu. Awal tahun ini, puisi saya Nuh, bersiap-sedialah dengan perahu besarmu itu! disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP Kuala Lumpur. Kisah Nabi Nuh a.s. yang diceritakan Allah dalam beberapa surah dalam al-Quran itu saya tekuni sungguh-sungguh ketika berada di sebuah pulau jauh.

Penelaahan saya terhadap kisah Nabi Nuh a.s. itu tidak habis di situ, ia kemudiannya membenihkan idea dan ilham yang lain. Lantas saya menukangi cerpen Nuh, Si Tukang Kayu dan Sebuah Perahu yang alhamdulillah, disiarkan dalam majalah Dewan Sastera bulan ini; kalian boleh saja menelaahnya di sana. Seorang teman penulis yang prihatin mengutus SMS mengucap tahniah atas penyiaran cerpen tersebut, yang katanya - cerpen sulung saya dalam Dewan Sastera. Benar, ia satu cita-cita yang sangat lama sebagai seorang penulis muda - iaitu untuk melihat cerpennya disiarkan dalam majalah sastera paling berprestij dalam negara ini, Dewan Sastera. Alhamdulillah juga, dan syukur yang tidak terkira kepada-Nya. Barangkali, inilah rezeki ramadan dan yang paling pasti rezeki ini dari Tuhan - Allah yang Maha Kuasa.


Selagi saya masih sihat sejahtera, fizikal dan akal - saya tidak akan pernah letih untuk terus menulis. Jika di akhirat nanti saya ditanyakan oleh Dia yang Menciptakan Segalanya, paling tidak pun saya akan dapat menjawab, "Saya telah berbuat sesuatu untuk manusia, untuk anak bangsa saya, lebih-lebih lagi untuk Islam yang mulia dan dakwah ini telah saya sampaikan juga walau dengan kudrat kerdil yang saya ada. Demi Allah, saya telah melakukannya!"

Dan kepada anda, selamat membaca dan selamat berpuasa!


Salman Sulaiman
Padang Selising, Machang.
5:39 petang, Jumaat.
4 September 2009.
14 Ramadan 1430 H.

5 comments:

lutfi said...

Betul, Man. Kesedaran terhadap Tauhid sebagai worlview atau tasawwur yang mendasari karya muslim itu penting.
Tahniah. Aku menunggu tulisan hang seterusnya.

S.K said...

Salam.

Mabrouk! Cerpen pertama kali tersiar di Dewan Sastera! Bukankah itu sememangnya cita-cita penulis di sana, juga di pulau kecil ini?
Ya, saya menanti nama saya juga terakam selamanya dalam DS, insyaAllah :)

Selamat menjalani sepuluh malam terakhir penuh sakti ini, insyaAllah :D

Wassalam.

Anonymous said...

Tahniah daripada sahabatmu sejalan sekaki sepergi dan sepulang sewaktu di tingkatan 6 dahulu....

Deey Mache

kriey said...

salam bang.. tahniah atas kejayaan yang dikecapi

dariana said...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
سلام عيدالفطري المبارك هجرة 1430
من العائدين والفائزين
معاف ظاهير دان باطين
جمفوت كرومه ساي هاري راي ننتي
سودارامو حج عبدالهادى بن محمد سكلوارك دكوت بهارو كلنتن دارالنعيم

tahniah dan semoga terus berkarya demi keredhaan Allah.